Terkini
Doktor, jururawat kontrak gesa Menteri Kesihatan beri lantikan tetap di KKM
Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa digesa memperjuangkan nasib doktor dan jururawat kontrak untuk mendapatkan pelantikan tetap ke dalam kementerian berkenaan.

- Gesaan dibuat di ruangan komen Facebook Kementerian Kesihatan Malaysia yang memuat naik beberapa gambar menunjukkan Menteri Kesihatan baru itu menuju ke KKM bagi memulakan tugas rasminya pada Isnin.
- Pakar Kesihatan Awam, Datuk Dr Zainal Ariffin Omar turut bersama mereka dan mengajak semua doktor-doktor terbabit bekerjasamaatur strategi yang betul agar tuntutan mereka didengari dan dilaksanakan.
- Beliau juga berharap tiga perkara diberi perhatian oleh Dr Zaliha Mustafa iaitu berkenaan cadangan penubuhan Suruhanjaya Perkhidmatan Kesihatan Malaysia, bajet KKM dinaikkan sebanyak lima peratus daripada KDNK dan Generational End Game (GEG).
KUALA LUMPUR – Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa digesa memperjuangkan nasib doktor dan jururawat kontrak untuk mendapatkan pelantikan tetap ke dalam kementerian berkenaan.
Gesaan itu dibuat di ruangan komen Facebook Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang memuat naik beberapa gambar menunjukkan Menteri Kesihatan baru itu memulakan tugas rasminya di KKM pada Isnin.
Sebelum ini, gesaan berbentuk demikian pernah disuarakan Gerakan Hartal Doktor Kontrak yang telah mengadakan mogok di seluruh negara sekitar 2021 akibat masalah lantikan tetap mereka ke dalam Kementerian Kesihatan masih belum selesai.
Hasil pemerhatian The Merdeka Times di ruangan komen Facebook KKM mendapati rata-rata doktor dan jururawat mengharapkan Dr Zaliha akan menyelesaikan permasalahan itu dengan segera.
Pakar Kesihatan Awam, Datuk Dr Zainal Ariffin Omar turut bersama mereka dan mengajak semua doktor-doktor terbabit bekerjasama mengatur strategi yang betul agar tuntutan mereka didengari dan dilaksanakan.
Beliau juga berharap tiga perkara diberi perhatian Menteri Kesihatan iaitu berkenaan cadangan penubuhan Suruhanjaya Perkhidmatan Kesihatan Malaysia, bajet KKM dinaikkan sebanyak lima peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dan Generational End Game (GEG) yang sebelum ini diperjuangkan mantan Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin.
Perkara itu juga dipersetujui oleh Gerakan Hartal Doktor Kontrak.
Antara tangkapan layar komen di Facebook:
Pada 26 Julai 2021, Gerakan Hartal Doktor Kontrak mengambil tindakan drastik untuk tidak bekerja pada tarikh itu akibat kegagalan kerajaan memenuhi tuntutan menawarkan pelantikan tetap kepada semua doktor kontrak sedia ada selain menjelaskan kriteria lantikan tetap secara terperinci.
Dalam pada itu, terdapat juga beberapa pengguna Facebook yang membuat rungutan tentang masalah parking di hospital yang didakwa sukar untuk didapati hingga adakala menyusahkan orang awam.
Berikut tangkapan layar berkenaan dakwaan itu;
Kami di sini, mengharapkan kesemua tuntutan dan rungutan daripada pihak terbabit akan didengari dan menemui penyelesaian yang tuntas. – The Merdeka Times
Sumber : Facebook Dr. Zaliha Mustafa, KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA
