Terkini
‘Usah terburu-buru gubal akta tangani 3R’ – Penganalisis politik
Kerajaan perlu lebih teliti dan usah terburu-buru mahu menggubal undang-undang atau akta baharu menangani isu bangsa, agama dan institusi diraja (3R).
- Kerajaan perlu lebih teliti dan usah terburu-buru mahu menggubal undang-undang atau akta baharu menangani isu bangsa, agama dan institusi diraja (3R).
- Penganalisis politik, Datuk Shamsuddin Nawawi secara peribadi berpendapat undang-undang sedia ada di negara ini sudah memadai bagi mengekang hal yang menyentuh isu 3R.
- “Apa yang saya faham, akta baharu bakal dicadang itu, pesalah tidak dibawa ke mahkamah, tapi terus dikenakan denda atau kompaun.
- “Itu yang timbul isu, mana boleh kompaun orang, untuk menentukan orang itu salah atau tidak bukan kita atau pegawai polis sebaliknya hakim mahkamah. 3R ini kesalahan jenayah dan bukan sivil seperti kesalahan trafik, mahkamah yang berhak menentukan,” katanya kepada BH.
- “Kebiasaannya kalau buat undang-undang baharu, ia lebih ketat (dari segi hukuman) berbanding undang-undang lama. Cuma sekarang ini nampak hendak buat lebih longgar, cuma denda sahaja,” katanya.
PUTRAJAYA – Kerajaan perlu lebih teliti dan usah terburu-buru mahu menggubal undang-undang atau akta baharu menangani isu bangsa, agama dan institusi diraja (3R).
Penganalisis politik, Datuk Shamsuddin Nawawi secara peribadi berpendapat undang-undang sedia ada di negara ini sudah memadai bagi mengekang hal yang menyentuh isu 3R.
Beliau berkata, cadangan Akta Negara Bangsa yang mirip Akta Keharmonian Kaum di Singapura bukan satu pembaharuan atau reformasi yang sering dilaungkan kerajaan sebaliknya ia pernah dicadangkan ketika pentadbiran Datuk Seri Najib Razak.
“Kalau sekiranya dibuat undang-undang baharu tangani 3R, apa jadi dengan undang-undang sedia ada? Adakah hendak dimansuhkan juga apa saja peruntukan yang ada dalam Kanun Keseksaan, Akta Multimedia atau Akta Hasutan 1948?
“Apa yang saya faham, akta baharu bakal dicadang itu, pesalah tidak dibawa ke mahkamah, tapi terus dikenakan denda atau kompaun.
“Itu yang timbul isu, mana boleh kompaun orang, untuk menentukan orang itu salah atau tidak bukan kita atau pegawai polis sebaliknya hakim mahkamah. 3R ini kesalahan jenayah dan bukan sivil seperti kesalahan trafik, mahkamah yang berhak menentukan,” katanya kepada BH.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said, berkata bahawa beliau akan mengadakan pertemuan pertama dengan pihak berkaitan bagi meneliti serta memperhalusi cadangan mewujudkan akta baharu berkaitan 3R.
Sebelum ini, media melaporkan kerajaan mengkaji untuk mewujudkan akta baharu berkaitan berdasarkan aspek sivil, yang mungkin dinamakan Akta Negara Bangsa mirip Akta Keharmonian Kaum di Singapura, dan cadangan mengenainya dibentangkan kepada Jemaah Menteri pada mesyuarat Kabinet.
Shamsuddin berkata, sekiranya kerajaan masih mahu meneruskan hasrat menggubal akta baharu, perlu dipastikan undang-undang itu mesti lebih baik berbanding akta sedia ada.
“Saya tidak nampak macam mana kita boleh ikut undang-undang seperti di Singapura.
Ini kerana landskap politik dan keadaan di Singapura dan Malaysia jauh berbeza dan jangan dilupa Singapura belum memansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) mereka.
“Jadi kita kena buat ikut acuan sendiri, kalau nak hapus akta berkaitan, berapa banyak undang-undang atau peruntukan yang hendak dihapuskan supaya tidak bertindan dengan akta yang lain.
“Kebiasaannya kalau buat undang-undang baharu, ia lebih ketat (dari segi hukuman) berbanding undang-undang lama. Cuma sekarang ini nampak hendak buat lebih longgar, cuma denda sahaja,” katanya.
Shamsuddin berkata, isu 3R tidak akan timbul jika ekonomi negara berkembang baik, bebanan kos sara hidup berkurang, gaji rakyat mencukupi dan kehidupan selesa dan sejahtera.
“Namun kerajaan dilihat seolah tidak ada hala tuju jelas, begitu juga dalam isu Menteri Besar Kedah, sebenarnya tidak perlu tumpuan diberikan kepadanya hingga ‘didewakan’ orang ramai.
“Masalah sekarang bukan sebab perlu undang-undang baharu, yang ada sudah cukup, masalahnya bagaimana hendak memperbetulkan keadaan hidup rakyat, ekonomi negara. Setiap tempat itu isu berbeza, jangan pukul rata semua perkara.
“Jadikan pilihan raya sasaran untuk dapatkan undi, tapi dapat ke undi kalau asyik mencari salah orang lain, nak penjarakan orang, tuduh itu dan ini, cuma sekarang tidak nampak sama ada apa yang dibuat kerajaan akan diterjemah kepada undi,” katanya.
Sumber: Berita Harian