Terkini
Tiada unsur jenayah ditemukan dalam kes Nazlan – Anwar
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sudah menyiapkan siasatan mereka terhadap hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali, kata Anwar Ibrahim.
- Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah menyiapkan siasatan terhadap hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.
- Perdana Menteri berkata berdasarkan siasatan itu SPRM tidak menemukan sebarang bukti berlaku kesalahan jenayah.
- “SPRM telah menyiasat secara menyeluruh perkara itu dan mendapati tiada sebarang kesalahan jenayah dilakukan. Perkara ini telah diluluskan oleh Jabatan Peguam Negara (AGC),” kata Anwar kepada Dewan Negara.
- Mohd Nazlan merupakan hakim di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mendengar perbicaraan membabitkan bekas presiden Umno Najib Razak yang berdepan pertuduhan jenayah membabitkan syarikat SRC International Sdn Bhd (SRC).
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sudah menyiapkan siasatan mereka terhadap hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali, kata Anwar Ibrahim.
Berdasarkan siasatan itu kata perdana menteri SPRM tidak menemukan sebarang bukti berlaku kesalahan jenayah.
“SPRM telah menyiasat secara menyeluruh perkara itu dan mendapati tiada sebarang kesalahan jenayah dilakukan.
“Perkara ini telah diluluskan oleh Jabatan Peguam Negara (AGC),” kata Anwar kepada Dewan Negara.
Mohd Nazlan merupakan hakim di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang mendengar perbicaraan membabitkan bekas presiden Umno Najib Razak yang berdepan pertuduhan jenayah membabitkan syarikat SRC International Sdn Bhd (SRC).
Dia – yang kini berkhidmat sebagai hakim Mahkamah Rayuan – didakwa terbabit dalam konflik kepentingan semasa mendengar perbicaraan tersebut dan melanggar kod etika.
Pada 28 Julai 2020 Mohd Nazlan mensabitkan Najib atas tujuh pertuduhan membabitkan pecah amanah, salah guna kuasa dan pengubahan wang haram.
Ia melibatkan dana SRC bernilai RM42 juta.
Dia kemudian menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta ke atas bekas ahli parlimen Pekan itu.
Anwar berkata Mahkamah Persekutuan sebelum ini telah membuat keputusan mengenai isu konflik kepentingan yang dikaitkan dengan Nazlan semasa dia mengendalikan perbicaraan Najib.
Mahkamah tertinggi negara itu juga telah menolak permintaan Najib untuk mendapatkan kenyataan tambahan berhubung dakwaan tersebut.
Pada Ogos tahun lalu pula, kata Anwar, Najib turut menarik balik tuntutan yang dibuat pihaknya terhadap Nazlan.
Media pada 9 Ogos 2022 melaporkan penarikan balik tuntutan Najib itu dibuat melalui afidavit jawapan lanjutan yang difailkan di Mahkamah Persekutuan melalui firma Tetuan Zaid Ibrahim Suflan T H Liew & Partners.
“Untuk rekod, saya secara mutlak menarik balik sebarang tafsiran mengenai apa yang saya telah katakan yang boleh dianggap bermaksud bahawa hakim Mohd Nazlan telah disiasat kerana kemungkinan rasuah,” katanya.
Sumber: Malaysiakini