Terkini
Teroka aspek baharu, dialog antara agama untuk perkasakan JAKIM – Mufti Pulau Pinang
Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) perlu meneroka aspek baharu, termasuk memperbanyakkan dialog antara agama, dalam usaha memperkasa dan memperluaskan peranan agensi agama itu.
- Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) perlu meneroka aspek baharu, termasuk memperbanyakkan dialog antara agama, dalam usaha memperkasa dan memperluaskan peranan agensi agama itu.
- Menyambut baik cadangan kerajaan supaya JAKIM diperkasakan, Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr Wan Salim Wan Mohd Noor berkata dengan peranan lebih luas diberikan, JAKIM akan dapat memberi perkhidmatan lebih berkesan dalam memajukan lagi agama Islam di Malaysia.
- “Sebagai contoh, bidang dialog peradaban termasuk dialog antara agama-agama anutan warga Malaysia, bidang dakwah khas kepada golongan bukan Islam, bidang perbandingan agama dan lain-lain bidang yang difikirkan perlu diwujudkan untuk kemajuan agama Islam dan umatnya di negara ini,” katanya kepada The Merdeka Times ketika dihubungi di sini semalam.
- Media sebelum ini melaporkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu JAKIM memperluaskan peranan institusi itu dalam memberi manfaat dan mengangkat martabat serta darjat negara.
KUALA LUMPUR – Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) perlu meneroka aspek baharu, termasuk memperbanyakkan dialog antara agama, dalam usaha memperkasa dan memperluaskan peranan agensi agama itu.
Menyambut baik cadangan kerajaan supaya JAKIM diperkasakan, Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr Wan Salim Wan Mohd Noor berkata dengan peranan lebih luas diberikan, JAKIM akan dapat memberi perkhidmatan lebih berkesan dalam memajukan lagi agama Islam di Malaysia.
“Mungkin ada aspek-aspek baharu yang perlu diterokai oleh agensi berkenaan di samping menambahbaik lagi bidang-bidang yang sedia ada.
“Sebagai contoh, bidang dialog peradaban termasuk dialog antara agama-agama anutan warga Malaysia, bidang dakwah khas kepada golongan bukan Islam, bidang perbandingan agama dan lain-lain bidang yang difikirkan perlu diwujudkan untuk kemajuan agama Islam dan umatnya di negara ini,” katanya kepada The Merdeka Times ketika dihubungi di sini semalam.
Media sebelum ini melaporkan kerajaan mahu JAKIM memperluaskan peranan institusi itu dalam memberi manfaat dan mengangkat martabat serta darjat negara.
Berikutan itu, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan sama ada mufti, ulama atau tokoh agama di JAKIM memberikan input mereka selari dengan perkembangan semasa.
Perdana Menteri berkata peranan JAKIM sebelum ini kurang menyerlah apabila dilihat banyak tertumpu dalam dakwah, latihan termasuk bersama kerajaan negeri dalam penganjuran Majlis Tilawah al-Quran.
Mengulas lanjut, Wan Salim berkata agama Islam akan maju jika JAKIM mampu memberikan perkhidmatan lebih berkesan dan agama Islam mesti di kedudukan tinggi berbanding agama-agama lain selaras dengan kehendak Allah SWT di dalam sebuah hadis.
JAKIM berfungsi sebagai sebuah agensi utama pengurusan hal ehwal Islam di peringkat persekutuan serta urus setia kepada Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI). – The Merdeka Times.