Terkini
Harga sayur dijangka turun minggu depan
Harga sayur-sayuran yang sebelum ini melonjak naik susulan musim hujan dan banjir yang melanda negara, dijangka turun sehingga 40 peratus, mulai minggu ini.
- Cuaca baik menyebabkan keluaran hasil sayuran kembali meningkat dengan jangkaan bekalan sayuran kembali stabil mulai minggu depan. – Pengerusi Persekutuan Penanam Sayur Sayuran Malaysia, Lim Ser Kwee
- “Harga timun sebelum ini melonjak sehingga RM7 kg berikutan hasil sangat kurang kini turun kepada RM2.50 setiap kg selepas pengeluaran meningkat.”
- “Begitu juga harga kacang panjang sebelum ini naik mendadak kepada RM9 kg kini kembali ke harga asal iaitu RM3.50 hingga RM4 setiap kg.”
- Hujan lebat berterusan jejaskan ladang sayuran di Johor, Pahang dan Perak sekali gus menyebabkan harga bahan mentah itu melonjak naik di kawasan terjejas berikutan bekalan terjejas dan dijangka hanya akan pulih secara berperingkat hujung bulan ini,” katanya.
JOHOR BAHRU: Harga sayur-sayuran yang sebelum ini melonjak naik susulan musim hujan dan banjir yang melanda negara, dijangka turun sehingga 40 peratus, mulai minggu ini.
Pengerusi Persekutuan Penanam Sayur Sayuran Malaysia, Lim Ser Kwee, berkata ia susulan cuaca yang kembali baik sejak minggu lalu.
Katanya, cuaca baik menyebabkan pengeluaran hasil sayuran kembali meningkat dengan jangkaan bekalan sayuran kembali stabil mulai minggu depan.
“Cuaca baik sejak minggu lalu menyebabkan pengeluaran sayur-sayuran negara terutama di Johor, Pahang dan Perak kembali meningkat.
“Harga timun yang sebelum ini melonjak sehingga RM7 sekilogram (kg) berikutan hasil yang sangat kurang kini turun kepada RM2.50 setiap kg selepas pengeluaran meningkat.
“Begitu juga harga kacang panjang yang sebelum ini naik mendadak kepada RM9 kg kini kembali ke harga asal iaitu RM3.50 hingga RM4 setiap kg.
“Kita menjangkakan bekalan sayuran akan kembali stabil menjelang minggu depan dengan harga sayur kembali murah seperti sebelum musim hujan dan banjir,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Sejak bulan lalu, harga sayuran dilaporkan melonjak melebihi 100 peratus, susulan hujan lebat berterusan dan banjir melanda beberapa negeri sejak Disember lalu.
Ser Kwee dilaporkan berkata hujan lebat berterusan menjejaskan ladang sayuran di Johor, Pahang dan Perak sekali gus menyebabkan harga bahan mentah itu melonjak naik di kawasan terjejas berikutan bekalan terjejas dan dijangka hanya akan pulih secara berperingkat hujung bulan ini.
Antara sayuran yang mencatatkan kenaikan harga lebih 100 peratus termasuklah tomato, timun, kacang panjang dan bendi.
Sementara itu, peniaga sayuran pasar basah Tampoi, Wan Baharuddin Ahmad, berkata bekalan sayuran yang diterima daripada pembekal juga kembali meningkat berbanding dua bulan lalu.
“Alhamdulillah, bekalan sayur berdaun yang paling terjejas termasuk bayam, sawi dan kangkung selain tomato, bendi dan kacang panjang, kini semakin pulih.
“Walaupun harganya masih sedikit mahal terutama sayuran berdaun seperti sawi yang kini RM7 kg, namun pembekal memaklumkan harganya akan kembali pulih selepas bekalan meningkat minggu depan,” katanya.
Sumber: Berita Harian