Connect with us

Terkini

Bajet 2023: mengangkat nasib wanita, dengan beberapa inisiatif baharu

Kerajaan di bawah inisiatif Cahaya Mata Keluarga Malaysia memberi bantuan tunai one-off sebanyak RM500 kepada golongan ibu dari isi rumah penerima Bantuan Keluarga Malaysia (BKM) yang melahirkan anak pada tahun 2023.

WhatsApp
Facebook0
Twitter
Wartawan TMT

Published

on

Bajet 2023: mengangkat nasib wanita, dengan empat inisiatif baharu
Foto: Gambar sekadar hiasan.
  • Bantuan tunai one-off RM500 kepada golongan ibu dari isi rumah penerima BKM yang melahirkan anak pada tahun 2023.
  • RM235 juta dana pembiayaan tersedia khas untuk wanita di bawah Skim Semarak-Nita BSN, Tekunita Tekun, Dananita Mara dan Bizlady Bank Rakyat.
  • Golongan wanita diberikan pengecualian cukai ke atas pendapatan diterima bagi taksiran 2023 sehingga 2028.
  • Program Kasih Suri Keluarga Malaysia untuk tahun 2023 dilanjutkan dan diperkasakan di bawah skim caruman Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).

KUALA LUMPUR – Kerajaan di bawah inisiatif Cahaya Mata Keluarga Malaysia memberi bantuan tunai one-off sebanyak RM500 kepada golongan ibu dari isi rumah penerima Bantuan Keluarga Malaysia (BKM) yang melahirkan anak pada tahun 2023.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, inisiatif yang memperuntukkan sebanyak RM150 juta itu bertujuan bagi meningkatkan kadar kelahiran dan dalam masa sama mengurangkan kanak-kanak bantut.

Dalam pada itu, katanya kerajaan juga memperuntukkan sejumlah RM235 juta dana pembiayaan tersedia khas untuk wanita di bawah Skim Semarak-Nita BSN, Tekunita Tekun, Dananita Mara dan Bizlady Bank Rakyat.

Jelasnya, peruntukan itu bagi mendorong lebih ramai wanita meningkatkan kapasiti perniagaan dan menambah baik strategi pemasaran mereka.

“Setakat Oktober 2022, wanita memegang 29 peratus komposisi ahli lembaga pengarah bagi 100 syarikat senaraian awam utama dan kesemua 100 syarikat ini mempunyai sekurang-kurangnya seorang wanita sebagai ahli lembaga pengarah mereka,” katanya dalam pembentangan Bajet 2023 di Parlimen pada Jumaat.

Sementara itu, beliau turut memaklumkan golongan wanita diberikan pengecualian cukai ke atas pendapatan diterima bagi taksiran 2023 sehingga 2028.

Katanya, pelepasan cukai itu adalah untuk menggalakkan lebih ramai wanita kembali bekerja selepas tempoh ‘career break’ (berehat).

Malah, beliau memaklumkan bahawa kerajaan akan terus melanjutkan Program Kasih Suri Keluarga Malaysia untuk tahun 2023 dan memperkasa perlindungan ini di bawah skim caruman Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).

Menurutnya, suri rumah yang membuat caruman bawah Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) minimum RM60 setahun akan mendapat insentif padanan tambahan kerajaan bernilai sehingga RM600 setahun merangkumi RM480 simpanan KWSP serta RM120 caruman skim Perkeso.

“Program ini bakal memanfaatkan 200,000 suri rumah dengan sumbangan kerajaan lebih RM120 juta,” katanya.

Belanjawan bertemakan Keluarga Malaysia, Makmur Bersama dengan peruntukan keseluruhan berjumlah RM372.3 bilion itu merangkumi empat teras fokus iaitu kesejahteraan rakyat, kelangsungan perniagaan, kemakmuran ekonomi dan kecekapan perkhidmatan kerajaan.

Author