Antarabangsa
Gempa bumi: Syria rayu bantuan dunia
Kerajaan Syria memohon masyarakat antarabangsa tampil membantu negara itu yang dilanda gempa bumi kuat sehingga lebih 850 nyawa terkorban dan ribuan lagi cedera, semalam.
- Kerajaan Syria memohon masyarakat antarabangsa membantu negara itu yang dilanda gempa bumi kuat semalam.
- Kerajaan Syria akan menyediakan kemudahan yang diperlukan bagi membolehkan mereka memberi bantuan kemanusian kepada rakyat Syria – Faisal Mekdad, Menteri Luar Syria.
- Iran, Russia, UAE dan Bahrain menyatakan kesediaan untuk menghantar bantuan ke Syria.
- “Pasukan kami berada di lapangan untuk menilai keperluan dan memberikan bantuan,” kata Setiausaha Agung PBB, Antonio Gutteres.
DAMSYIK: Kerajaan Syria memohon masyarakat antarabangsa tampil membantu negara itu yang dilanda gempa bumi kuat sehingga lebih 850 nyawa terkorban dan ribuan lagi cedera, semalam.
“Syria merayu negara anggota Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Jawatankuasa Palang Merah Antarabangsa serta kumpulan kemanusiaan lain untuk menyokong usaha menghadapi bencana gempa bumi yang dahsyat ini,” kata Kementerian Luarnya dalam satu kenyataan.
Menteri Luarnya, Faisal Mekdad berkata Kerajaan Syria akan menyediakan segala kemudahan yang diperlukan pertubuhan antarabangsa.
“Ia bagi membolehkan mereka memberi bantuan kemanusiaan kepada rakyat Syria,” katanya selepas mesyuarat dengan perwakilan PBB dan kumpulan bantuan.
Sekutu utama Kerajaan Syria, iaitu Iran dan Russia, sudah menyatakan kesediaan untuk menghantar bantuan. Begitu juga beberapa negara Teluk yang sudah pulih hubungan dengan Damsyik, termasuk Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Bahrain.
Sementara itu di New York pula, Perhimpunan Agung PBB bertafakur selama seminit, semalam, bagi menghormati mangsa gempa bumi di Syria dan Turkiye.
“Pasukan kami berada di lapangan untuk menilai keperluan dan memberikan bantuan.
“Kami mengharapkan masyarakat antarabangsa untuk membantu ribuan keluarga terkesan dengan bencana itu. Malah, ramai yang memang sedia berada dalam keadaan sangat memerlukan bantuan kemanusiaan di kawasan yang sukar diakses,” kata Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres, dalam satu kenyataan.
Di Moscow pula, Russia memaklumkan pihaknya sudah menempatkan seramai 300 anggota tentera di Syria bagi membantu pelbagai usaha berkaitan.
Menurut Kementerian Pertahanannya, mereka antara lain membantu membersihkan runtuhan, operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa, serta menyediakan bantuan perubatan. – AFP
Sumber: Berita Harian