Terkini
‘Dark Side’, kurang kasih sayang keluarga antara punca terlibat pelacuran moden
Terdapat tiga punca yang menyebabkan seseorang individu terjebak dalam dunia ‘dark side’ atau lebih dikenali platform pelacuran moden yang akhirnya membawa kepada keruntuhan akhlak dan moral.

- Tiga punca individu terjebak dunia ‘dark side’ atau lebih dikenali platform pelacuran moden; masalah keluarga, faktor kewangan dan kurang rasa keyakinan diri.
- “Apabila silaturahim seorang anak tidak rapat atau mendapat kasih sayang atau perhatian cukup, itu kemungkinan faktor utama menyebabkan mereka tunjukkan identiti ‘lain’ di laman sesawang,” – Speaker ‘dark side’
- “Faktor kewangan sebab terikut-ikut orang lain pakai beg berjenama mewah dan ingin mendapatkan barang mahal menyebabkan mereka pilih jalan mudah mendapat duit segera (fast money) menerusi akaun ‘dark side’.”
- “Apabila seseorang tidak dapat pujian secara nyata, dia akan buat satu akaun ‘dark side’ mempamerkan segala tubuh badan mereka.
- “Setelah mendapat pujian dari berlainan jantina menyebabkan tahap keyakinan (confidence) diri itu sedikit demi sedikit meningkat.”
SHAH ALAM – Terdapat tiga punca yang menyebabkan seseorang individu terjebak dalam dunia ‘dark side’ atau lebih dikenali platform pelacuran moden yang akhirnya membawa kepada keruntuhan akhlak dan moral.
Speaker topik ‘dark side’, Naufal Nazri berkata, tiga punca tersebut merangkumi masalah keluarga, faktor kewangan dan kurang rasa keyakinan diri.
“Kebiasaan antara punca yang kita boleh lihat atau kita cuba selidik secara mendalam, kegiatan ‘dark side’ ini antara salah satu sebabnya berlaku akibat masalah keluarga.
“Ini kerana apabila silaturahim seseorang anak tidak rapat atau mendapat kasih sayang serta mendapat perhatian cukup, itu kemungkinan faktor utama menyebabkan mereka menunjukkan identiti mereka yang ‘lain’ di laman sesawang,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjadi panelis Program Disebalik Isu Bersama FY yang dikendalikan oleh Finaz Yunus, disiarkan secara langsung di platform digital Sinar Harian pada Jumaat.
Program yang membincangkan topik bertajuk Jual Maruah Kini Trending Di Alam ‘Darkside’ itu turut menampilkan Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Siti Zailah Mohd Yusoff dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Agensi Kelayakan Malaysia (MQA), Profesor Datuk Dr Mohammad Shatar Sabran.
Naufal berkata, faktor kewangan juga memainkan peranan untuk mempengaruhi seseorang terjerumus ke dalam dunia ‘dark side’ tersebut.
“Faktor kewangan sebab terikut-ikut melihat orang lain memakai beg berjenama mewah dan mereka teringin mendapatkan barang mahal seperti itu.”
“Ini menyebabkan mereka mencari jalan mudah dengan mendapat duit secara segera (fast money) menerusi akaun ‘dark side’,” ujarnya.
Beliau berkata, punca terakhir adalah golongan yang terjebak itu kurang keyakinan diri kerana ingin mendapatkan pujian.
“Apabila seseorang itu tidak mendapat pujian secara nyata, dia akan buat satu akaun ‘dark side’ dengan mempamerkan segala tubuh badan mereka.
“Setelah mendapat pujian dari berlainan jantina menyebabkan tahap keyakinan (confidence) diri itu sedikit demi sedikit meningkat.
“Apabila keyakinan, pujian dan duit sudah dapat serta ego menguasai diri sedikit demi sedikit golongan yang terlibat ini akan hanyut,” jelasnya.
Tambahnya lagi, anak muda disebabkan faktor darah muda, jiwa memberontak selain tidak dapat kasih sayang yang penuh daripada ibu bapa menyebabkan mereka hanyut dalam dunia berkenaan.
Dalam pada itu, Naufal menjelaskan definisi ‘dark side’ ini merupakan sebuah akaun khususnya Twitter yang merahsiakan identiti sebenar dengan menunjukkan satu sifat yang berlainan.
“Ini kerana dalam laman ‘dark side’ ia membenarkan penggunanya menyembunyikan identiti sebenar dan mengeksploitasi akaun demi tujuan salah termasuk khidmat langganan seks dan memuat naik hantaran berkaitan pornografi.
‘Kewujudan alam ‘dark side’ yang telah membarah di laman sosial di mana kebanyakan melibatkan anak muda yang menawarkan pelbagai khidmat seksual termasuk khidmat seks, menjual video lucah dan panggilan lucah adalah bertentangan dengan agama dan budaya kita,” jelasnya.
Sumber : Sinar Harian
Terkini
Vape berisi cecair dadah sintetik dikesan AADK
Penggunaan peranti vape berisi cecair dadah sintetik dikesan di negara ini oleh Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK).

- Penggunaan peranti vape berisi cecair dadah sintetik dikesan di negara ini oleh Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK).
- Ketua Pengarah Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), Sutekno Ahmad Belon berkata, kes itu meliputi penggunaan dadah jenis sintetik dan tiada begitu spesifik atau berleluasa.
- “Namun, kita sememangnya ada mengesan dua atau tiga kes yang berlaku sebelum ini.
- “Bahannya kadang-kadang dadah sintetik dalam bentuk cecair dan kita berharap ianya tidak banyak di negara ini,” katanya ketika ditemui pada Program Retreat Bersama Klien AADK dan Malam Apresiasi Media, malam semalam.
KUALA SELANGOR: Penggunaan peranti vape berisi cecair dadah sintetik dikesan di negara ini oleh Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK).
Ketua Pengarah Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), Sutekno Ahmad Belon berkata, kes itu meliputi penggunaan dadah jenis sintetik dan tiada begitu spesifik atau berleluasa.
“Namun, kita sememangnya ada mengesan dua atau tiga kes yang berlaku sebelum ini.
“Bahannya kadang-kadang dadah sintetik dalam bentuk cecair dan kita berharap ianya tidak banyak di negara ini,” katanya ketika ditemui pada Program Retreat Bersama Klien AADK dan Malam Apresiasi Media, malam semalam.
Terdahulu penggunaan peranti vape yang makin popular dalam kalangan masyarakat kini dilaporkan melalui ‘transformasi’ apabila ramai pengguna terutama remaja memilih untuk menggunakan perisa yang mengkhayalkan.
Perisa itu dipercayai menggunakan dadah yang diubah suai kepada cecair dikenali sebagai pedon dan magic mushroom.
Pusat Racun Negara sebelum ini turut mendedahkan magic mushroom yang terkandung atau ditambah dalam vape merujuk kepada ekstrak bahan aktif iaitu Psilocybin untuk mendapatkan kesan halusinogen.
Halusinogen bermaksud kepada halusinasi iaitu keseronokan yang melampau.
Mengulas lanjut, kata Sutekno, AADK akan membuat intervensi awal dengan mendapatkan perintah mahkamah bagi individu itu menjalani rawatan pemulihan.
“Ia melibatkan faktor pengesanan sekiranya mereka didapati positif dadah sama ada menerusi peranti atau secara oral,” ujarnya.
Pada 15 Julai lalu, tindakan tiga beranak menjual campuran dadah cecair jus ganja ke dalam botol cecair vape memakan diri apabila mereka ditahan polis di sekitar Paya Pulai, Segamat, Johor.
Dalam kejadian pukul 5 petang itu, tiga sekeluarga yang diberkas terdiri daripada sepasang suami isteri dan seorang bapa masing-masing berusia 24 dan 49 tahun.
Cecair itu diedarkan kepada penagih, pelajar dan orang awam yang ingin mencuba perisa istimewa (resepi rahsia) di sekitar Segamat.
Difahamkan, sebotol cecair vape dicampur cecair ganja itu berharga lebih RM240, manakala yang kurang berkemampuan ditawarkan plan kemudahan pembelian mampu rasa kepada individu bawah usia termasuk pelajar dengan tiap titisan dijual antara RM3 hingga RM5 sahaja.
Sumber: Utusan Malaysia
-
Terkini4 days ago
(VIDEO) ‘Saya tidak pilih Islam, Islam pilih saya’ – Mualaf
-
Terkini3 days ago
KPDN anjur Jualan Rahmah Beras esok
-
Terkini1 day ago
Samakan pakai seluar pendek dengan dosa minum arak, media Cina cuba kelirukan masyarakat
-
Antarabangsa3 days ago
Model pakai mini skirt tertera dua kalimah syahadah