Terkini
Kerajaan diminta jelaskan isu lesen kilang nikotin di Johor – Pemuda MCA
- Ketua Penerangan Pemuda MCA, Neow Choo Seong berkata penjelasan itu termasuk berkenaan proses pemberian lesen, agensi yang terlibat, syarat-syarat pengeluaran, dan langkah-langkah pengawalseliaan.
- Sebarang langkah pemberian lesen kepada syarikat luar, lebih-lebih lagi yang mempunyai latar belakang berkenaan vape ganja untuk beroperasi di Malaysia bukan saja sensitif tetapi juga kontroversial, berikutan negara ini masih belum memiliki kerangka undang-undang menyeluruh dan kukuh berkaitan industri vape.
- “Sebelum mengeluarkan lesen, sepatutnya ada proses perundingan awam, perbincangan dan penelitian pelbagai agensi kesihatan, dan penilaian perlu dibuat secara teliti khususnya kesan terhadap sosial, kesihatan dan keselamatan rakyat di negara ini.
- “Secara prinsip, kesihatan awam harus sentiasa menjadi keutamaan dalam mana-mana dasar kerajaan,” – Neow Choo Seong
KUALA LUMPUR — Kerajaan perlu tampil memberi penjelasan secara rasmi dan terperinci berhubung sebuah syarikat e-rokok dan vape ganja berpangkalan di California, Amerika Syarikat dilapor memperoleh lesen pengilangan nikotin sementara pertama di Malaysia.
Ketua Penerangan Pemuda MCA, Neow Choo Seong berkata penjelasan itu termasuk berkenaan proses pemberian lesen, agensi yang terlibat, syarat-syarat pengeluaran, dan langkah-langkah pengawalseliaan.
Choo Seong berkata sebarang langkah pemberian lesen kepada syarikat luar, lebih-lebih lagi yang mempunyai latar belakang berkenaan vape ganja untuk beroperasi di Malaysia bukan saja sensitif tetapi juga kontroversial, berikutan negara ini masih belum memiliki kerangka undang-undang menyeluruh dan kukuh berkaitan industri vape.
“Sebelum mengeluarkan lesen, sepatutnya ada proses perundingan awam, perbincangan dan penelitian pelbagai agensi kesihatan, dan penilaian perlu dibuat secara teliti khususnya kesan terhadap sosial, kesihatan dan keselamatan rakyat di negara ini.
“Secara prinsip, kesihatan awam harus sentiasa menjadi keutamaan dalam mana-mana dasar kerajaan.
“Jika benar lesen pengilangan ini diberikan tanpa adanya mekanisme pengawasan yang ketat dan tanpa libat urus menyeluruh dengan pihak KKM (Kementerian Kesihatan), NGO kesihatan serta pakar perubatan tempatan, maka tindakan pembetulan perlu diambil oleh pihak Kerajaan dengan segera bagi melindungi kesihatan dan keselamatan rakyat kita,” katanya kepada The Merdeka Times di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas tentang sebuah syarikat e-rokok dan vape ganja yang berpangkalan di California, Ispire Technology Inc dilapor memperoleh lesen pengilangan nikotin sementara pertama di Malaysia.
Tanpa menyatakan dengan tepat pihak berkuasa persekutuan atau negeri Johor mana yang mengeluarkan lesen tersebut, Ispire mendakwa mereka merupakan satu-satunya syarikat diberi kuasa penuh untuk mengeksport, mengimport dan mengilang produk nikotin, serta memiliki kuasa memulakan pengeluaran produk nikotin di Malaysia “serta-merta”.
Mengulas lanjut, Choo Seong berkata dalam hal ini apa yang lagi membimbangkan adalah apabila wujud dakwaan bahawa syarikat tersebut juga terlibat dengan produk berkaitan ganja.
Beliau berkata walaupun ia untuk pasaran luar, tetap memberi gambaran mengelirukan dan berisiko menormalisasikan penggunaan produk yang boleh menjejaskan kesihatan dan moral masyarakat kita. — The Merdeka Times