Antarabangsa
Keluarga Muslim dipukul kumpulan bersenjata ketika berkelah di taman
Sebuah keluarga Muslim dipukul dan diserang secara perkauman oleh kumpulan bersenjata ketika mereka sedang berkelah di sebuah taman, kata Polis West Midlands.
- Sebuah keluarga Muslim dipukul dan diserang secara perkauman oleh kumpulan bersenjata ketika mereka berkelah di sebuah taman, kata Polis West Midlands.
- Dalam insiden perkauman itu, dua individu cedera di kepala dan muka selepas mereka diserang di sebuah taman di Walsall, West Midlands, United Kingdom (UK) pada Ahad.
- Polis West Midlands pada Rabu berkata empat lelaki, berumur 38, 39, 55 dan 58 tahun, ditangkap kerana disyaki melakukan serangan itu dan masih ditahan.
- Pihak berkuasa meminta orang ramai tidak menyebarkan video serangan ‘menyedihkan’ itu yang dikongsikan di media sosial (Tiktok).
Sebuah keluarga Muslim dipukul dan diserang secara perkauman oleh kumpulan bersenjata ketika mereka sedang berkelah di sebuah taman, kata Polis West Midlands.
Menurut laporan Daily Mail, dua individu cedera di kepala dan muka selepas mereka diserang di sebuah taman di Walsall, West Midlands, United Kingdom (UK) pada Ahad.
Polis West Midlands pada Rabu berkata empat lelaki, berumur 38, 39, 55 dan 58 tahun, ditangkap kerana disyaki melakukan serangan itu dan masih ditahan.
“Ini adalah penyiasatan yang sangat aktif dan penahanan ini merupakan langkah penting untuk dikemukakan dalam siasatan kami.
“Mangsa adalah sebahagian daripada keluarga yang sedang menikmati perkelahan dan kami memahami kebimbangan yang timbul dalam masyarakat.
“Kami bekerja sangat rapat dengan keluarga itu dan berterima kasih atas semua sokongan diterima daripada komuniti yang lebih luas untuk membolehkan kami memberi tumpuan sepenuhnya dalam siasatan.
“Adalah penting semua orang bertenang supaya pegawai kami dapat meneruskan tumpuan, tanpa gangguan lain, dan membawa mereka terbabit dalam insiden ngeri ini ke muka pengadilan,” kata Ketua Supritendan Polis Walsall, Phil Dolby.
Polis berkata rondaan akan kekal di kawasan itu untuk meyakinkan penduduk dan menggesa sesiapa mempunyai maklumat mengenai serangan itu tampil ke hadapan.
Mereka juga meminta orang ramai tidak menyebarkan video serangan ‘menyedihkan’ itu yang dikongsikan di media sosial (Tiktok).
Sumber: Daily Mail