Terkini
Bajet 2023: Peruntukan terbesar buat sektor pendidikan negara sebanyak RM55.6 bilion
Bantuan awal persekolahan sebanyak RM150 bakal diberikan kepada semua murid tanpa mengira had pendapatan ibu bapa.

- Bantuan awal persekolahan RM150 bakal diberikan kepada semua murid tanpa mengira had pendapatan ibu bapa.
- Kerajaan menambah baik program Rancangan Makanan Tambahan (RMT) dengan menaikkan kadar makanan bermasak RM1.
- Kerajaan menambah peruntukan kepada RM2.3 bilion bagi ruang pembelajaran kondusif dan selamat untuk murid-murid sekolah.
- Kerajaan menawarkan diskaun 20 peratus atas baki hutang untuk penyelesaian penuh pinjaman PTPTN.
- Kadar elaun sara hidup tajaan JPA bagi pelajar dan pegawai dalam negara akan diseragamkan dan dinaikkan RM100 sebulan.
KUALA LUMPUR – Bantuan awal persekolahan sebanyak RM150 bakal diberikan kepada semua murid tanpa mengira had pendapatan ibu bapa.
Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, sebanyak RM825 juta diperuntukkan untuk pemberian bantuan berkenaan.
Menurutnya, ia merupakan sebahagian daripada peruntukan disediakan bagi Kementerian Pendidikan iaitu sebanyak RM55.6 bilion dalam bajet 2023.
“Bagi tahun 2023, Bantuan Awal Persekolahan dinaikkan daripada RM100 kepada RM150 untuk semua murid tanpa mengira had pendapatan ibu bapanya,” katanya dalam pembentangan Bajet 2023 di Parlimen pada Jumaat.
Dalam pada itu, kerajaan menambah baik program Rancangan Makanan Tambahan dengan menaikkan kadar makanan bermasak daripada RM2.50 kepada RM3.50 bagi kawasan Semenanjung manakala Sabah, Sarawak dan Labuan pula ditingkatkan dari RM3 ke RM4.
Sementara itu, kerajaan menambah peruntukan kepada RM2.3 bilion bagi ruang pembelajaran kondusif dan selamat untuk murid-murid sekolah.
Beliau berkata ini merupakan peningkatan ketara berbanding peruntukan RM1.7 bilion tahun ini.
“Dari jumlah tersebut RM1.1 bilion untuk penyelenggaraan dan pembaikan sekolah merangkumi sekolah kebangsaan, sekolah jenis kebangsaan Cina, Tamil dan agama,” katanya.
Tambahnya, kerajaan menawarkan diskaun pembayaran balik Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) bermula 1 November tahun ini hingga 30 April 2023.
Menurut Tengku Zafrul inisiatif tersebut bertujuan bagi memudahkan pembayaran semula serta memupuk tanggungjawab dalam kalangan peminjam PTPTN Ujar beliau, diskaun tersebut ditentukan berdasarkan tiga kategori kadar penyelesaian pembayaran.
“Pertama, diskaun 20 peratus atas baki hutang untuk penyelesaian penuh pinjaman.
Kerajaan turut memberi pengecualian bayaran balik pinjaman PTPTN kepada semua pelajar yang mendapat ijazah sarjana muda kelas pertama.
Selain itu, kadar elaun sara hidup tajaan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) bagi pelajar dan pegawai dalam negara akan diseragamkan dan dinaikkan RM100 sebulan, katanya.
Menurutnya, penyeragaman dan kenaikan di semua peringkat pengajian itu akan menjadikan elaun sara hidup tajaan JPA antara RM730 sehingga RM980 sebulan.
Katanya, kemudahan pendidikan buat anak-anak bumiputera khususnya daripada keluarga susah juga akan terus diberi perhatian.
“Tahun hadapan, sebahagian besar daripada peruntukan RM6.6 bilion kepada Majlis Amanah Rakyat (Mara), Yayasan Peneraju dan Universiti Teknologi Mara (UiTM) adalah untuk menyediakan bumiputera dengan akses pinjaman pendidikan serta peluang mengikuti bidang profesional seperti kejuruteraan,” katanya.
Belanjawan bertemakan Keluarga Malaysia, Makmur Bersama dengan peruntukan keseluruhan berjumlah RM372.3 bilion itu merangkumi empat teras fokus iaitu kesejahteraan rakyat, kelangsungan perniagaan, kemakmuran ekonomi dan kecekapan perkhidmatan kerajaan.
Sumber: Sinar Harian
