Antarabangsa
Abai kebajikan jemaah di tanah suci, kementerian agama Indonesia disaman
Seorang jemaah haji berasal dari Sidoarjo, Jawa Timur, Prayitno mengemukakan saman terhadap pihak berkuasa mengenai pelaksanaan ibadah haji tahun ini.
- Seorang jemaah haji berasal dari Sidoarjo, Jawa Timur, Prayitno mengemukakan saman terhadap pihak berkuasa mengenai pelaksanaan ibadah haji tahun ini.
- Jemaah lelaki itu menuntut Kementerian Agama, Pejabat Wilayah Kementerian Agama Jatim dan Pejabat Wilayah Kementerian Agama Sidoarjo masing-masing membayar ganti rugi kepadanya sebanyak 1.1 bilion rupiah (RM333,948).
- Prayitno mendakwa, kesemua pihak berkenaan mengabaikan para jemaah semasa pelaksanaan ibadah haji, baru-baru ini.
- Jelas Prayitno, sudahlah tidak diberi makan, air minuman juga tidak dapat.
- Jurucakap Pejabat Wilayah Kementerian Agama Jatim, Husnul Maram memberitahu, pihaknya sedang meneliti tuntutan saman berkenaan.
SURABAYA: Seorang jemaah haji berasal dari Sidoarjo, Jawa Timur, Prayitno mengemukakan saman terhadap pihak berkuasa mengenai pelaksanaan ibadah haji tahun ini.
Jemaah lelaki itu menuntut Kementerian Agama, Pejabat Wilayah Kementerian Agama Jatim dan Pejabat Wilayah Kementerian Agama Sidoarjo masing-masing membayar ganti rugi kepadanya sebanyak 1.1 bilion rupiah (RM333,948).
Prayitno mendakwa, kesemua pihak berkenaan mengabaikan para jemaah semasa pelaksanaan ibadah haji, baru-baru ini.
Katanya, dia sudah mengemukakan tuntutan saman itu kepada Mahkamah Daerah Sidoarjo pada minggu lalu.
“Saya mahu semua pihak berkaitan, terutamanya Kementerian Agama memohon maaf kepada para jemaah Indonesia secara terbuka melalui media massa.
“Selama saya menjalani ibadah haji, sebanyak 11 kali saya dan jemaah lain tidak diberi makan.
“Selama tiga hari berada di Mekah, saya tidak diberi makan sebanyak sembilan kali dan dua kali ketika berada di Mina,” katanya.
Jelas Prayitno, sudahlah tidak diberi makan, air minuman juga tidak dapat.
Katanya, ketika berada di Muzdalifah, tiada sarapan dan makan tengah hari disediakan, dan dia hanya menerima makan malam yang dihidangkan pada pukul 5 petang.
“Pada mulanya, kami cuba bersangka baik dan positif. Mungkin Itu adalah dugaan semasa melakukan ibadah haji.
“Namun, selepas beberapa kali berdepan situasi yang sama, kami mula rasakan ada yang tidak kena dengan pihak pengurusan,” ujarnya.
Sementara itu, jurucakap Pejabat Wilayah Kementerian Agama Jatim, Husnul Maram memberitahu, pihaknya sedang meneliti tuntutan saman berkenaan.
Sumber: Utusan Malaysia