Connect with us

Terkini

Perkahwinan individu Islam dan bukan Islam tidak diiktiraf di Malaysia – Menteri Agama

Perkahwinan yang melibatkan antara individu Islam dan bukan Islam adalah tidak dibenarkan serta tidak diiktiraf di bawah undang-undang di Malaysia.

WhatsApp
Facebook0
Twitter
Hidayah Sani

Published

on

Perkahwinan individu Islam dan bukan Islam tidak diiktiraf di Malaysia – Menteri Agama
Foto: Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar.
  • Perkahwinan yang melibatkan antara individu Islam dan bukan Islam adalah tidak dibenarkan serta tidak diiktiraf di bawah undang-undang di Malaysia.
  • Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata demikian dengan merujuk kepada Subseksyen 3(3) Akta Membaharui Undang-Undang (Perkahwinan dan Perceraian) 1976 (Akta 164).
  • Ia memperuntukkan akta itu tidak terpakai bagi individu Islam atau bagi mana-mana individu yang berkahwin di bawah undang-undang Islam dan tiada perkahwinan boleh diupacarakan atau didaftarkan di bawah akta tersebut jika salah satu daripada pihak-pihak kepada perkahwinan itu menganut agama Islam.
  • “Bagi orang Islam, Seksyen 10 Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984 [Akta 303] memperuntukkan tiada seseorang lelaki boleh berkahwin dengan seseorang perempuan bukan Islam dan tiada seseorang perempuan boleh berkahwin dengan seseorang lelaki bukan Islam,” katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat bagi menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Beruas, Datuk Ngeh Koo Ham.
  • Koo Ham meminta Perdana Menteri menjelaskan bagaimana perkahwinan seorang warganegara Malaysia beragama Islam mengahwini individu bukan Islam di luar negara secara sah apabila balik ke Malaysia dapat diiktiraf di Malaysia.
  • Menteri agama itu berkata hukum perkahwinan melibatkan individu Islam dan bukan Islam adalah haram berdasarkan kepada firman Allah SWT dalam surah Al-Baqarah ayat 221.

KUALA LUMPUR — Perkahwinan yang melibatkan antara individu Islam dan bukan Islam adalah tidak dibenarkan serta tidak diiktiraf di bawah undang-undang di Malaysia.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata demikian merujuk kepada Subseksyen 3(3) Akta Membaharui Undang-Undang (Perkahwinan dan Perceraian) 1976 (Akta 164).

Katanya, ia memperuntukkan akta itu tidak terpakai bagi individu Islam atau bagi mana-mana individu yang berkahwin di bawah undang-undang Islam dan tiada perkahwinan boleh diupacarakan atau didaftarkan di bawah akta tersebut jika salah satu daripada pihak-pihak kepada perkahwinan itu menganut agama Islam.

“Bagi orang Islam, Seksyen 10 Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984 [Akta 303] memperuntukkan tiada seseorang lelaki boleh berkahwin dengan seseorang perempuan bukan Islam dan tiada seseorang perempuan boleh berkahwin dengan seseorang lelaki bukan Islam,” katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat bagi menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Beruas, Datuk Ngeh Koo Ham pada Khamis lalu.

Koo Ham meminta Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menjelaskan bagaimana perkahwinan seorang warganegara Malaysia beragama Islam yang berkahwin dengan individu bukan Islam di luar negara secara sah apabila balik ke Malaysia dapat diiktiraf di Malaysia.

Mengulas lanjut, Na’im menegaskan sekiranya seorang Muslim ingin mengahwini pasangan berlainan agama, maka pasangan itu wajib memeluk Islam terlebih dahulu.

Ini berikutan, hukum perkahwinan melibatkan individu Islam dan bukan Islam adalah haram berdasarkan kepada firman Allah SWT dalam surah Al-Baqarah ayat 221;

“dan janganlah kamu berkahwin dengan perempuan-perempuan kafir musyrik sebelum mereka beriman (memeluk agama Islam); dan sesungguhnya seorang hamba perempuan yang beriman itu lebih baik daripada perempuan kafir musyrik sekalipun keadaannya menarik hati kamu. dan janganlah kamu (kahwinkan perempuan-perempuan Islam) dengan lelaki-lelaki kafir musyrik sebelum mereka beriman (memeluk agama Islam) dan

sesungguhnya seorang hamba lelaki yang beriman lebih baik daripada seorang lelaki musyrik, sekalipun keadaannya menarik hati kamu. (yang demikian ialah kerana orang-orang kafir itu mengajak ke neraka sedang Allah mengajak ke syurga dan memberi keampunan dengan izinNya. dan Allah menjelaskan ayat-ayatNya (keterangan-keterangan hukumNya) kepada umat manusia, supaya mereka dapat mengambil pelajaran (daripadanya).” — The Merdeka Times

Author