Connect with us

Terkini

Mahkamah Rayuan memutuskan JAIS menahan ‘Rasul Melayu’ tindakan sah

Mahkamah Rayuan memutuskan tindakan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) menahan seorang lelaki yang pernah mendakwa dirinya ‘Rasul Melayu’ dan 13 individu lain pada tahun 2020, adalah sah di sisi undang-undang.

Wartawan TMT

Published

on

Mahkamah Rayuan memutuskan JAIS menahan ‘Rasul Melayu’ tindakan sah
Foto: Abdul Kahar atau dikenali dengan gelaran 'Rasul Melayu'.
  • Mahkamah Rayuan memutuskan tindakan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) menahan seorang lelaki yang pernah mendakwa dirinya ‘Rasul Melayu’ dan 13 individu lain pada tahun 2020, adalah sah di sisi undang-undang.
  • Perkara itu ditentukan secara sebulat suara oleh panel tiga hakim diketuai oleh Datuk Azizah Nawawi selepas membenarkan rayuan JAIS dan lima pihak lagi untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi yang berpendirian penahanan Abdul Kahar Ahmad dan 13 yang lain, melanggar Perlembagaan.
  • Beliau yang bersidang bersama-sama Datuk S. Nantha Balan dan Datuk Hashim Hamzah turut menolak rayuan semua 14 individu itu berhubung isu pampasan RM10,000 yang diputuskan oleh Mahkamah Tinggi.
  • “Kami membenarkan rayuan ini dan mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi bertarikh 14 April 2022 manakala rayuan Abdul Kahar dan 13 yang lain, ditolak. Mahkamah ini tidak membuat perintah terhadap kos,” ujar beliau.

PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan memutuskan tindakan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) menahan seorang lelaki yang pernah mendakwa dirinya ‘Rasul Melayu’ dan 13 individu lain pada tahun 2020, adalah sah di sisi undang-undang.

Perkara itu ditentukan secara sebulat suara oleh panel tiga hakim diketuai oleh Datuk Azizah Nawawi selepas membenarkan rayuan JAIS dan lima pihak lagi untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi yang berpendirian penahanan Abdul Kahar Ahmad dan 13 yang lain, melanggar Perlembagaan.

Beliau yang bersidang bersama-sama Datuk S. Nantha Balan dan Datuk Hashim Hamzah turut menolak rayuan semua 14 individu itu berhubung isu pampasan RM10,000 yang diputuskan oleh Mahkamah Tinggi.

“Kami membenarkan rayuan ini dan mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi bertarikh 14 April 2022 manakala rayuan Abdul Kahar dan 13 yang lain, ditolak. Mahkamah ini tidak membuat perintah terhadap kos,” ujar beliau.

Selain JAIS dan ketua pengarahnya, empat perayu lain terdiri daripada ketua pegawai penguatkuasa agama Islam Selangor, Hakim Mahkamah Rendah Syariah Shah Alam Masnizar @ Mohd. Nizar Mohtar, kerajaan negeri dan Hakim Mahkamah Rendah Syariah Shah Alam Shanizah Ngatiman.

Media sebelum ini melaporkan bahawa JAIS menahan Abdul Kahar, 71, dan beberapa yang lain di tiga lokasi berasingan di Selangor pada 20 September 2020 atas dakwaan menghidupkan semula ajaran `Rasul Melayu’.

Ketika membacakan keputusan itu, Hakim Azizah berkata, hakim Mahkamah Tinggi terkhilaf ketika memutuskan Seksyen 23 Enakmen Tatacara Jenayah Syariah (Selangor) 2003 adalah tidak sah di sisi undang-undang.

Beliau berkata, seksyen itu memperuntukkan kuasa mahkamah rendah syariah membebaskan individu melalui ikat jamin sementara menunggu siasatan disempurnakan oleh pihak berkuasa agama negeri.

Pada hemat panel itu, seksyen berkenaan tidak terbatal atau melanggar hak perlembagaan untuk kebebasan dan kesaksamaan di bawah Perlembagaan Persekutuan. Mahkamah turut berpendapat, hakim Mahkamah Tinggi terkhilaf kerana menyamakan seksyen berkenaan dengan perintah tahanan reman.

Menurut Hakim Azizah, penahanan responden-responden dan selanjutnya dihantar ke pusat tahanan dilakukan berdasarkan undang-undang kerana kegagalan mereka mematuhi terma-terma syarat jaminan.

Ujar beliau, jika mereka tidak berpuas hati dengan syarat jaminan, mereka boleh memfailkan permohonan semakan atau mengemukakan rayuan di Mahkamah Tinggi Syariah. Panel tiga hakim itu turut berpuas hati bahawa hakim Mahkamah Tinggi tidak mempunyai bidang kuasa untuk mengetepikan perintah Mahkamah Syariah kerana mahkamah sivil dan syariah merupakan dua sistem kehakiman yang berasingan.

Hakim Azizah berkata, Mahkamah Syariah bukan mempunyai bidang kuasa terhad sebaliknya boleh melaksanakan kuasa semakan kehakiman di bawah Aturan 53 Kaedah-Kaedah Mahkamah 2012.

“Mahkamah Sivil tidak boleh menyemak keputusan Mahkamah Syariah berdasarkan Aturan 53. Hakim dalam kes ini hanya boleh mengisytiharkan keabsahan Seksyen 23 enakmen tersebut,” ujar beliau.

Dalam penghakimannya, panel itu selanjutnya menjelaskan peruntukan Sekyen 76 Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003 yang memberi kuasa imuniti dan melindungi hakim serta pegawai kehakiman.

Ujar Hakim Azizah, seksyen itu menyatakan tindakan saman tidak boleh dikenakan terhadap hakim syarie sama ada di mahkamah sivil atau mahkamah syariah berhubung perintah yang dikeluarkan ketika menjalankan tugas kehakiman, asalkan beliau berniat baik dan percaya telah menjalankan tugas di bawah ruang lingkup bidang kuasanya.

Ujar beliau, perlindungan terhadap hakim syarie adalah sama (pari materia) dengan Seksyen 14(1) Akta Mahkamah Kehakiman 1964 yang diperuntukkan kepada hakim mahkamah sivil. Pada hemat beliau, imuniti kehakiman di bawah Seksyen 14(1) adalah cukup luas bagi membolehkan hakim syarie melaksanakan tugas kehakiman selaras dengan Perkara 121 Perlembagaan Persekutuan.

Sehubungan itu, panel tersebut berpendapat, defendan keempat dan keenam selaku hakim-hakim mahkamah rendah syariah melaksanakan tugas kehakiman dan dilindungi di bawah Seksyen 76.

Dalam rayuan itu, Penasihat Undang-Undang Negeri Selangor, Datuk Salim Soib hadir mewakili perayu-perayu manakala peguam Fahri Azzat dan Iqbal Harith Liang mewakili Abdul Kahar dan yang lain.

Pada 22 Mei 2022, Malaysiakini melaporkan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memutuskan bahawa tindakan JAIS menahan Abdul Kahar yang pernah mendakwa dirinya ‘Rasul Melayu’ pada tahun 2020 adalah menyalahi undang-undang.

Mahkamah sivil itu turut membatalkan peruntukan dalam enakmen syariah Selangor yang memberi kuasa kepada Mahkamah Syariah negeri untuk mengenakan ikat jamin kepada individu yang disyaki.

Hakim Datuk Noorin Badaruddin membuat keputusan tersebut selepas membenarkan Abdul Kahar dan 13 yang lain mencabar penahanan mereka oleh pihak berkuasa Islam negeri pada malam 20 September 2020.

Hakim Noorin memutuskan JAIS dan Kerajaan Selangor perlu membayar ganti rugi RM10,000 setiap seorang kepada Abdul Kahar dan 13 pemohon sebagai pampasan. Pada 24 September 2009, Abdul Kahar mengaku bersalah di Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam atas lima pertuduhan di bawah Enakmen Jenayah Syariah Selangor 1985 berhubung ajaran sesat `Rasul Melayu’.

Tertuduh yang ketika itu berusia 62 tahun kemudian dijatuhkan hukuman penjara 10 tahun, denda RM16,500 dan enam sebatan kerana menyebarkan ajaran sesat. Pada tahun 2016, Abdul Kahar dalam satu majlis yang dikendalikan oleh Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), memohon taubat secara terbuka kerana mengisytiharkan dirinya sebagai rasul.

Selepas dibebaskan daripada tahanan pada 2020, Abdul Kahar dan 13 yang lain memfailkan permohonan semakan kehakiman untuk mencabar kesahihan penahanan mereka, dengan sebahagian daripada mereka hanya dibebaskan selepas 99 hari ditahan di antara 21 September dan 28 Disember 2020.

Mereka tidak pernah didakwa di Mahkamah Syariah atas sebarang kesalahan yang dikaitkan dengan serbuan pada September 2020 oleh JAIS.

Sumber: Utusan Malaysia

Author

Terkini

Kerajaan Madani perlu setia kepada aspirasi gerakan Islam – MP PKR

Kerajaan Madani perlu setia kepada aspirasi gerakan Islam yang selama ini berdekad-dekad dipinggirkan, kata Ahli Parlimen Pasir Gudang dari Pakatan Keadilan Rakyat (PKR), Hassan Abdul Karim.

Hidayah Sani

Published

on

Foto: Ahli Parlimen Pasir Gudang dari Pakatan Keadilan Rakyat (PKR), Hassan Abdul Karim (kanan).
  • Kerajaan Madani perlu setia kepada aspirasi gerakan Islam yang selama ini berdekad-dekad dipinggirkan, kata Ahli Parlimen Pasir Gudang dari Pakatan Keadilan Rakyat (PKR), Hassan Abdul Karim.
  • Hassan berkata jika tanpa sokongan kelompok reformasi Islam yang setia kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim selama ini, Presiden PKR itu juga mungkin tidak akan menjadi Perdana Menteri ke-10 (PMX) hari ini.
  • Justeru PMX dan pendukung kerajaan Madani di Putrajaya diminta supaya mengenangkan jasa individu yang berjuang untuk Islam demi membina negara yang adil dan bersifat Madani.
  • “Pandangan golongan Islam yang membawa idea reformasi tidak patut dipandang ringan atau dianggap picisan.
  • “Jika tiada sokongan golongan reformasi Islam yang setia kepada Anwar Ibrahim selama ini rasanya, ikut hukum adat, Anwar mungkin tak sampai jadi Perdana Menteri kesepuluh,” kata Hassan kepada The Merdeka Times di sini hari ini.
  • Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Ahmad Fahmi Samsudin di Kongres BERSIH pada Sabtu yang mengingatkan kerajaan bahawa sebarang agenda reformasi dibawakan kelompok gerakan Islam hari ini tidak boleh dianggap sebagai agenda picisan.

KUALA LUMPUR — Kerajaan Madani perlu setia kepada aspirasi gerakan Islam yang selama ini berdekad-dekad dipinggirkan, kata Ahli Parlimen Pasir Gudang dari Pakatan Keadilan Rakyat (PKR), Hassan Abdul Karim.

Hassan berkata jika tanpa sokongan kelompok reformasi Islam yang setia kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim selama ini, Presiden PKR itu juga mungkin tidak akan menjadi Perdana Menteri ke-10 (PMX) hari ini.

Justeru, beliau meminta PMX dan pendukung kerajaan Madani di Putrajaya supaya mengenangkan jasa individu yang berjuang untuk Islam demi membina negara yang adil dan bersifat Madani.

“Gerakan Islam adalah satu komponen penting dalam gerakan reformasi di Malaysia. 

“Gerakan Islam adalah pendukung utama Datuk Seri Anwar Ibrahim sejak beliau menjadi Presiden ABIM kemudian Timbalan Perdana Menteri Malaysia sehingga dipecat pada September 1998.

“Gerakan Islam antara golongan yang setia kepada perjuangan reformasi yang dipimpin oleh Anwar Ibrahim. 

“Kini Anwar Ibrahim sudah jadi Perdana Menteri Malaysia, justeru Kerajaan Madani sekarang perlu setia kepada aspirasi gerakan Islam yang selama berdekad-dekad dipinggirkan,” katanya kepada The Merdeka Times di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Ahmad Fahmi Samsudin di Kongres BERSIH pada Sabtu yang mengingatkan kerajaan bahawa sebarang agenda reformasi dibawakan kelompok gerakan Islam hari ini tidak boleh dianggap sebagai agenda picisan.

Sebaliknya, kerajaan perlu mengutamakan agenda dibawakan gerakan Islam ataupun Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH) supaya ia dapat dijadikan rujukan dalam tampuk pemerintahan hari ini.

Ahmad Fahmi berkata ini kerana gerakan Islam mempunyai kedudukan dan peranan signifikan untuk ke hadapan, bukan sesuatu yang boleh dianggap sebagai ‘serpihan’ atau ‘ditepi-tepian’.

Kenyataan beliau itu turut disambut baik kelompok bukan Muslim daripada pelbagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang menyokong bahawa kerajaan tidak boleh menganggap sebarang agenda reformasi dibawakan kelompok gerakan Islam hari ini sebagai agenda picisan.

Hassan menyatakan beliau senada dengan Presiden ABIM bahawa pandangan, tuntutan dan aspirasi reformasi dibawakan gerakan Islam mesti diberi tempat oleh kerajaan yang berkuasa ketika ini.

“Pandangan golongan Islam yang membawa idea reformasi tidak patut dipandang ringan atau dianggap picisan.

“Jika tiada sokongan golongan reformasi Islam yang setia kepada Anwar Ibrahim selama ini rasanya, ikut hukum adat, Anwar mungkin tak sampai jadi Perdana Menteri kesepuluh.

“Lalu PMX dan pendukung kerajaan Madani di Putrajaya sekarang kenangkanlah jasa orang yang selama ini berjuang untuk Islam demi membina sebuah negara yang adil yang bersifat Madani,” katanya. — The Merdeka Times

Sokong TMT media berani, benar & bebas di https://support.themerdekatimes.com/

Author

Teruskan Membaca

Kata Kunci

Trending