Terkini
Separuh daripada Semenanjung Malaysia dimiliki orang Cina, gara-gara bangsa Melayu asyik jual tanah – Dr. Mahathir
Tun Dr Mahathir Mohamad mendakwa separuh daripada Semenanjung Tanah Melayu ketika ini telah dimiliki orang Cina ekoran tindakan orang Melayu yang menjual tanah kepada mereka.
- Jika situasi ini berterusan dalam jangka masa 20 tahun, tanah Melayu akan dimiliki oleh orang Cina seperti Singapura.
- “Kenapa? Kerana kita miskin. Kenapa kita miskin kerana kita tak sanggup nak belajar, berusaha mendapat kekayaan. Kita tunjuk macam mana nak dapat kekayaan, tapi kita tolak,” – Dr. Mahathir
- Beliau memohon maaf kepada orang Melayu sekiranya terguris hati berkenaan kenyataan kontroversi beliau sebelum ini yang menyifatkan ‘Melayu malas’.
- Bagaimanapun, beliau tertanya-tanya sama ada permohonan maaf itu mampu mengubah keadaan orang Melayu jika mereka tidak berusaha.
- Beliau ada menyatakan akibat kesempitan wang dan situasi ekonomi mendesak, orang Melayu pilih gadai tanah demi meneruskan kelangsungan hidup.
- Sudah tiba masanya kerajaan dan pemimpin politik mula menitikberatkan hal ini dan tidak hanya berdiam diri.
KUALA LUMPUR – Tun Dr Mahathir Mohamad mendakwa separuh daripada Semenanjung Tanah Melayu ketika ini telah dimiliki orang Cina ekoran tindakan orang Melayu yang menjual tanah kepada mereka.
Katanya, “Di masa hadapan kalau proses penjualan tanah orang Melayu kepada orang Cina berterusan dalam jangka masa 20 tahun, tanah Melayu ini akan dimiliki oleh orang Cina seperti Singapura.
“Kenapa? Kerana kita miskin. Kenapa kita miskin kerana kita tak sanggup nak belajar, berusaha mendapat kekayaan. Kita tunjuk macam mana nak dapat kekayaan, tapi kita tolak,” katanya pada Ahad ketika program Dialog Parti Politik Melayu-Islam, di Hotel Adamson Kuala Lumpur.
Pada masa sama, bekas Perdana Menteri itu turut memohon maaf kepada orang Melayu sekiranya terguris hati berkenaan kenyataan kontroversi beliau sebelum ini yang menyifatkan ‘Melayu malas’.
Bagaimanapun, beliau tertanya-tanya sama ada permohonan maaf itu mampu mengubah keadaan orang Melayu jika mereka tidak berusaha.
“Saya minta maaf. Orang Melayu rajin. Tetapi masalah boleh atasi dengan saya minta maaf? Kalau kerana saya minta maaf itu, maka orang Melayu jadi kaya, baik, saya minta maaf. Itu kalau nak.
“Tetapi kalau kita masih tak berusaha, bekerja kuat, belajar dapat ilmu sebagainya negara kita ini akan hilang daripada tangan kita,” katanya semasa membuat permohonan maaf tersebut susulan terdapat salah seorang peserta yang hadir ke dialog meminta Dr Mahathir berbuat demikian sekiranya serius dengan perjuangan Gerakan Tanah Air (GTA).
Terdahulu, dalam satu temu bual berbeza beliau ada mengatakan bahawa akibat kesempitan wang dan situasi ekonomi yang mendesak, orang Melayu memilih untuk menggadai tanah demi meneruskan kelangsungan hidup.
Tegasnya, situasi ini lebih drastik berlaku ketika pandemik COVID-19 melanda negara, dan ia lebih parah apabila pihak kerajaan tidak menjalankan tanggungjawab yang sepatutnya.
“Sekarang ini penjualan tanah begitu banyak sekali, hampir semua tanah yang ada termasuk yang dirizab pun dijual, dan bila jadi pandemik seumpamanya ramai tiada punca pendapatan.
“Yang ada pada mereka hanya tanah yang sedikit dan aset itu juga dijual dan proses ini semakin cepat.
“Hal ini berlaku kerana rata-rata orang Melayu miskin, kadang-kadang mereka ini tiada punca pendapatan lain, jadi yang ada hanya harta, jadi mereka jual harta mereka,” katanya.
Ahli Parlimen Langkawi itu turut menambah bahawa, sudah tiba masanya kerajaan dan pemimpin politik mula menitikberatkan hal ini dan tidak hanya berdiam diri.