Connect with us

Terkini

SKMM sekat 292 aktiviti pelacuran di platform digital

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) melaporkan telah menerima sejumlah 1090 aduan berkaitan penyebaran kandungan lucah termasuklah di platform Twitter pada tahun 2020 sehingga Ogos 2022.

Wartawan TMT

Published

on

SKMM sekat 292 aktiviti pelacuran di platform digital
Foto: Gambar sekadar hiasan.
  • Ia rekod pada tahun 2020 sehingga Ogos 2022.
  • SKMM telah melaporkan 209 akaun yang memuat naik kandungan berunsur lucah kepada pihak Twitter, dan kesemuanya telah pun diturunkan.
  • 292 laman sesawang didapati menjalankan aktiviti pelacuran turut disekat.
  • Dalam aspek penguatkuasaan, tindakan SKMM terhad kesalahan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (AKM 1998). 
  • “Bagi sebarang kesalahan di bawah peruntukan undang-undang lain contohnya aktiviti mencari langganan bagi maksud persundalan yang boleh menjadi kesalahan di bawah Seksyen 372B Kanun Keseksaan, aduan berkenaan akan dimajukan kepada pihak PDRM untuk penelitian dan tindakan lanjut di bawah peruntukan undang-undang berkenaan.”
  • SKMM beri bantuan teknikal iaitu perkongsian maklumat serta permohonan penurunan kandungan/akaun berdasarkan pengesahan daripada agensi penguatkuasaan berkaitan, secara kes demi kes.

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) melaporkan telah menerima sejumlah 1090 aduan berkaitan penyebaran kandungan lucah termasuklah di platform Twitter pada tahun 2020 sehingga Ogos 2022.

Menurut SKMM, kesemua aduan yang diterima telah diambil tindakan oleh SKMM, malah ia telah dirujuk kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk perhatian dan tindakan lanjut di bawah bidang kuasa mereka.

“Pihak SKMM juga telah melaporkan sejumlah 209 akaun yang didapati memuat naik kandungan-kandungan berunsur lucah kepada pihak Twitter, di mana kesemua akaun dan laman tersebut telahpun diturunkan.

“Pada masa sama, tindakan sekatan ke atas 292 laman sesawang yang didapati menjalankan aktiviti pelacuran turut dilaksanakan oleh SKMM berlandaskan kepada maklumat dan permohonan rasmi yang diterima daripada pihak PDRM, sejajar dengan peruntukan di bawah Seksyen 372, Kanun Keseksaan,” katanya pada Sabtu.

Bagaimanapun, SKMM menjelaskan bahawa dalam aspek penguatkuasaan, tindakan SKMM adalah terhad kepada kesalahan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (AKM 1998). 

Katanya, “Bagi sebarang kesalahan di bawah peruntukan undang-undang lain contohnya aktiviti mencari langganan bagi maksud persundalan yang boleh menjadi kesalahan di bawah Seksyen 372B Kanun Keseksaan, aduan berkenaan akan dimajukan kepada pihak PDRM untuk penelitian dan tindakan lanjut di bawah peruntukan undang-undang berkenaan.”

Sementara itu, pihak SKMM akan memberikan bantuan teknikal termasuklah dari aspek perkongsian maklumat serta permohonan penurunan kandungan/akaun berdasarkan pengesahan daripada agensi penguatkuasaan berkaitan, secara kes demi kes.

Advertisement

Terdahulu, The Merdeka Times melaporkan tentang kewujudan alam ‘Dark Side’ yang telah membarah di Twitter di mana majoritinya melibatkan anak muda yang menawarkan pelbagai khidmat seksual seperti, khidmat seks, menjual video lucah, teks juga panggilan lucah.

Dalam pada itu, orang ramai disarankan untuk melaporkan aktiviti-aktiviti tersebut kepada pihak PDRM untuk perhatian dan tindakan lanjut. Sebarang laporan atau aduan berhubung perkara sedemikian juga boleh dimajukan kepada pihak MCMC melalui portal aduan MCMC di pautan https://aduan.skmm.gov.my. – The Merdeka Times

Author

Terkini

PUTRA tolak cadangan dasar dua kewarganegaraan

Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (PUTRA) menolak dengan tegas cadangan melaksanakan dasar dua kewarganegaraan, dengan merujuk kepada Perkara 24 (1) kerajaan Persekutuan berhak melucutkan kewarganegaraan Malaysia terhadap individu yang memperoleh kewarganegaraan lain sekiranya dikesan memiliki dua kerakyatan. 

Hidayah Sani

Published

on

PUTRA tolak cadangan dasar dua kewarganegaraan
Foto: Gambar sekadar hiasan.
  • Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (PUTRA) menolak tegas cadangan melaksanakan dasar dua kewarganegaraan, dengan merujuk kepada Perkara 24 (1) kerajaan Persekutuan berhak melucutkan kewarganegaraan Malaysia terhadap individu yang memperoleh kewarganegaraan lain sekiranya dikesan memiliki dua kerakyatan. 
  • Ahli Dewan Tertinggi (ADT) merangkap Pengerusi Biro Undang-undang, Anti Rasuah dan Integriti PUTRA, Zarina Zainal Abidin menegaskan sesiapa sahaja iaitu rakyat dikesan memiliki dua kerakyatan perlu melucutkan salah satu daripadanya.
  • Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada pertemuan dengan rakyat Malaysia di New York, Amerika Syarikat (AS) dilaporkan berkata, soal pemilikan dua kerakyatan akan dibincang lebih lanjut dengan menilai implikasi pelaksanaannya kerana ia akan membabitkan keputusan dasar utama.
  • Beliau turut mendesak Perdana Menteri Malaysia dan Kabinet menolak cadangan memansuhkan VISA untuk pelancong Cina dan India. 

KUALA LUMPUR — Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (PUTRA) menolak dengan tegas cadangan melaksanakan dasar dua kewarganegaraan, dengan merujuk kepada Perkara 24 (1) kerajaan Persekutuan berhak melucutkan kewarganegaraan Malaysia terhadap individu yang memperoleh kewarganegaraan lain sekiranya dikesan memiliki dua kerakyatan. 

Ahli Dewan Tertinggi (ADT) merangkap Pengerusi Biro Undang-undang, Anti Rasuah dan Integriti PUTRA, Zarina Zainal Abidin menegaskan sesiapa sahaja iaitu rakyat yang dikesan memiliki dua kerakyatan perlu melucutkan salah satu daripadanya.

Ini susulan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada pertemuan dengan rakyat Malaysia di New York, Amerika Syarikat (AS) dilaporkan berkata, soal pemilikan dua kerakyatan akan dibincang lebih lanjut dengan menilai implikasi pelaksanaannya kerana ia akan membabitkan keputusan dasar utama.

Sesungguhnya, jawapan tersebut amatlah bersifat lebih untuk meraih populariti dan terlalu berpolitik. Apakah wajar bagi seseorang individu mempunyai dua kerakyatan? Di manakah kecenderungan bagi individu terbabit untuk menumpahkan kesetiaanya? 

“Sepatutnya jawapan isu sensitif seumpama ini tidak perlu dilayan dengan jawapan tegas iaitu mana mungkin dan mustahil seseorang boleh memiliki dua kerakyatan malah untuk memohon menjadi rakyat Malaysia mesti memenuhi syarat-syarat yang ketat mengikut undang-undang yang sedia ada selama ini. 

“Malah ada gesaan disyaratkan dengan lebih tegas iaitu penguasaan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Zarina menggesa seluruh rakyat Malaysia khususnya kaum Bumiputera untuk menentang cadangan itu serta berpendirian sebarang kajian tidak perlu dilakukan sama sekali kerana ia keputusan muktamad.

Advertisement

Pada masa sama, beliau mendesak Perdana Menteri Malaysia dan Kabinet menolak cadangan memansuhkan VISA untuk pelancong Cina dan India kerana perkara itu lebih mengundang mudarat daripada keuntungan.

Katanya, perkara perlu diberikan keutamaan bukanlah terkait kerakyatan sebaliknya isu 1.2 juta warga negara China yang direkodkan Kementerian Dalam Negeri (KDN), masuk ke Malaysia dalam tempoh 2018 hingga 2021 namun masih tiada rekod keluar dari negara ini. 

Ia merupakan suatu jumlah yang amat menggusarkan dan perlu diambil tindakan telus dan tegas kerana ianya pelanggaran undang-undang dan soal keselamatan negara. 

“Ini yang patut diberi keutamaan bukan soal kerakyatan dan dikejutkan pula dengan pengumuman Menteri Pelancongan mengenai cadangan pengecualian Visa kepada pelancong terutama dari Cina dan mungkin dari India atas nama kepentingan merancakkan ekonomi tetapi boleh membawa padah kepada keselamatan negara dan masalah sosial yang kini pun sudah parah dan tidak terkawal. 

“Cuba bayangkan jika pelancong Cina masuk tanpa tapisan melalui Visa dengan bebas. Pasti ramai akan hilang dan menetap di Malaysia. 

“Isu rasuah yang menjadi barah akan menjadi lebih buruk di kalangan penguatkuasa. Perkara ini amat mengerikan kepada masa depan negara Malaysia,” kata Zarina. 

Advertisement

Sebelum ini, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing dilaporkan berkata Perdana Menteri telah mengarahkan Kementerian Dalam Negeri (KDN) menghasilkan satu laporan berkenaan pengecualian visa untuk pelancong China.

King Sing berkata, kerajaan dijangka akan mendraf dasar mengenai hari lawatan yang dibenarkan untuk berada di Malaysia melalui perkhidmatan pengecualian visa. — The Merdeka Times

Sumber : Facebook Parti Bumiputera Perkasa Malaysia – PUTRA

Author

Teruskan Membaca

Kata Kunci

Trending