Antarabangsa
Tamatkan eksploitasi buruh kanak-kanak – ILO
Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) menggesa supaya menghentikan eksploitasi buruh kanak-kanak.
- Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) menggesa supaya menghentikan eksploitasi buruh kanak-kanak.
- Tindakan itu digesa bersempena Hari Penentangan Buruh Kanak-Kanak Sedunia.
- ILO mengadakan perbincangan peringkat tertinggi dengan tema ‘keadilan sosial untuk semua, hentikan buruh kanak-kanak’ iaitu acara sampingan ketika sesi Persidangan Buruh Antarabangsa.
- Perbincangan itu memfokuskan hubungan antara keadilan sosial dan penghapusan buruh kanak-kanak.
GENEVA: Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) menggesa supaya menghentikan eksploitasi buruh kanak-kanak.
Tindakan itu digesa bersempena Hari Penentangan Buruh Kanak-Kanak Sedunia.
Sehubungan itu, ILO mengadakan perbincangan peringkat tertinggi dengan tema ‘keadilan sosial untuk semua, hentikan buruh kanak-kanak’ iaitu acara sampingan ketika sesi Persidangan Buruh Antarabangsa.
Perbincangan itu memfokuskan hubungan antara keadilan sosial dan penghapusan buruh kanak-kanak.
Ahli panel yang mewakili pekerja, majikan dan kerajaan menekankan pentingnya usaha memerangi buruh kanak-kanak dan membincangkan penyelesaian untuk meningkatkan keadilan sosial.
“Amalan buruh kanak-kanak buat pertama kalinya dalam tempoh 20 tahun semakin meningkat. Kira-kira 160 juta kanak-kanak, hampir satu daripada 10 di seluruh dunia, terbabit sebagai buruh kanak-kanak.
“Kita mesti meningkatkan perjuangan menentang buruh kanak-kanak dengan menyokong keadilan sosial yang lebih besar.
“Jika kita melakukan ini, penamatan buruh kanak-kanak bukan sahaja mungkin tetapi boleh dicapai,” tegas Ketua Pengarah ILO, Gilbert F Houngbo dalam ucapan videonya pada acara berkenaan.
Menurut ILO dalam kenyataan yang disiarkan semalam, dunia sudah mencapai kemajuan kukuh dalam mengurangkan buruh kanak-kanak sejak 2000, tetapi sejak beberapa tahun kebelakangan ini, konflik, krisis dan pandemik COVID-19, menjerumuskan lebih banyak keluarga ke dalam kemiskinan dan memaksa berjuta-juta lagi kanak-kanak menjadi buruh kanak-kanak.
Katanya, pertumbuhan ekonomi saja tidak mencukupi atau cukup inklusif untuk melegakan tekanan yang terlalu banyak ditempuhi keluarga dan masyarakat.
Ini sekali gus memerlukan langkah-langkah memerangi buruh kanak-kanak termasuk penubuhan dan pelaksanaan rangka kerja undang-undang yang kukuh berdasarkan Piawaian Buruh Antarabangsa dan dialog sosial.
Selain itu katanya, ia memerlukan penyediaan akses universal kepada pendidikan berkualiti dan perlindungan sosial, serta langkah-langkah langsung untuk mengurangkan kemiskinan, ketidaksamaan ekonomi dan menggalakkan kerja yang baik untuk pekerja dewasa.
ILO melancarkan Hari Sedunia Penentangan Buruh Kanak-Kanak yang pertama pada 2002 sebagai satu usaha untuk menonjolkan nasib kanak-kanak yang terbabit dalam buruh kanak-kanak.
Sumber: Berita Harian