Connect with us

Terkini

Isu ‘Ketuanan Malaysia’ , isu basi

Perang antara bangsa Melayu dan Cina adalah perang semantik, iaitu tentang nama konsep seperti ‘Ketuanan Melayu’ atau ‘Ketuanan Malaysia’ yang telah wujud sejak dahulu lagi.

WhatsApp
Facebook0
Twitter
Rasyidah Zulkifli

Published

on

Isu ‘Ketuanan Malaysia’ , isu basi
Foto: Profesor Datuk Dr Jayum Anak Jawan.
  • Perang antara bangsa Melayu dan Cina adalah perang semantik, iaitu tentang nama konsep seperti ‘Ketuanan Melayu’ atau ‘Ketuanan Malaysia’ yang telah wujud sejak dahulu lagi. 
  • Profesor Datuk Dr Jayum Anak Jawan berkata, perbahasan patut berfokuskan kepada penubuhan negara bangsa Malaysia yang ditubuhkan pada 1963. 
  • “Konflik selalu berfokus kepada Melayu dan Cina sedangkan itu isu basi dan kedua-dua kaum itu patut bangkit mengemukakan kerangka bagaimana mengisi Malaysia pasca Malaya seperti pemimpin-pemimpin sudah terjemahkan dengan pelbagai konsep seperti Bangsa Malaysia, Islam Hadhari, 1 Malaysia dan Keluarga Malaysia,” katanya ketika dihubungi The Merdeka Times di sini hari ini.
  • Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kenyataan ‘Ketuanan Malaysia’ yang dikeluarkan Pemimpin veteran DAP, Lim Kit Siang, semalam.

KUALA LUMPUR – Perang antara bangsa Melayu dan Cina adalah perang semantik, iaitu tentang nama konsep seperti ‘Ketuanan Melayu’ atau ‘Ketuanan Malaysia’ yang telah wujud sejak dahulu lagi.

Profesor Sains Politik, Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Felo Akademi Sains, Profesor Datuk Dr Jayum Anak Jawan berkata, perbahasan patut berfokuskan kepada penubuhan negara bangsa Malaysia yang ditubuhkan pada 1963. 

“Konflik selalu berfokus kepada Melayu dan Cina sedangkan itu isu basi dan kedua-dua kaum itu patut bangkit mengemukakan kerangka bagaimana mengisi Malaysia pasca Malaya seperti pemimpin-pemimpin sudah terjemahkan dengan pelbagai konsep seperti Bangsa Malaysia, Islam Hadhari, 1 Malaysia dan Keluarga Malaysia,” katanya ketika dihubungi The Merdeka Times di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kenyataan ‘Ketuanan Malaysia’ yang dikeluarkan Pemimpin veteran DAP, Lim Kit Siang, semalam.

Tambahnya, ‘Ketuanan Melayu’ dan ‘Ketuanan Malaysia’ boleh dianggap sebagai satu perkara yang sama, namun penggunaan konsep itu memberi maksud yang berbeza. 

“Persoalan bagaimana kekuasan politik ditentukan. Pasti jawapannya berdasarkan angka yang menentukan kerajaan. 

“Kalau itu indeksnya, maka ‘Ketuanan Melayu’ atau ‘Ketuanan Malaysia’ akan lahirkan benda sama, iaitu kekuasan yang didominasi oleh Melayu.

“Di Malaysia atau semenanjung, tidak salah merujuk kepada ‘political supremacy’ itu terletak di tangan orang Melayu kerana Orang Melayu ada lebih kurang 125 kerusi dari sejumlah 165 di Semenanjung. Bakinya, lebih kurang 40 kerusi parlimen dari Semenanjung, ada pengundi majoriti dari etnik Cina. Tiada satu kerusi parlimen ada majoriti pengundi India. Ini hakikat,” ujarnya.

Di Pulau Pinang pula, katanya, penduduk dan kerusi DUN yang menentukan kuasa di peringkat negeri itu adalah lebih kurang sama banyak di antara masyarakat Melayu dan Cina. 

“Sementara itu, hanya satu kerusi DUN Pulau Pinang ada majoriti pengundi India. Ini juga fakta. Realiti politik, kerajaan Pulau Pinang oleh masyarakat Cina sejak kerajaan pertama MCA hanya boleh ditegakkan dengan sokongan Melayu dan sebaliknya pun boleh berlaku.

“Di Sarawak, masyarakat terbesar adalah Dayak, sebanyak 45 peratus dari jumlah penduduk di negeri itu. Sementara Melayu adalah 24 peratus,  namun mengemudikan kerajaan di sana. Dan ini boleh berlaku kerana sokongan Dayak dan juga masyarakat Cina yang merupakan penduduk seramai lebih kurang 27 peratus.

“Justeru, dalam bidang sains politik bila bercakap tentang kuasa, maka kekuasaan duduk di tangan majoriti dan ia boleh disebut sebagai ‘Malay political supremacy’ iaitu ‘Ketuanan Melayu’, boleh digunakan juga ‘Ketuanan Malaysia’, namun golongan yang ada majoriti untuk tuntutan kuasa di Semananjung dan Malaysia ialah Melayu Semenanjung kerana mereka ada 125 kerusi majoriti dari 222 yang ada di parlimen Malaysia,” jelasnya.

Author