Antarabangsa
Uganda rancang gubal undang-undang anti-gay baharu
Uganda akan mencadangkan rang undang-undang anti-gay baharu pada Rabu, demikian menurut Speaker Parlimen negara itu susulan konspirasi di media sosial tentang adanya usaha pihak asing “mempromosikan homoseksualiti”.
- Uganda akan mencadangkan rang undang-undang anti-gay baharu, demikian menurut Speaker Parlimennya, Annet Anita Among.
- Kerajaan Barat dan agensi bantuan yang berkhidmat di negara itu didakwa “mempromosikan hubungan sejenis” di wilayah Timur Afrika.
- Kerajaan Uganda pada bulan lalu menubuhkan satu jawatankuasa untuk menyiasat dakwaan ‘promosi’ hak gay, lesbian dan transgender di sekolah.
- Pada 2014, Mahkamah Uganda menolak rang undang-undang diluluskan Ahli Parlimen dan ditandatangani Presiden Yoweri Museveni, bertujuan menjatuhkan hukuman penjara seumur hidup kepada mereka yang melakukan hubungan homoseksual.
KAMPALA – Uganda akan mencadangkan rang undang-undang anti-gay baharu pada Rabu, demikian menurut Speaker Parlimen negara itu susulan konspirasi di media sosial tentang adanya usaha pihak asing “mempromosikan homoseksualiti”.
Menurut rakaman suara diakses AFP, Annet Anita Among memberitahu mesyuarat pada Selasa, pihaknya akan mencadangkan rang undang-undang untuk anti-homoseksualiti.
Speaker Parlimen Uganda itu turut menghantar video perjumpaan terbabit melalui akaun Twitternya dan menulis “Kita mesti melindungi nilai dan budaya kita yang dihargai.”
Kerajaan Barat dan agensi bantuan yang berkhidmat di negara itu sering didakwa “mempromosikan hubungan sejenis” di wilayah Timur Afrika dan beberapa kali mempertahankan komuniti LGBTQ daripada serangan terhadap identiti mereka.
Beberapa minggu kebelakangan ini, teori konspirasi dalam talian berkenaan penderaan seksual kanak-kanak di sekolah berasrama dan hubungan sesama jenis dalam kalangan dewasa semakin merunsingkan.
Kerajaan Uganda pada bulan lalu menubuhkan satu jawatankuasa untuk menyiasat dakwaan ‘promosi’ hak gay, lesbian dan transgender di sekolah.
Pada 2014, Mahkamah Uganda menolak rang undang-undang diluluskan Ahli Parlimen dan ditandatangani Presiden Yoweri Museveni, bertujuan menjatuhkan hukuman penjara seumur hidup kepada mereka yang melakukan hubungan homoseksual.
Undang-undang itu mencetuskan kemarahan global dengan beberapa negara menghentikan penghantaran bantuan kepada Uganda berikutan kelulusannya melalui Parlimen.
Menurut rakaman audio itu juga, Among berkata: “Kami mahu menghargai mereka yang mempromosikan homosexualiti atas pertumbuhan sosio-ekonomi yang mereka bawa ke negara ini… tetapi kami tidak menghargai moral yang mereka hapuskan.”
“Kami tidak perlu wang, kami perlukan budaya kami,” katanya dipetik agensi berita France24.
Sumber: France 24