Antarabangsa
Pengeluar vape ganja dari AS dapat lesen pengilangan produk nikotin pertama Malaysia
- Syarikat e-rokok dan vape ganja yang berpangkalan di California, Ispire Technology Inc. umum bahawa lesen pengilangan nikotin sementara dikeluarkan di Malaysia diluluskan bulan ini oleh pihak berkuasa persekutuan dan negeri.
- Ispire tidak menyatakan dengan tepat pihak berkuasa persekutuan atau negeri Johor mana yang mengeluarkan lesen tersebut.
- Ispire mendakwa mereka merupakan satu-satunya syarikat yang diberi kuasa penuh untuk mengeksport, mengimport dan mengilang produk nikotin, dan memiliki kuasa untuk memulakan pengeluaran produk nikotin di Malaysia “serta-merta”.
KUALA LUMPUR – Ispire Technology Inc., sebuah syarikat yang tersenarai di Nasdaq di Amerika Syarikat, telah memperoleh lesen sementara untuk mengilang produk nikotin di Malaysia, menjadikannya lesen pengilangan nikotin peringkat persekutuan pertama dan satu-satunya di negara ini.
Syarikat e-rokok dan vape ganja yang berpangkalan di California – yang memiliki Ispire Malaysia Sdn Bhd yang terletak di Senai, Johor – mengumumkan dalam satu siaran media yang dipetik portal kesihatan, CodeBlue, bahawa lesen pengilangan nikotin sementara yang dikeluarkan di Malaysia telah diluluskan bulan ini oleh pihak berkuasa persekutuan dan negeri.
Tanpa menyatakan dengan tepat pihak berkuasa persekutuan atau negeri Johor mana yang mengeluarkan lesen tersebut, Ispire mendakwa bahawa mereka merupakan satu-satunya syarikat yang diberi kuasa penuh untuk mengeksport, mengimport dan mengilang produk nikotin, dan memiliki kuasa untuk memulakan pengeluaran produk nikotin di Malaysia “serta-merta”, lapor portal itu.
“Mendapatkan lesen sementara untuk operasi pengilangan kami di Malaysia adalah pencapaian besar bagi Ispire ketika kami bergerak ke arah menjadikan syarikat ini sebagai penyedia perkakasan vape antarabangsa terkemuka,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Bersama Ispire Technology, Michael Wang, dalam kenyataan media syarikat itu dari Los Angeles, seperti yang dilaporkan kepada Suruhanjaya Sekuriti dan Bursa AS (SEC).

Kenyataan media syarikat Ispire Technology Inc.
“Kami kini secara rasmi boleh memulakan pengilangan dan pemasaran produk nikotin kami di Malaysia, dengan fasiliti di Malaysia bakal mempunyai 80 barisan pengeluaran, meningkat daripada enam barisan sekarang.
“Sebaik sahaja lesen akhir diluluskan dalam beberapa bulan akan datang seperti yang dijangka, keperluan kawal selia kami di Malaysia akan lengkap dan Ispire akan mempunyai lesen pengilangan nikotin persekutuan pertama di negara ini.
“Dengan mempelbagaikan pangkalan pengeluaran kami, kami secara strategik mengurangkan risiko strategi pengeluaran dan mengurangkan kebimbangan terhadap faktor geopolitik yang meningkatkan harga kami,” jelas kenyataan itu yang dilaporkan CodeBlue.
Menurut pembentangan pelabur Ispire pada Mac 2025, Fasa Kedua pengeluaran dari kilang vape mereka di Senai, Johor dijangka bermula hujung tahun ini.
Kilang tersebut – dengan keluasan pengeluaran 86,000 kaki persegi, hampir tiga kali ganda daripada 31,000 kaki persegi di bawah Fasa Pertama – mempunyai kapasiti pengeluaran sebanyak 61 juta peranti atau 107 juta pod sebulan.
Catatan blog Ispire pada 11 Mac menyatakan bahawa pemindahan operasi pengilangannya dari China ke Malaysia adalah sebagai langkah membantu pelanggan mengelak tarif baharu AS ke atas barangan yang diimport dari China dalam perang perdagangan yang sedang berlangsung.
“Kami telah mengubah struktur pengeluaran kami dengan kemudahan moden di Malaysia. Dengan menghasilkan teknologi vaporiser canggih kami di luar China, kami dapat mengurangkan kebergantungan kepada China dan mengelak kenaikan harga akibat tarif.
“Justeru, kami boleh menawarkan produk berkualiti tinggi kepada pelanggan dengan harga yang lebih stabil dan kos tarif yang lebih rendah,” kata Ispire.
Ispire terlibat dalam penyelidikan dan pembangunan, reka bentuk, pengkomersialan, jualan, pemasaran dan pengedaran produk e-rokok dan vape ganja berjenama. Produk nikotin atau tembakau Ispire dipasarkan di bawah jenama Aspire dan dijual di seluruh dunia, kecuali di AS, China dan Rusia.
Ispire merupakan syarikat berasaskan perniagaan ke perniagaan (B2B). Pengedar menjual produk Ispire kepada pemborong atau terus ke kedai runcit, manakala produk ganja Ispire dijual terus oleh pasukan jualannya di California.
Pada Februari tahun lalu, Ispire mengumumkan pembukaan kemudahan pengilangan vape baharu seluas 31,000 kaki persegi di Senai yang menghasilkan peralatan dan aksesori vape termasuk vaporiser, kartrij, sistem pod, vape pakai buang dan bateri untuk industri vape global. – The Merdeka Times.