Politik
‘Jangan lebih sangat puji DAP, Berpada-pada’ – pesan Idris Ahmad pada Asyraf Wajdi

- Naib Presiden PAS, Datuk Idris Ahmad berkata ketika PAS dalam Pakatan Rakyat memang menang besar di peti undi bukan Melayu, tapi merosot di peti undi orang Melayu yang membawa makna rakyat, terutama Melayu tidak boleh menerima DAP.
- Ironinya, dulu UMNO yang mentarbiah PAS agar tidak bekerjasama dengan DAP.
- PAS dah lama kena balun dengan netizen waktu berkawan DAP dalam Pakatan Rakyat, Barisan Alternatif.
- Sebab itu PAS tarik handbrake awal-awal lagi sebelum PRU 14. Kami tau dah akibatnya. Alhamdulillah kami selamat.
- “Kesian dekat sahabat saya Dr Asyraf Wajdi. Kena balun teruk oleh netizen,” – Idris Ahmad
KUALA LUMPUR — Susulan laporan bertajuk “Tiga tahun dalam Kerajaan Perpaduan, tak pernah sekalipun UMNO ditekan DAP”, Naib Presiden PAS mengingatkan Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki supaya tidak terlalu berlebihan dalam memuji parti tersebut.
Datuk Idris Ahmad berkata juga ketika PAS dalam Pakatan Rakyat memang parti itu menang besar di peti undi bukan Melayu, tapi pada masa sama mereka merosot di peti undi orang Melayu yang membawa makna rakyat, terutama orang Melayu tidak boleh menerima DAP.
Tambahnya, apa yang lebih ironi, pihak yang dahulunya mentarbiah PAS agar tidak bekerjasama dengan DAP adalah UMNO sendiri.
“Hai sahabat (Asyraf Wajdi), jangan lebih sangat puji DAP tu. Berpada-pada cukuplah puji tu.
“Ha ha kami lama dah kena balun (dikritik) dengan netizen waktu kami berkawan dengan DAP dalam Pakatan Rakyat, Barisan Alternatif.
“Sebab itu PAS tarik handbrake awal-awal lagi sebelum PRU 14. Kami tau dah akibatnya. Alhamdulillah kami selamat.
“Kesian dekat sahabat saya Dr Asyraf Wajdi. Kena balun teruk oleh netizen. Cuba buka link di bawah. Baca komen dan emoji pembaca,” katanya menerusi hantaran di Facebook sambil berkongsikan pautan ke artikel tersebut.

Foto: Tangkap layar hantaran Facebook Berita Harian Online yang pautannya dikongsikan Idris dan didakwa dipenuhi kritikan netizen ke atas Asyraf Wajdi.
Sementara itu, Ahli Parlimen Bagan Serai itu berkata PAS hanya akan berkawan sekiranya hubungan tersebut memberi keuntungan buat agama dan bangsa, namun jika kedua-dua perkara berkenaan tidak dapat dicapai tiada keperluan buat mereka melakukannya.
“Kalau tidak dapat perkara ini (keuntungan buat agama dan bangsa) hendak buat apa (berkawan).
“Hendak buat macam mana pemimpin UMNO kata, DAP ikhlas, tak berpura-pura. Ha ha. Tidak ada apa-apa pun terancam. Netizen kata, ini jawapan orang yang ada kepentingan dan jawatan, realiti mereka amat terasa bahangnya,” katanya. — The Merdeka Times

Foto: Tangkap layar hantaran Facebook Idris Ahmad.
