Terkini
Rasuah kurang jika gaji naik – MCW
Kenaikan gaji penjawat awam dipercayai dapat mengurangkan gejala rasuah, sekaligus meningkatkan integriti dan motivasi kehidupan pekerja perkhidmatan awam di negara ini.
- Kenaikan gaji penjawat awam dipercayai dapat mengurangkan gejala rasuah, sekaligus meningkatkan integriti dan motivasi kehidupan pekerja perkhidmatan awam di negara ini.
- Presiden Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW), Jais Abdul Karim berkata ini kerana terdapat kaitan yang tinggi di antara faktor rasuah dan kos sara hidup.
- Katanya, ramai penjawat awam memberi alasan mereka berdepan tekanan kewangan hingga terpaksa membuat pilihan termasuk menerima rasuah atau berhutang bagi memenuhi keperluan keluarga.
- “Kenaikan gaji adalah perkara asas yang perlu bagi memenuhi keperluan penjawat awam kerana masalah integriti berkait rapat dengan tekanan kewangan dan ketidakseimbangan ekonomi.
- “Seperti di negara maju yang lain, gaji yang mencukupi terbukti berjaya meningkatkan mutu perkhidmatan dan profesionalisme mereka,” kata Jais dalam kenyataan di Facebook pada Rabu.
- Beliau bagaimanapun berkata kenaikan gaji mesti disertakan dengan penambahbaikan mutu pekerjaan terutamanya berkaitan integriti.
KUALA LUMPUR – Kenaikan gaji penjawat awam dipercayai dapat mengurangkan gejala rasuah, sekaligus meningkatkan integriti dan motivasi kehidupan pekerja perkhidmatan awam di negara ini.
Presiden Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW), Jais Abdul Karim berkata ini kerana terdapat kaitan yang tinggi di antara faktor rasuah dan kos sara hidup.
Katanya, ramai penjawat awam memberi alasan mereka berdepan tekanan kewangan hingga terpaksa membuat pilihan, termasuk menerima rasuah atau berhutang bagi memenuhi keperluan keluarga.
“Kenaikan gaji adalah perkara asas yang perlu bagi memenuhi keperluan penjawat awam kerana masalah integriti berkait rapat dengan tekanan kewangan dan ketidakseimbangan ekonomi.
“Seperti di negara maju yang lain, gaji yang mencukupi terbukti berjaya meningkatkan mutu perkhidmatan dan profesionalisme mereka,” kata Jais dalam kenyataan di Facebook pada Rabu.
Beliau berkata negara jiran Indonesia juga sudah memberi kenaikan gaji khas lapan peratus untuk penjawat awam mereka.
“Pemikiran yang segar tanpa perlu memikirkan sangat mengenai kekangan kewangan sudah pasti akan membolehkan mereka fokus kepada tugasan harian. Ini adalah perkara normal kepada setiap manusia,” katanya.
Beliau bagaimanapun berkata kenaikan gaji mesti disertakan dengan penambahbaikan mutu pekerjaan, terutamanya berkaitan integriti.
Baginya adalah wajar penjawat awam yang bakal menikmati kenaikan gaji menandatangani perjanjian khas untuk menjadi bertambah baik dan sanggup menerima hukuman yang lebih berat jika mereka masih mengulangi kesalahan sama.
“Mereka juga wajib menjalani kursus etika dan kesedaran antirasuah secara berkala dengan lebih kerap bagi meningkatkan mutu pekerjaan mereka,” katanya.
Beliau berkata MCW berpendapat insentif dan ganjaran selain gaji yang sedia ada dalam perkhidmatan awam sekarang sudah mencukupi.
“Mereka diberikan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang yang memberikan hadiah dan kepuasan terbaik, malah mendapat insentif khas kerajaan jika melaporkan kes rasuah yang berjaya menjimatkan dana kerajaan.
“Sebagai anggota perkhidmatan awam, adalah menjadi tanggungjawab mereka untuk berkhidmat dengan secemerlang mungkin selaras dasar pekerjaan ketika mereka memohonnya dan pendapatan yang mereka terima.
“Pendapatan yang halal semestinya mencukupi dan berkat jika tiada sikap tamak atau berbelanja melebihi pendapatan,” katanya.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada April lalu berkata pada ketika ini kerajaan sedang mencari jalan untuk menaikkan gaji penjawat awam yang sudah sekian lama tidak dinaikkan.
Katanya, perkara itu diteliti kerana beliau mendengar keluhan daripada orang ramai, khususnya penjawat awam. — The Merdeka Times
Sokong TMT media berani, benar & bebas di https://support.themerdekatimes.com/