Terkini
Boleh guna peranti elektronik ketika berlepas & mendarat mulai 1 Julai – MAS
Bermula 1 Julai 2023, penumpang pesawat Malaysia Airlines (MAS) tidak perlu mematikan peranti elektronik mudah alih peribadi sepanjang penerbangan, termasuk ketika berlepas dan mendarat.
- Malaysia Airlines (MAS) benarkan penumpang menggunakan peranti elektronik mudah alih peribadi yang telah diaktifkan mod senyap ketika berlepas dan mendarat bermula 1 Julai 2023.
- Kemudahan itu akan tersedia di semua syarikat penerbangan yang bernaung di bawah Malaysia Aviation Group (MAG), termasuklah Firefly dan MASwings.
- Kesemua syarikat ini telah diberikan kelulusan kawal selia oleh Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM).
Bermula 1 Julai 2023, penumpang pesawat Malaysia Airlines (MAS) tidak perlu mematikan peranti elektronik mudah alih peribadi sepanjang penerbangan, termasuk ketika berlepas dan mendarat.
Menerusi satu kenyataan semalam, Malaysia Aviation Group (MAG) selaku kumpulan yang mengendalikan syarikat penerbangan itu mengumumkan bahawa mereka telah diberikan kelulusan kawal selia oleh Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM).
Kemudahan itu akan tersedia di semua syarikat penerbangan yang bernaung di bawah MAG, termasuklah Firefly dan MASwings.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Syarikat Penerbangan dari MAG, Ahmad Luqman Mohd Azmi, ciri ketersambungan pintu ke pintu (gate-to-gate connectivity) ini merupakan usaha untuk menaik taraf pengalaman penerbangan para penumpang.
Selain itu, pihaknya turut giat berusaha untuk memperluaskan kemudahan sambungan internet di lebih banyak pesawat mereka.
“Dengan tumpuan pada keselamatan, keselesaan dan kemudahan, kami berdedikasi untuk menjadikan perjalanan udara lebih mudah diakses dan menyeronokkan untuk semua penumpang kami.
“Kami akan terus melabur dalam teknologi dan perkhidmatan yang inovatif untuk memenuhi keperluan yang berubah-ubah dan memberikan keselesaan kepada penumpang kami sebagai tetamu ke ‘rumah’ kami,” katanya.
Pelaksanaan ini juga menjadikan syarikat penerbangan di bawah MAG yang pertama mempunyai ciri tersebut bagi penerbangan dari Malaysia.
Sebelum ini, peraturan keselamatan kebanyakan syarikat penerbangan, termasuk MAS, membenarkan penggunaan peranti elektronik yang telah diaktifkan mod penerbangan sepanjang penerbangan kecuali ketika berlepas dan mendarat. – The Merdeka Times
Sumber: Kenyataan Malaysia Airlines