Terkini
(VIDEO) Lemah kuasai bahasa Melayu antara punca isu bendera terbalik
KUALA LUMPUR — Ketua Penerangan Pemuda MCA, Neow Choo Seong menyifatkan kelemahan penguasaan Bahasa Kebangsaan dalam kalangan segelintir rakyat, termasuk pemimpin, sebagai antara akar permasalahan di sebalik isu pengibaran Jalur Gemilang secara terbalik.
Menurutnya, ketika ini bukan sahaja semangat patriotisme ataupun kenegaraan berada di tahap belum memuaskan, malah semangat keharmonian juga masih lemah yang antara lain turut berkait dengan penguasaan Bahasa Melayu.
Jelas beliau, bahasa merupakan satu medium yang berperanan untuk menyatupadukan masyarakat, khususnya dalam konteks negara ini yang mempunyai rakyat berbilang kaum.
“Apabila saya berhujah, sering kali saya tengok komen netizen akan kata, ‘Oh dia ini sangat mahir bercakap dalam bahasa kebangsaan’.
“Sebenarnya saya tak rasa bangga, malah rasa malu kerana sepatutnya semua orang mahir bercakap dalam bahasa kebangsaan dan ia juga sepatutnya bukan satu kejadian yang unik, tapi kewajiban sebagai seorang warganegara apatah lagi bagi pemimpin masyarakat,” tegasnya dalam episod terbaru Program Analisis Bersama Finaz Yunus yang disiarkan di Youtube The Merdeka Times.
Turut menjadi panel bagi program itu adalah Felo Kanan Majlis Profesor Negara, Profesor Emeritus Datuk Dr Teo Kok Seong dan peguam yang juga penganalisa isu semasa, Tai Zee How.
Choo Seong turut mengkritik segelintir wakil rakyat yang didakwanya gagal menguasai bahasa Kebangsaan, hingga ada yang tidak boleh berbahas sama ada di Parlimen atau Dewan Undangan Negeri disebabkan permasalahan tersebut.
Situasi itu disifatkan beliau sebagai memalukan, yang sekali gus menimbulkan persoalan tentang bagaimana pemimpin berkenaan ingin memperjuangkan isu rakyatnya dan memahamkan mereka berkenaan isu dasar sekiranya bahasa kebangsaan sendiri, gagal dikuasai.
“Ini bagi saya kesedaran yang perlu kita berikan kepada rakyat, kerana tanpa satu bahasa yang boleh menghubungkan antara kaum ini, tak mungkin Malaysia boleh harmoni, tak mungkin rakyat boleh memahami sesama lain,” ujarnya.
Pada 9 Ogos lalu, tular satu video berdurasi 21 saat memaparkan tindakan dua lelaki di sebuah kedai perkakasan di Kepala Batas, Pulau Pinang yang didakwa sengaja memasang dan mengibarkan Jalur Gemilang secara terbalik hingga mencetuskan kecaman warganet.
Video di Pulau Pinang itu tular hanya beberapa hari selepas isu sama berlaku membabitkan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Chung Hua Port Dickson yang dilaporkan telah memohon maaf secara terbuka berikutan insiden pemasangan Jalur Gemilang terbalik di premis sekolah berkenaan pada 1 Ogos lalu, yang disifatkan sebagai kecuaian tidak disengajakan.– The Merdeka Times