Connect with us

Terkini

Pemuda MCA Pahang kritik Kor Ming ugut rakyat berhubung isu projek MyKiosk

WhatsApp
Facebook0
Twitter
Hidayah Sani

Published

on

Foto: Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming (kiri) & Ketua Pemuda MCA Pahang, Wong Siew Mun (kanan)
  • Pemuda MCA Pahang mengkritik Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming yang dilihat tidak menjawab pertanyaan rakyat berkenaan isu projek MyKiosk, termasuk tentang harga seunit kiosk itu yang didakwa lebih mahal berbanding harga sebuah kereta Axia iaitu RM23,000 ribu.
  • Sebaliknya, Menteri itu didakwa mengugut akan membuat laporan kepada polis dan SKMM atas dakwaan penyebaran fitnah berkenaan projek tersebut.
  • Ketua Pemuda MCA Pahang, Wong Siew Mun menyifatkan apabila tiada jawapan untuk persoalan dikemukakan,  respon balasnya selalu satu ancaman dan dilabel fitnah.

KUALA LUMPUR — Pemuda MCA Pahang mengkritik Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming yang dilihat tidak menjawab pertanyaan rakyat berkenaan isu projek MyKiosk, termasuk tentang harga seunit kiosk itu yang didakwa lebih mahal berbanding harga sebuah kereta Axia iaitu RM23,000 ribu.

Sebaliknya, Menteri itu didakwa mengugut akan membuat laporan kepada polis dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) atas dakwaan penyebaran fitnah berkenaan projek tersebut.

Ketua Pemuda MCA Pahang, Wong Siew Mun menyifatkan apabila tiada jawapan untuk persoalan dikemukakan,  respon balasnya selalu satu ancaman dan dilabel fitnah.

Menteri sendiri yang umum, harga satu unit kiosk naik sebab ada tambahan spesifikasi hebat seperti reka bentuk yang lebih mesra pengguna, tenaga solar lebih besar, sistem elektrik canggih, siap dengan lampu LED lagi. 

“Tapi realitinya, kerajaan sendiri kemudian dedahkan banyak kiosk tersadai sampai terpaksa arahkan PBT (pihak berkuasa tempatan) tolong cari penyewa, kalau tak, projek RM150 juta ni akan jadi gajah putih rasmi. 

“Lepas tu, rakyat pun tanya, kenapa kiosk ni mahal sangat? Axia baru RM23,000 kot. Kenapa banyak kiosk kosong, sunyi macam tapak semaian? 

“Tiba-tiba, Menteri KPKT naik angin… Bukannya jawab persoalan rakyat, tetapi terus ugut nak lapor SKMM, polis, katanya rakyat sebar fitnah. Eh, tanya pun salah ke sekarang?,” kata Siew Mun menerusi klip video dimuat naik di TikTok semalam.

Dalam masa sama, Siew Mun berkata pihaknya akan terus membangkitkan persoalan berkenaan projek MyKiosk itu, sekali gus menuntut jawapan untuk rakyat.

“Jangan risau, kami akan terus tanya, terus selidik dan terus tuntut jawapan untuk rakyat, bukan untuk menteri minum teh,” katanya yang mengaku beliau adalah ‘team rakyat’.

Dalam klip video berdurasi satu minit 24 saat itu, Siew Mun turut menyertakan beberapa tangkap layar artikel, termasuk laporan bertajuk, “KPKT Nafi Tuduhan Terhadap MyKiosk, Bakal Laporkan TikToker Ke SKMM, Polis”.

Laporan diterbit semalam itu antara lain menyatakan bahawa KPKT akan mengambil tindakan tegas terhadap pihak yang menyebarkan video fitnah berhubung projek MyKiosk@KPKT di media sosial, termasuk membuat laporan kepada polis dan SKMM.

Menterinya, Kor Ming, berkata Jabatan Kerajaan Tempatan (JKT) telah diarahkan untuk mengesan individu atau TikToker yang terlibat dalam penularan video berunsur fitnah itu, khususnya membabitkan dakwaan kononnya projek berkenaan mengandungi unsur kronisme dan salah guna peruntukan.

“Kita akan buat laporan kepada SKMM di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) dalam masa terdekat. Saya juga akan jemput Tan Sri Azam Baki (Ketua Pesuruhjaya SPRM) datang ke pejabat untuk ‘minum teh’, ini bagi membolehkan tindakan undang-undang diambil ke atas mereka yang menyebarkan berita palsu,” katanya dipetik The Rakyat Insight.

Menurut BERNAMA, projek MyKiosk KPKT adalah inisiatif kementerian itu untuk membantu kelompok B40 dan peniaga perusahaan mikro, kecil, dan sederhana (PMKS) dengan menyediakan ruang niaga yang seragam, selamat dan selesa.

Projek itu bertujuan meningkatkan pendapatan dan taraf sosioekonomi penduduk setempat melalui penyediaan kios perniagaan dengan kadar sewaan yang rendah.

Sehingga Disember 2024, sebanyak 7,243 unit MyKiosk telah diluluskan di 133 PBT di seluruh negara, membantu lebih 7,000 keluarga meningkatkan pendapatan mereka.— The Merdeka Times

Author