Terkini
Sudah tiba masa perkasakan undang-undang LGBT
Dewan Ulama Pas Pusat (DUPP) mencadangkan agar undang-undang berkaitan budaya songsang lesbian, gay, biseksual dan transgender (LBGT) diperkasakan dalam usaha mengekang budaya sosial terbabit di negara ini.

- Dewan Ulama Pas Pusat (DUPP) gesa perkasakan undang-undang LGBT bagi membendung budaya sosial terbabit.
- Penguatkuasaan undang-undang LGBT bertujuan mempertahankan negara susulan negara dalam rantau sama telah menghalalkan LGBT.
- Penguatkuasaan undang-undang perlu dilaksanakan khususnya menanggapi proses ‘sexual grooming’ melalui media-media sosial.
- Kerajaan perlu menambah baik dasar sosial di bawah Pelan Tindakan Sosial Islam 2019-2025 bagi membendung LGBT.
YAN – Dewan Ulama Pas Pusat (DUPP) mencadangkan agar undang-undang berkaitan budaya songsang lesbian, gay, biseksual dan transgender (LBGT) diperkasakan dalam usaha mengekang budaya sosial terbabit di negara ini.
Ketua Dewan Ulama Pas Pusat, Datuk Ahmad Yahya berkata, kerajaan perlu peka terhadap ancaman pendukung ideologi LGBT yang sedang meresap masuk ke rantau ini.
Katanya, negara perlu berhadapan dengan realiti getir untuk mempertahankan negara daripada usaha menghalalkan LGBT susulan pengumuman untuk menerima LGBT oleh negara dari rantau yang sama.
Sistem perundangan semasa yang meletakkan amalan LGBT sebagai suatu kesalahan jenayah telah termaktub dalam Seksyen 377 Kanun Keseksaan.
“Begitu juga pelbagai peruntukan enakmen negeri yang perlu diperkasa bagi melindungi ancaman LGBT kepada keutuhan bermasyarakat dalam negara,” katanya ketika memberi ucaptama dalam Muktamar Dewan Ulama Pas di Dewan Serbaguna Guar Chempedak di sini pada Jumaat.
Ujar beliau, DUPP turut menggesa supaya penguatkuasaan undang-undang dilaksanakan secara serius khususnya menanggapi proses ‘sexual grooming’ melalui media-media sosial.
“Kerajaan perlu menambah baik dasar sosial di bawah Pelan Tindakan Sosial Islam 2019-2025 untuk terus mengekang budaya songsang ini daripada terus menular dalam negara.
“Pelan tindakan ini perlu ditambahbaik sejajar dengan perkembangan semasa bagi memastikan setiap ruang-ruang halus penyerapan masuk agenda LGBT dapat segera ditutup,” tegasnya.
Ahmad menambah, peranan Lembaga Penapisan Filem (LPF) juga perlu lebih tegas dalam menghalang usaha normalisasi unsur LGBT melalui karya-karya perfileman yang masuk ke dalam negara.
“Penganjuran konsert yang menampilkan artis-artis Barat juga bertentangan dengan agama dan budaya ketimuran di negara.
“Apatah lagi dalam keadaan negara baharu sahaja menempuh tempoh pemulihan pasca pandemik yang perlu ditanggapi dengan rasa penuh insaf,” katanya.
Tambah beliau lagi, sewajarnya penglibatan agensi agama seperti Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) ke dalam Agensi Pusat Permohonan Penggambaran Filem dan Persembahan Artis Luar Negara (Puspal) diberikan suara yang kuat untuk didengari oleh pihak jawatankuasa.
“Bagaimanapun penglibatan JAKIM seolah-olah sekadar cukup syarat,” katanya.
23 Ogos lalu, media melaporkan kerajaan Singapura mengumumkan untuk memansuhkan Seksyen 377A kanun keseksaan iaitu sebuah undang-undang era kolonial yang menjenayahkan hubungan seks antara lelaki.
Sumber: Sinar Harian
Terkini
DBKL tarik balik larangan jual arak
Lembaga Perlesenan Eksais Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menarik balik larangan penjualan minuman keras di kedai runcit, serbaneka dan ubat Cina.

- Lembaga Perlesenan Eksais Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menarik balik larangan penjualan minuman keras di kedai runcit, serbaneka dan ubat Cina.
- Penarikan balik larangan itu dibuat selepas mesyuarat jawatankuasa terbabit pada 23 November lalu yang mengkaji dan memperbaharui lesen minuman keras untuk pertubuhan perniagaan di Kuala Lumpur.
- Naib Presiden Lembaga Perlesenan Eksais DBKL, Pooi Weng Keng Keong dalam temubual dengan Sin Chew Daily berkata, sebanyak 1,519 permohonan lesen minuman keras telah diluluskan.
- “Kuala Lumpur adalah ibu negara dan bercita-cita untuk menjadi metropolis antarabangsa. Ia juga merupakan tarikan pelancongan yang paling penting bagi pelancong dari seluruh dunia.
- “Ditambah dengan adat berbilang etnik, budaya dan kehidupan negara kita, kita tidak boleh mengamalkan peraturan yang terlalu ketat untuk mengawal alkohol atau melarang penjualan arak di tempat makan yang tidak halal,” katanya dalam temubual dengan Sin Chew Daily pada minggu lalu.
- Penarikan balik larangan itu diselar Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat, Datuk Ahmad Yahaya yang menyifatkan ia sebagai tindakan tidak bertanggungjawab.
- Ahmad berkata garis panduan dikenakan sebelum ini dilaksanakan dengan mengambil kira pelbagai faktor, termasuk sensitiviti kawasan kepadatan penduduk Melayu-Islam, waktu penjualan dan sebagainya.
KUALA LUMPUR – Lembaga Perlesenan Eksais Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menarik balik larangan penjualan minuman keras di kedai runcit, serbaneka dan ubat Cina.
Penarikan balik larangan itu dibuat selepas mesyuarat jawatankuasa terbabit pada 23 November lalu yang mengkaji dan memperbaharui lesen minuman keras untuk pertubuhan perniagaan di Kuala Lumpur.
Naib Presiden Lembaga Perlesenan Eksais DBKL, Pooi Weng Keng Keong berkata sebanyak 1,519 permohonan lesen minuman keras telah diluluskan.
Katanya, larangan penjualan minuman keras di tempat makan yang tidak halal itu dilihat sebagai peraturan terlalu ketat.
“Kuala Lumpur adalah ibu negara dan bercita-cita untuk menjadi metropolis antarabangsa. Ia juga merupakan tarikan pelancongan yang paling penting bagi pelancong dari seluruh dunia.
“Ditambah dengan adat berbilang etnik, budaya dan kehidupan negara kita, kita tidak boleh mengamalkan peraturan yang terlalu ketat untuk mengawal alkohol atau melarang penjualan arak di tempat makan yang tidak halal,” katanya dalam temubual dengan Sin Chew Daily pada minggu lalu.
Di bawah garis panduan dilaksanakan pada 1 November 2021, DBKL melarang kedai runcit, serbaneka dan ubat Cina di Kuala Lumpur daripada menjual minuman keras.
Bagaimanapun, pelanggan masih dibenarkan membeli bir dari premis itu dari 7 pagi hingga 9 malam.
Penarikan balik larangan itu diselar Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat, Datuk Ahmad Yahaya yang menyifatkan ia sebagai tindakan tidak bertanggungjawab.
Ahmad berkata garis panduan dikenakan sebelum ini dilaksanakan dengan mengambil kira pelbagai faktor, termasuk sensitiviti kawasan kepadatan penduduk Melayu-Islam, waktu penjualan dan sebagainya.
“Malah ia dilakukan berikutan kes kemalangan maut yang melibatkan pemanduan di bawah pengaruh alkohol yang menjadi kebimbangan masyarakat dalam negara ketika itu.
“Malang sekali apabila bahagian perlesenan DBKL telah mengambil keputusan mengundur semula ke belakang (reversal).
“Malah, keputusan menarik balik garis panduan berkenaan turut mendapat sokongan padu sebahagian pemimpin utama daripada DAP,” katanya dipetik Harakah Daily.
Ketua Penerangan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan, Abdul Razak Ramli berkata keputusan penarikan balik larangan itu akan membawa kepada lebih banyak masalah sosial.
“Umat Islam perlu bangkit melihat sikap sambil lewa kerajaan terhadap isu ini yang telah mengambil langkah ke belakang terhadap isu arak di Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan.
Kenyataan Abdul Razak mendapat respons Ahli Lembaga Perlesenan Eksais DBKL, Kasthuri Patto yang meminta beliau tidak menumpukan perhatian terhadap perkara itu.
Kashturi dilaporkan media sebagai berkata, Pemuda Pas Wilayah Persekutuan sepatutnya memberi tumpuan kepada unsur salah guna kuasa, rasuah, diskriminasi dan ketidakadilan. – The Merdeka Times
-
Terkini4 days ago
Kibar bendera Israel, lelaki dipenjara enam bulan
-
Terkini4 days ago
Terus beku akaun Aman Palestin, SPRM umpama ‘dera’ penduduk Gaza – Tun Mahathir
-
Terkini4 days ago
Peguam bidas Justice For Sisters kecam penubuhan pusat pemulihan LGBT di Johor
-
Antarabangsa4 days ago
Bekas banduan Palestin dakwa dicabul, diserang guna anjing di penjara rejim Israel