Antarabangsa
Hungary tekad pertahan undang-undang anti-LGBT di Mahkamah EU
Menteri Kehakiman Hungary pada Rabu menegaskan negaranya akan berjuang di Mahkamah Keadilan Kesatuan Eropah (EU) untuk mempertahankan undang-undang pendidikan Hungary yang dilabelkan Brussels sebagai diskriminasi terhadap orientasi seksual dan identiti jantina, lapor Reuters.
- Menteri Kehakiman Hungary, Judit Varga berkata kerajaannya akan berjuang di Mahkamah Keadilan EU untuk mempertahan undang-undang pendidikan anti-LGBT.
- Kerajaan Hungary mempertahankan undang-undang itu yang bertujuan melindungi kanak-kanak, bukannya untuk menyerang komuniti LGBT.
- Suruhanjaya Eropah beranggapan undang-undang tersebut melanggar peraturan pasaran dalaman EU, hak asasi individu dan nilai-nilai EU.
- Propaganda jantina merupakan ancaman terbesar kepada kanak-kanak, perkara seperti ini tidak ada tempat di Hungary, terutamanya bukan di sekolah. – Perdana Menteri Hungary, Viktor Orban.
BUDAPEST – Menteri Kehakiman Hungary pada Rabu menegaskan negaranya akan berjuang di Mahkamah Keadilan Kesatuan Eropah (EU) untuk mempertahankan undang-undang pendidikan Hungary yang dilabelkan Brussels sebagai diskriminasi terhadap orientasi seksual dan identiti jantina, lapor Reuters.
Menteri itu, Judit Varga dalam laman Facebooknya berkata beliau mengemukakan tuntutan kepada mahkamah terbabit kerana Kerajaan Hungary tetap berpegang pada pendirian bahawa pendidikan adalah perkara yang perlu diputuskan oleh negara.
Kempen anti-LGBT Perdana Menteri Viktor Orban meningkat pada Jun 2021 apabila Parlimen, yang didominasi Parti Fidesz beliau, meluluskan undang-undang melarang penggunaan bahan yang boleh menggalakkan homoseksual dan perubahan jantina di sekolah.
Kerajaan Hungary berkata undang-undang itu bertujuan untuk melindungi kanak-kanak dan bukannya untuk menyerang komuniti LGBT.
“Seperti yang sudah kita lakukan setakat ini, kita akan usahakan apa sahaja untuk melindungi anak-anak kami,” kata Varga menegaskan undang-undang itu adalah perlu dan langkah selanjutnya akan diambil.
Kebuntuan itu berlaku semasa Brussels menggantung berbilion euro dana EU yang diperlukan Hungary sehingga Budapest melaksanakan pembaharuan untuk meningkatkan kebebasan kehakiman dan menangani rasuah.
Suruhanjaya Eropah merujuk Hungary kepada Mahkamah Keadilah EU berhubung undang-undang anti-LGBT itu pada pertengahan 2022.
Suruhanjaya itu berkata pihaknya menganggap undang-undang tersebut melanggar peraturan pasaran dalaman EU, hak asasi individu dan nilai-nilai EU.
Orban pada bulan lalu dalam ucapannya mempertahankan rang undang-undang itu berkata, “propaganda jantina merupakan ancaman terbesar kepada anak-anak kita.
“Kita mahu mereka dibiarkan bersendirian… Perkara seperti ini tidak ada tempat di Hungary, terutamanya bukan di sekolah kita”.
Sumber: Reuters