Connect with us

Terkini

Setiausaha akhbar, usah sekat kebebasan media

Memegang jawatan setiausaha akhbar kepada menteri sememangnya satu peluang yang dinanti-dinantikan kebanyakan pengamal media. Bukan sahaja berpeluang meraih pengalaman yang tidak semua berupaya memilikinya, setiausaha akhbar turut dilihat sebagai kecemerlangan pembangunan kerjaya seseorang wartawan.

Lidah Pengarang

Published

on

Setiausaha akhbar, usah sekat kebebasan media
Foto: Gambar sekadar hiasan.

Memegang jawatan setiausaha akhbar kepada menteri sememangnya satu peluang yang dinanti-dinantikan kebanyakan pengamal media. Bukan sahaja berpeluang meraih pengalaman yang tidak semua berupaya memilikinya, setiausaha akhbar turut dilihat sebagai kecemerlangan pembangunan kerjaya seseorang wartawan.

Masih saya ingat, sewaktu berusia 21 tahun selaku wartawan junior, saya amat kagum dengan prestasi hampir semua setiausaha akhbar menteri kabinet ketika itu. Bukan sahaja bijak mengendalikan peranannya sebagai pegawai perhubungan awam, namun mereka benar-benar arif dengan tanggungjawab utama iaitu menyalurkan maklumat segera kepada menteri mengenai sebarang isu berkaitan kementerian, terutama sebelum sidang media berlangsung.

Paling saya hargai sepanjang 17 tahun berkhidmat sebagai wartawan, tidak pernah sekali setiausaha akhbar ‘otai’ ini menengking dan mengherdik mana-mana wartawan senior dan saya (wartawan junior) atas setiap soalan yang diajukan kepada menterinya. Apatah lagi melarang media daripada mengajukan apa jua soalan kepada menteri!

Malangnya kecemerlangan ini dilihat seakan makin pudar di era ini. Pemilihan seorang setiausaha akhbar dilihat bak ‘tangkap muat’ atau asal seseorang itu pengamal media atau rakan taulan yang rapat dengan menteri, maka orang itulah yang dilantik walau pengalaman setahun jagung.

Mungkin tidak semua, namun trend pelantikan setiausaha akhbar asal boleh ini dilihat semakin berkembang. Natijah kepada pelantikan tangkap muat ini, atas alasan menjaga dan menaikkan imej menteri di mata masyarakat, setiap soalan kepada menteri perlu ditapis terlebih dahulu oleh mereka dan akhirnya wartawan dilarang daripada mengajukan soalan tersebut ekoran bimbang menjejaskan imej ‘bos’.

Tidak setakat itu, segelintir setiausaha akhbar ini juga seakan tidak peka dengan bidang tugas mereka iaitu memantau media cetak, media sosial dan elektronik membabitkan isu semasa berkaitan kementerian dan menterinya apabila dilihat ‘blur’ terhadap soalan yang mahu wartawan ajukan.

Advertisement

Maka untuk memudahkan tugas mereka, terus mengarahkan wartawan untuk tidak mengajukan soalan tersebut. Sikap sebegini membuatkan saya tertanya jika setiausaha akhbar ini bekas pengamal media, adakah dia benar-benar faham akan peranan seorang wartawan? Adakah dia faham erti kebebasan media dan etika kewartawanan?

Jika setiausaha akhbar ini benar-benar menghadami tugas utama wartawan berdasarkan etika kewartawanan Malaysia iaitu melaporkan kebenaran, mereka tidak akan bersikap sebegini kepada media.

Belum lagi menyentuh etika kewartawanan yang menyebut dalam melaksanakan tugas ini wartawan perlu menghayati kebebasan memungut dan menyiarkan berita secara jujur serta berhak membuat ulasan dan kritik yang saksama.

Namun bagaimana untuk mendapatkan maklum balas menteri saat setiausaha akhbarnya melarang, malah menengking dan memarahi media saat wartawan mengajukan soalan yang memerlukan pencerahan daripada menteri tersebut?

Lebih buruk apabila wartawan dituduh melanggar etika media dan dilabel cuba meniup api perkauman hanya disebabkan ingin mendapatkan kenyataan menteri terhadap satu-satu isu yang mengkritik dasar kementeriannya.

Jatuh bangun seseorang menteri itu banyak bergantung kepada sejauh mana kebijaksanaan seseorang setiausaha akhbar menasihati tindak-tanduknya. Maka buat segelintir setiausaha akhbar, jadilah penasihat yang baik kepada menteri dengan membantu rakan media melaksanakan tugasannya iaitu melaporkan kebenaran demi menghormati hak orang ramai untuk mendapat maklumat yang benar.

Advertisement

Nasihat saya buat segelintir setiausaha akhbar, hayatilah Deklarasi Melaka 2022, yang dilancar Pengarang Urusan Kumpulan The New Straits Times Press (Malaysia) Berhad (NSTP), Datuk Ahmad Zaini Kamaruzzaman yang menyatakan wartawan Malaysia akan terus menjunjung kebebasan bersuara dan kebebasan media bagi memastikan kelangsungan sistem demokrasi yang sihat dan segar.

Hakikatnya, setiausaha akhbar dan media saling memerlukan maka bantulah wartawan dengan tidak cuba menyekat hak kebebasan kami untuk bertanya. -The Merdeka Times

Antarabangsa

Kumpulan hak asasi manusia tuduh Beijing bunuh,dera etnik Uyghur Muslim di kem tahanan Xinjiang

Jawatankuasa Kongres Amerika Syarikat (AS) yang baharu mengenai China yang mengadakan perbicaraan kedua semalam, mengetengahkan apa yang dikatakan Washington sebagai pembunuhan beramai-ramai yang berterusan terhadap Uyghur dan etnik minoriti lain di wilayah Xinjiang China.

Wartawan TMT

Published

on

Kumpulan hak asasi manusia tuduh Beijing bunuh,dera etnik Uyghur Muslim di kem tahanan Xinjiang
Foto: Gulbahar Haitiwaji (kiri), Qelbinur Sidik (kanan).
  • Jawatankuasa Kongres Amerika Syarikat (AS) yang baharu mengenai China yang mengadakan perbicaraan kedua semalam, mengetengahkan apa yang dikatakan Washington sebagai pembunuhan beramai-ramai yang berterusan terhadap Uyghur dan etnik minoriti lain di wilayah Xinjiang China.
  • Kumpulan hak asasi manusia menuduh Beijing melakukan penderaan, termasuk buruh paksa, pengawasan besar-besaran dan menempatkan sejuta atau lebih etnik Uyghur yang kebanyakan Islam dalam rangkaian kem tahanan di Xinjiang.
  • Keadaan di Xinjiang ‘sepatutnya memberi amaran kepada dunia mengenai kepimpinan di bawah PKC’.
  • Panel Dewan mendengar pengalaman diceritakan seorang wanita Uyghur, Gulbahar Haitiwaji yang berkongsi dia menghadapi penderaan dan pendidikan patriotik yang dipaksa sepanjang berada di dalam kem tersebut.

WASHINGTON: Jawatankuasa Kongres Amerika Syarikat (AS) yang baharu mengenai China yang mengadakan perbicaraan kedua semalam, mengetengahkan apa yang dikatakan Washington sebagai pembunuhan beramai-ramai yang berterusan terhadap Uyghur dan etnik minoriti lain di wilayah Xinjiang China.

Kumpulan hak asasi manusia menuduh Beijing melakukan penderaan, termasuk buruh paksa, pengawasan besar-besaran dan menempatkan sejuta atau lebih etnik Uyghur yang kebanyakan Islam dalam rangkaian kem tahanan di Xinjiang.

Ahli Kongres, Mike Gallagher yang juga Pengerusi Republikan Jawatankuasa Pilihan Dewan Perwakilan mengenai Parti Komunis China (PKC), memberitahu pemberita sebelum perbicaraan, keadaan di Xinjiang ‘sepatutnya memberi amaran kepada dunia mengenai kepimpinan di bawah PKC’.

China bersungguh-sungguh menafikan penderaan di Xinjiang dan berkata, ia menubuhkan ‘pusat latihan vokasional’ untuk membendung keganasan, pemisahan dan radikalisme agama.

Perbicaraan itu adalah yang terbaru dalam siri acara yang dirancang untuk dua tahun akan datang, manakala Republikan yang mengawal Dewan Perwakilan untuk meyakinkan rakyat Amerika, bahawa mereka perlu mengambil berat untuk menyaingi China dan untuk ‘memisahkan secara terpilih’ ekonomi negara.

Panel Dewan mendengar pengalaman yang diceritakan seorang wanita Uyghur, Gulbahar Haitiwaji yang bercakap melalui penterjemah, apa yang dikatakannya selama bertahun-tahun di kem di mana dia menghadapi penderaan dan pendidikan patriotik yang dipaksa.

Etnik Uzbekistan, Qelbinur Sidik yang ditugaskan sebagai guru di kem sedemikian melalui penterjemah, turut menggambarkan keadaan seperti penjara yang menurutnya tahanan menghadapi penyeksaan dan soal siasat.

Advertisement

Kedua-dua wanita itu berjaya melakukan perjalanan ke Eropah dan kini mereka menetap di sana.

Keterangan juga didengar daripada peguam terkemuka Amerika Uyghur, Nury Turkel dan penyelidik Jerman, Adrian Zenz, yang berusaha mendokumentasikan tahap kem tahanan di Xinjiang dan Naomi Kikoler dari Muzium Memorial Holocaust AS.

Jurucakap Kedutaan China di Washington, Liu Pengyu, berkata saksi yang dirancang jawatankuasa itu telah ‘mencipta pembohongan berkaitan Xinjiang’ berdasarkan motif politik tersembunyi.

“Kami berharap rakyat Amerika dapat mengenali wajah sebenar pasukan anti-China ini dan tidak terpedaya dengan khabar angin dan pembohongan,” kata Liu sambil menambah, hak asasi manusia semua kumpulan etnik di Xinjiang sudah ‘dilindungi sepenuhnya’.

Kerajaan AS dan parlimen di Britain, Kanada dan negara lain menyifatkan pencegahan kelahiran dan dasar penahanan besar-besaran China di Xinjiang sebagai pembunuhan beramai-ramai.

Laporan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) tahun lalu menyatakan China mungkin sudah melakukan jenayah terhadap kemanusiaan di rantau itu.

Advertisement

Jawatankuasa dwipartisan tidak akan menulis undang-undang tetapi akan membuat cadangan dasar, pada garis masa keras terhadap China adalah salah satu daripada beberapa dasar dengan sokongan dwipartisan dalam Kongres AS yang sangat berpecah belah.

Kikoler dari muzium holocaust berkata, kerajaan China menggunakan taktik halus untuk ‘memusnahkan orang Uyghur dengan sengaja’ termasuk pengawasan dan penahanan besar-besaran, penyeksaan, pemindahan kanak-kanak dan mengehadkan kelahiran.

Zenz berkata, walaupun kerajaan China mengatakan pihaknya menutup kem di Xinjiang dalam beberapa tahun kebelakangan ini, namun ia adalah pusat ‘pendidikan semula’ keselamatan rendah, selain ada perluasan serentak penjara dengan keselamatan lebih tinggi atau kemudahan buruh paksa.

“Kita boleh mengandaikan ratusan ribu sudah dipindahkan ke kemudahan ini, yang telah diperluaskan secara dramatik,” katanya sambil menyatakan terdapat tanda-tanda tahanan beramai-ramai memuncak pada 2018. – REUTERS

Sumber: Berita Harian

Advertisement
Teruskan Membaca
Advertisement

Kata Kunci

Advertisement

Trending