Terkini
PM Anwar berdepan konflik kepentingan untuk laksana Perkara 122B, Peguam saran cuti rehat

- Konflik pertama timbul kerana Anwar masih menunggu keputusan rayuan di Mahkamah Rayuan berhubung lapan persoalan Perlembagaan berkaitan perlindungan kedudukannya dalam kes sivil.
- Anwar juga berdepan satu laporan polis dibuat Yusoff Rawther pada 12 September 2024 berkaitan isu sama ada atau siapakah ‘dalang’ kepada penganiayaan dan kezaliman dilakukan untuk memerangkap Yusoff.
- Kesemua isu tersebut bakal dibawa ke mahkamah untuk diselesaikan.
Beliau berkata sekiranya tempoh perkhidmatan Ketua Hakim Negara dilanjutkan, ia hanya boleh dipanjangkan untuk enam bulan sahaja dan lanjutan itu akan tetap berbalik kepada Perkara 122B, sedangkan Perdana Menteri yakni Anwar ketika ini didakwa berdepan konflik kepentingan.
Jelasnya, konflik pertama melibatkan permohonan Anwar di Mahkamah Tinggi bagi merujuk lapan persoalan Perlembagaan berkaitan perlindungan terhadap kedudukan Perdana Menteri dalam kes-kes sivil.
Walaupun, permohonan itu telah ditolak pada 4 Jun 2025, Anwar kemudiannya telah memfailkan rayuan ke Mahkamah Rayuan.
“Justeru, sehingga Mahkamah Rayuan membuat keputusan berkaitan soalan itu sama ada bermerit, ada asas untuk dimajukan kepada Mahkamah Persekutuan ataupun tidak, dan selepas itu sekiranya mana-mana pihak sama ada pihak Anwar Ibrahim ataupun Yusoff Rawther yang tidak puas hati dengan keputusan Mahkamah Rayuan kelak akan memajukan perkara itu semula ke Mahkamah Persekutuan.
“Sehingga itu selesai, bukankah Anwar Ibrahim berada dalam konflik kepentingan? Kerana soalan-soalan beliau diajukan kepada mahkamah untuk menjawab soalan tersebut.
“Bagaimanakah Anwar Ibrahim walaupun sebagai Perdana Menteri boleh dibiarkan untuk memberi cadangan nama-nama yang wajar naik ke tiga jawatan tertinggi Mahkamah Persekutuan dan juga jawatan-jawatan kosong lain di Mahkamah Persekutuan, Mahkamah Rayuan mahupun Mahkamah Tinggi kelak?
“Bukankah ini menimbulkan persepsi bahawa Perdana Menteri berhak untuk menentukan orang yang lebih cenderung, condong, simpati kepada beliau dan kerajaan, akan dicadangkan untuk menjadi kedudukan hakim-hakim berkenaan dan bukankah itu menimbulkan persepsi lanjut bahawa sistem kehakiman telahpun dinodai dengan kecurigaan konflik kepentingan Perdana Menteri berkenaan,” katanya menerusi video di Youtube Haniff Khatri pada Selasa.
Selain itu, Haniff berkata Anwar juga berdepan satu laporan polis dibuat Yusoff Rawther pada 12 September 2024 berkaitan isu sama ada atau siapakah ‘dalang’ kepada penganiayaan dan kezaliman dilakukan untuk memerangkap Yusoff.
Jelasnya, selagi siasatan tidak selesai dan tidak mempunyai keputusan muktamad daripada pihak polis mahupun Pejabat Peguam Negara, sehingga itu Perdana Menteri mempunyai konflik kepentingan dalam urusan pelantikan dan penamaan calon hakim.
Ini kerana kesemua isu tersebut bakal dibawa ke mahkamah untuk diselesaikan.
“Saya dengan rendah diri demi konsep Keluhuran Perlembagaan, Kedaulatan Undang-Undang menghormati institusi Perdana Menteri menyarankan Anwar Ibrahim Perdana Menteri ke-10 Malaysia mengambil cuti rehat secara serta-merta.
“Dan mendelegasikan tanggungjawab ‘keperdana-menterian’ beliau kepada salah seorang daripada Timbalan Perdana Menteri yang kita ada sekarang tanpa mengambil pihak dan tanpa memprejudiskan mana-mana peribadi apatah lagi keperibadian Perdana Menteri, Anwar Ibrahim.
“Ini adalah cadangan objektif, molek yang penuh rendah diri mematuhi Kedaulatan Undang-Undang, sekiranya Anwar Ibrahim mengikuti cadangan ini, InsyaAllah saya percaya, rakyat Malaysia akan lebih menghormati kerusi Perdana Menteri tersebut,” kata Haniff. — The Merdeka Times
