Antarabangsa
Pope John Paul II didakwa ‘diamkan’ jenayah seksual kanak-kanak dilakukan paderi
Pope John Paul II mengabaikan dan menutup kes penderaan seksual kanak-kanak bawah umur melibatkan beberapa paderi sebelum dia menjadi paus (pope).
- Wartawan penyiasat Belanda dakwa Pope John Paul II abaikan dan tutup kes penderaan seksual kanak-kanak bawah umur libatkan beberapa paderi ketika kejadian sebelum dia menjadi paus (pope).
- Wartawan itu, Ekke Overbeek mengatakan Pope John Paul II sebenarnya mengetahui kejadian itu, namun pilih tidak memecat mereka dan sembunyikan kejahatan dibuat paderi-paderi terbabit.
- Overbeek menjalankan penyelidikan arkib berkenaan perkara itu selama tiga tahun di Poland iaitu tempat Pope John Paul II dilahirkan dan menjadi ketua biskop, sebelum dia menjadi paus.
- Profesor Universiti Warsaw, Stanislaw Obirek berkata penyiasatan itu “cukup untuk musnahkan mitos John Paul II seorang wali pada masa mudanya”.
AMSTERDAM – Pope John Paul II mengabaikan dan menutup kes penderaan seksual kanak-kanak bawah umur melibatkan beberapa paderi sebelum dia menjadi paus (pope).
Dakwaan itu dibuat wartawan penyiasat Belanda, Ekke Overbeek berdasarkan kajiannya yang dipetik agensi berita Anadolu.
Overbeek mendakwa Pope John Paul II sebenarnya mengetahui insiden penderaan seksual terbabit, namun memilih tidak memecat dan menyembunyikan kejahatan dibuat ketika paderi-paderi itu berada di bawah pentadbirannya di Krakow, Poland, tempat di mana dia menjadi ketua biskop.
“Saya menjumpai kes konkrit paderi di Keuskupan Agung Krakow, di mana dia yang bakal menjadi paus adalah uskup agung, yang mendera kanak-kanak. Paus itu mengetahuinya tetapi memindahkan lelaki itu yang membawa kepada mangsa baharu.
“Alasan gereja — pembela paus — berpunca daripada fakta bahawa dia tidak akan tahu, bahawa dia memahami keseriusan keadaan itu sangat lewat dan pada mulanya dia menyangka itu adalah masalah Amerika. Semua hujah itu kini boleh digugurkan,” kata Overbeek.
Menurut Overbeek, beliau menjalankan penyelidikan arkib berkenaan perkara itu selama tiga tahun di Poland iaitu tempat Pope John Paul II dilahirkan dan menjadi ketua biskop.
Overbeek dilaporkan sedang menyediakan penyelidikannya sebagai sebuah buku yang akan diterbitkan dalam bahasa Poland tidak lama lagi.
Bercakap mengenai buku itu, Profesor Universiti Warsaw, Stanislaw Obirek berkata penyiasatan itu “cukup untuk memusnahkan mitos John Paul II adalah seorang wali pada masa mudanya”.
Sumber : Anadolu Agency