Terkini
Andaian tiada prospek kerjaya, gaji rendah faktor kaum Cina tidak minat sertai pasukan polis – Ka Siong
Andaian sukar naik pangkat dan faktor gaji rendah faktor utama kurangnya penyertaan kaum lain, terutama kaum Cina, dalam pasukan polis.

- Andaian sukar naik pangkat dan faktor gaji rendah faktor utama kurangnya penyertaan kaum lain, terutama kaum Cina, dalam pasukan polis.
- Pelbagai usaha dilakukan MCA bagi menggalakkan penyertaan kaum Cina dalam pasukan polis tetapi tidak mendapat sambutan.
- Kaum Cina lebih cenderung untuk bekerja dalam bidang swasta berbanding sektor awam kerana pendapatan diraih lebih lumayan.
- Jika ada pun kaum Cina yang berminat untuk menjadi polis rata-rata yang berkelayakan akan memilih jawatan inspektor.
KUALA LUMPUR – Andaian sukar naik pangkat dan faktor gaji rendah faktor utama kurangnya penyertaan kaum lain, terutama kaum Cina, dalam pasukan polis.
Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata dua faktor itu menyebabkan kekosongan dalam perjawatan awam itu, tidak diisi.
Katanya, pelbagai usaha dilakukan MCA bagi menggalakkan penyertaan kaum Cina dalam pasukan polis tetapi tidak mendapat sambutan.
“Ini bukan dakwaan, ini satu kenyataan di mana sekitar tahun 2006 hingga 2008, memang Pemuda MCA bersama-sama dengan pertubuhan belia Cina terbesar di Malaysia bersama dengan Astro dan juga beberapa kementerian termasuk Kementerian Dalam Negeri dengan Kementerian Belia dan Sukan untuk menganjurkan satu kempen menggalakkan penyertaan pasukan PDRM besar-besaran,” katanya kepada The Merdeka Times di Wisma MCA, baru-baru ini.
Ka Siong diminta mengulas mengenai isu kekurangan penyertaan kaum Cina dalam perjawatan awam, khususnya dalam pasukan polis.
Bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan sebelum ini dilaporkan berkata tiada halangan kepada mana-mana kaum menyertai pasukan beruniform di negara ini.

Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong ketika ditemu bual The Merdeka Times di pejabat beliau di Wisma MCA
Mengulas lanjut, Ka Siong berkata MCA dengan kerjasama media telah mengadakan siri lawatan jelajah di seluruh negara bagi menerangkan mengenai skop kerjaya Polis Diraja Malaysia (PDRM).
“Ramai mengatakan Cina tak ramai, ya betul, tetapi waktu itu kalau belum penyelarasan gaji, saya masih ingat. Gaji konstabel, gaji lans koperal semua masih lagi rendah.
“Sebab itu ada persepsi bahawa memang benar bahawa dari segi jumlah anggota polis kalau Cina itu memang tak ramai,” katanya.
Beliau berkata kaum Cina lebih cenderung untuk bekerja dalam bidang swasta berbanding sektor awam kerana pendapatan diraih lebih lumayan.
Katanya, jika ada pun yang berminat untuk menjadi polis rata-rata yang berkelayakan dan akan memilih jawatan inspektor.

Beliau sedang menunjukkan risalah dan buku untuk kempen menggalakkan pembabitan kaum Cina dalam kerjaya polis
Ka Siong berkata andaian tiada prospek kerjaya dan kesukaran naik pangkat juga menyebabkan kenapa kaum Cina kurang berminat menyertai PDRM.
“Andaian, katanya tak dapat naik pangkat, nanti dia tak ada masa depan tapi kita (MCA) terangkanlah contoh-contoh macam mana seorang pegawai boleh jadi komisioner.
“Bermaksud kita telah berusaha, setakat mana boleh kita telah usahakan. Kita dah gunakan apa yang patut, buat apa yang patut,” katanya.
Beliau berkata rata-rata belia Cina yang berumur 25 tahun ke atas tidak akan memilih kerjaya polis kerana mempunyai persepsi perjawatan awam itu tidak boleh pergi jauh.
“Bagi saya polis ini sesiapa sahaja boleh sertai. Kita telah pun mengadakan kempen dan saya melihat kita memerlukan orang untuk pecah kes rompak atau apa-apa. Mungkin boleh bercakap Cina. Kita tengok bahasa, kita boleh tahu tak payah translation,” katanya.
MCA turut menerbitkan risalah pelbagai bahasa dan menjalankan sesi temu duga secara walk-in bagi menggalakkan penyertaan kaum Cina dalam perkhidmatan awam dipenuhi.
“Jadi saya rasa itu memang benar, tapi apakan daya, kita dah buat dan nampaknya sambutan pada waktu itu tidak seberapa. Orang datang tengok banyak, tapi nak betul-betul mohon melalui ujian fizikal, selepas itu ada yang failed,” katanya. – The Merdeka Times
