Connect with us

Terkini

‘Intern’ bukan buruh percuma, kerajaan digesa wajibkan syarikat bayar upah – Presiden Mahasiswa Demokratik

Kerajaan digesa mewajibkan syarikat membayar pelajar latihan industri dengan kadar minimum dan bukannya menganggap mereka sebagai buruh percuma.

WhatsApp
Facebook0
Twitter
Hidayah Sani

Published

on

‘Intern’ bukan buruh percuma, kerajaan digesa wajibkan syarikat bayar upah - Presiden Mahasiswa Demokratik
Foto: Presiden Mahasiswa Demokratik Malaysia, Ashraff Fahmy.
  • Presiden Mahasiswa Demokratik Malaysia, Ashraff Fahmy berkata latihan industri sepatutnya menjadi medan untuk pelajar menimba pengalaman agar mereka mendapat tawaran pekerjaan selepas tamat, bukannya menjadi pengalaman buruk buat mereka sebagai buruh percuma.
  • Pelajar latihan industri adalah mahasiswa yang mempunyai hak juga masa depan negara.
  • Peluang latihan industri dapat menjadi pemula mengeluarkan pelajar dari kerongkong kemiskinan.
  • “Sehingga hari ini masih banyak syarikat menganggap pelajar ini sebagai buruh percuma. Mereka enggan membayar pelajar-pelajar ini ataupun membayar dengan kadar paling minima,” katanya di Instagram hari ini.
  • Pihak universiti didesak kaji semula yuran pelajar latihan industri dengan sekurang-kurangnya beri potongan kepada mereka agar beban dapat dikurangkan. 

KUALA LUMPUR – Kerajaan digesa mewajibkan syarikat membayar pelajar latihan industri dengan kadar minimum dan bukannya menganggap mereka sebagai buruh percuma.

Gesaan itu dibuat Presiden Mahasiswa Demokratik Malaysia, Ashraff Fahmy yang berkata latihan industri sepatutnya menjadi medan untuk pelajar menimba pengalaman agar mereka mendapat tawaran pekerjaan selepas tamat, bukannya menjadi pengalaman buruk buat mereka sebagai buruh percuma.

Katanya, pelajar latihan industri ini adalah mahasiswa yang mempunyai hak juga masa depan negara.

Beliau berkata peluang latihan industri inilah yang dapat menjadi pemula untuk mengeluarkan pelajar dari kerongkong kemiskinan.

“Nasib pelajar yang menjalani latihan industri sehingga hari ini masih belum menemukan titik noktah. 

“Semakin banyak universiti dan jurusan mewajibkan pelajar menjalani latihan industri sebagai sebahagian daripada keperluan menamatkan pengajian. Latihan industri pelajar ini boleh berlangsung bagi tempoh sebulan hingga setahun.

“Namun sehingga hari ini masih banyak syarikat menganggap pelajar ini sebagai buruh percuma. Mereka enggan membayar pelajar-pelajar ini ataupun membayar dengan kadar paling minima,” katanya di Instagram hari ini.

Ashraff berkata terdapat juga syarikat membayar pelajar selepas berbulan mereka tamat latihan industri, menyebabkan pelajar terbabit perlu mengikat perut sedangkan mereka tiada tempat tinggal, kenderaan dan perlu mencari pendapatan untuk menyara diri. 

Katanya, malah golongan pelajar ini perlu membayar penuh yuran universiti walaupun tidak menggunakan fasiliti dan perkhidmatan universiti semasa menjalani latihan industri. 

Oleh itu, Ashraff juga mendesak pihak universiti untuk mengkaji semula yuran pelajar latihan industri dengan sekurang-kurangnya memberikan potongan kepada mereka agar beban dapat dikurangkan. 

“Pelajar-pelajar ini tersepit, mereka ibarat ditelan mati emak, diluah mati bapak. Sehingga hari ini, tiada undang-undang yang dapat membela nasib-nasib pelajar ini kerana mereka bukan dikira pekerja untuk dilindungi Akta Buruh. 

“Belum kita buka soal kebajikan mereka di tempat kerja yang mana ada antara mereka dikerah dengan kerja-kerja “kuli” hanya kerana mereka adalah pelajar latihan industri,” katanya.

Sebelum ini, Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menggesa kerajaan melaksanakan penetapan pembayaran elaun kepada pelajar latihan industri bagi sektor swasta sebagai mengiktiraf tenaga kerja pelajar yang mencari pengalaman dan peluang pekerjaan.

Sementara pada 18 Februari lalu, Unit Komunikasi Korporat Kementerian Belia dan Sukan dilaporkan berkata setakat hari ini (waktu itu) tiada rancangan untuk mewajibkan pemberian elaun kepada pelajar latihan industri pada masa ini kerana banyak syarikat masih melalui pemulihan pasca Covid-19. 

Bagaimanapun, menterinya, Hannah Yeoh dilaporkan akan membawa perkara itu ke peringkat kabinet untuk dibincangkan.– The Merdeka Times

Sumber: Instagram demokratiksiswa

Author