Connect with us

Terkini

12,092 kes jenayah kewangan penipuan dalam talian dilapor tahun ini

Sebanyak 12,092 kes jenayah kewangan penipuan dalam talian dengan nilai kerugian RM414.8 juta dilaporkan sejak Januari hingga Julai tahun ini, kata Ketua Polis Negara Acryl Sani Abdullah Sani.

Wartawan TMT

Published

on

12,092 kes jenayah kewangan penipuan dalam talian dilapor tahun ini
Foto: Ketua Polis Negara Acryl Sani Abdullah Sani, sumber Bernama.
  • Sebanyak 12,092 kes jenayah kewangan penipuan dalam talian dengan nilai kerugian RM414.8 juta dilaporkan sejak Januari hingga Julai tahun ini.
  • Dalam tempoh 2019 hingga Julai 2022, sebanyak 33,147 suspek kes penipuan jenayah siber ditangkap dengan 22,196 kes berjaya dituduh di mahkamah.
  • Tiada statistik di seluruh dunia yang mencatatkan penurunan dalam kes jenayah siber membabitkan penipuan dalam talian dan Malaysia tidak terkecuali apabila trend jenayah itu menunjukkan peningkatan.
  • Sebanyak 13,703 kes dengan nilai kerugian RM539 juta dilaporkan pada 2019 dan jumlah itu terus meningkat kepada 17,227 kes pada 2020 dengan nilai kerugian mencecah RM511.2 juta serta 20,701 kes pada 2021 dengan kerugian RM560.8 juta.

KUALA LUMPUR: Sebanyak 12,092 kes jenayah kewangan penipuan dalam talian dengan nilai kerugian RM414.8 juta dilaporkan sejak Januari hingga Julai tahun ini, kata Ketua Polis Negara Acryl Sani Abdullah Sani.

Beliau yang menyertai pameran secara maya, Jenayah Kewangan: Semak Sebelum Diperdaya anjuran Muzium dan Galeri Seni Bank Negara Malaysia, berkata dalam tempoh 2019 hingga Julai 2022, sebanyak 33,147 suspek kes penipuan jenayah siber ditangkap dengan 22,196 kes berjaya dituduh di mahkamah.

“Kelicikan penjenayah siber mengeksploit perubahan teknologi dan kreatif dalam menjerat mangsa dengan pelbagai modus operandi yang baharu selain kesedaran masyarakat mengenai jenayah itu yang berada pada tahap sederhana, dikenal pasti antara punca peningkatan kes jenayah tersebut,” katanya.

Pameran secara maya menerusi pautan https://museum.bnm.gov.my/ itu bertujuan untuk memberikan panduan dan maklumat untuk mencegah orang ramai daripada menjadi mangsa penipuan kewangan dalam talian.

Turut sama menyertai pameran secara maya itu ialah Gabenor Bank Negara Nor Shamsiah Mohd Yunus.

Acryl Sani mendedahkan jenayah melibatkan penipuan dalam talian yang dikendalikan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman menggariskan tujuh bentuk jenayah utama iaitu belian secara dalam talian, pinjaman tidak wujud, pelaburan dalam talian, Macau Scam, African Scam, Business Email Compromised dan penipuan SMS.

“Lantaran itu, polis melihat wujudnya keperluan untuk menyebar luas seberapa banyak ilmu kepada masyarakat agar mereka dapat mengelakkan diri daripada menjadi mangsa kepada aktiviti jenayah tersebut,” katanya.

Advertisement

Acryl Sani berkata, tiada statistik di seluruh dunia yang mencatatkan penurunan dalam kes jenayah siber membabitkan penipuan dalam talian dan Malaysia tidak terkecuali apabila trend jenayah itu menunjukkan peningkatan.

“Sebanyak 13,703 kes dengan nilai kerugian RM539 juta dilaporkan pada 2019 dan jumlah itu terus meningkat kepada 17,227 kes pada 2020 dengan nilai kerugian mencecah RM511.2 juta serta 20,701 kes pada 2021 dengan kerugian RM560.8 juta,” katanya.

Sumber: Bernama

 

 

Author

Terkini

PUTRA tolak cadangan dasar dua kewarganegaraan

Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (PUTRA) menolak dengan tegas cadangan melaksanakan dasar dua kewarganegaraan, dengan merujuk kepada Perkara 24 (1) kerajaan Persekutuan berhak melucutkan kewarganegaraan Malaysia terhadap individu yang memperoleh kewarganegaraan lain sekiranya dikesan memiliki dua kerakyatan. 

Hidayah Sani

Published

on

PUTRA tolak cadangan dasar dua kewarganegaraan
Foto: Gambar sekadar hiasan.
  • Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (PUTRA) menolak tegas cadangan melaksanakan dasar dua kewarganegaraan, dengan merujuk kepada Perkara 24 (1) kerajaan Persekutuan berhak melucutkan kewarganegaraan Malaysia terhadap individu yang memperoleh kewarganegaraan lain sekiranya dikesan memiliki dua kerakyatan. 
  • Ahli Dewan Tertinggi (ADT) merangkap Pengerusi Biro Undang-undang, Anti Rasuah dan Integriti PUTRA, Zarina Zainal Abidin menegaskan sesiapa sahaja iaitu rakyat dikesan memiliki dua kerakyatan perlu melucutkan salah satu daripadanya.
  • Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada pertemuan dengan rakyat Malaysia di New York, Amerika Syarikat (AS) dilaporkan berkata, soal pemilikan dua kerakyatan akan dibincang lebih lanjut dengan menilai implikasi pelaksanaannya kerana ia akan membabitkan keputusan dasar utama.
  • Beliau turut mendesak Perdana Menteri Malaysia dan Kabinet menolak cadangan memansuhkan VISA untuk pelancong Cina dan India. 

KUALA LUMPUR — Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (PUTRA) menolak dengan tegas cadangan melaksanakan dasar dua kewarganegaraan, dengan merujuk kepada Perkara 24 (1) kerajaan Persekutuan berhak melucutkan kewarganegaraan Malaysia terhadap individu yang memperoleh kewarganegaraan lain sekiranya dikesan memiliki dua kerakyatan. 

Ahli Dewan Tertinggi (ADT) merangkap Pengerusi Biro Undang-undang, Anti Rasuah dan Integriti PUTRA, Zarina Zainal Abidin menegaskan sesiapa sahaja iaitu rakyat yang dikesan memiliki dua kerakyatan perlu melucutkan salah satu daripadanya.

Ini susulan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada pertemuan dengan rakyat Malaysia di New York, Amerika Syarikat (AS) dilaporkan berkata, soal pemilikan dua kerakyatan akan dibincang lebih lanjut dengan menilai implikasi pelaksanaannya kerana ia akan membabitkan keputusan dasar utama.

Sesungguhnya, jawapan tersebut amatlah bersifat lebih untuk meraih populariti dan terlalu berpolitik. Apakah wajar bagi seseorang individu mempunyai dua kerakyatan? Di manakah kecenderungan bagi individu terbabit untuk menumpahkan kesetiaanya? 

“Sepatutnya jawapan isu sensitif seumpama ini tidak perlu dilayan dengan jawapan tegas iaitu mana mungkin dan mustahil seseorang boleh memiliki dua kerakyatan malah untuk memohon menjadi rakyat Malaysia mesti memenuhi syarat-syarat yang ketat mengikut undang-undang yang sedia ada selama ini. 

“Malah ada gesaan disyaratkan dengan lebih tegas iaitu penguasaan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Zarina menggesa seluruh rakyat Malaysia khususnya kaum Bumiputera untuk menentang cadangan itu serta berpendirian sebarang kajian tidak perlu dilakukan sama sekali kerana ia keputusan muktamad.

Advertisement

Pada masa sama, beliau mendesak Perdana Menteri Malaysia dan Kabinet menolak cadangan memansuhkan VISA untuk pelancong Cina dan India kerana perkara itu lebih mengundang mudarat daripada keuntungan.

Katanya, perkara perlu diberikan keutamaan bukanlah terkait kerakyatan sebaliknya isu 1.2 juta warga negara China yang direkodkan Kementerian Dalam Negeri (KDN), masuk ke Malaysia dalam tempoh 2018 hingga 2021 namun masih tiada rekod keluar dari negara ini. 

Ia merupakan suatu jumlah yang amat menggusarkan dan perlu diambil tindakan telus dan tegas kerana ianya pelanggaran undang-undang dan soal keselamatan negara. 

“Ini yang patut diberi keutamaan bukan soal kerakyatan dan dikejutkan pula dengan pengumuman Menteri Pelancongan mengenai cadangan pengecualian Visa kepada pelancong terutama dari Cina dan mungkin dari India atas nama kepentingan merancakkan ekonomi tetapi boleh membawa padah kepada keselamatan negara dan masalah sosial yang kini pun sudah parah dan tidak terkawal. 

“Cuba bayangkan jika pelancong Cina masuk tanpa tapisan melalui Visa dengan bebas. Pasti ramai akan hilang dan menetap di Malaysia. 

“Isu rasuah yang menjadi barah akan menjadi lebih buruk di kalangan penguatkuasa. Perkara ini amat mengerikan kepada masa depan negara Malaysia,” kata Zarina. 

Advertisement

Sebelum ini, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing dilaporkan berkata Perdana Menteri telah mengarahkan Kementerian Dalam Negeri (KDN) menghasilkan satu laporan berkenaan pengecualian visa untuk pelancong China.

King Sing berkata, kerajaan dijangka akan mendraf dasar mengenai hari lawatan yang dibenarkan untuk berada di Malaysia melalui perkhidmatan pengecualian visa. — The Merdeka Times

Sumber : Facebook Parti Bumiputera Perkasa Malaysia – PUTRA

Author

Teruskan Membaca

Kata Kunci

Trending