Terkini
Pengkid pakai ihram di Mekah selalu kikis wanita dengan modal agama
Belum habis terpalit kontroversi memakai ihram ketika menunaikan umrah di Tanah Suci Makkah, terbaharu pengkid tersebut didakwa menjerat wanita lain dengan jantina ‘lelaki’ untuk mengikis duit mangsa.
- Wanita yang terpalit kontroversi memakai ihram ketika menunaikan umrah di Tanah Suci Makkah seperti yang tular baru-baru ini di media sosial, terbaharu didakwa menjerat wanita lain dengan jantina ‘lelaki’ untuk mengikis duit mangsa.
- Pengkid itu dikatakan menggunakan agama sebagai modal menjerat wanita lain.
- “Dia memaklumkan kepada saya ingin mengabdikan diri dan seminggu selepas itu dia mengerjakan umrah dan mengambil video berada di depan Kaabah.Itu mungkin percubaannya untuk meyakinkan mangsa bahawa dia adalah seorang lelaki dan tidak menjadi masalah untuk kami meneruskan hubungan sebagai kekasih,” – mangsa
- Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) Datuk Nadzim Johan, meminta pihak berkuasa agama untuk lebih proaktif dalam menangani kes ‘luar biasa’ seperti ini bagi menjaga imej Islam.
- Penduduk di kawasan perumahan keluarga pengkid itu turut berkongsi bahawa wanita itu tidak pernah berpakaian wanita sejak dia berusia anggaran 13 tahun lagi.
KUALA LUMPUR : Belum habis terpalit kontroversi memakai ihram ketika menunaikan umrah di Tanah Suci Makkah, terbaharu pengkid tersebut didakwa menjerat wanita lain dengan jantina ‘lelaki’ untuk mengikis duit mangsa.
Dilaporkan, wanita itu menjerat beberapa wanita lain dan dikesan menggunakan visa palsu untuk membuktikan jantinanya kepada mangsa.
Terdahulu, media melaporkan berbekalkan janji manis serta perlakuan romantis, wanita itu yang dikenali sebagai ‘Mohd Syahid’ atau ‘Ayid’ menjerat beberapa wanita lain kononnya akan memperisterikan mereka.
Terpedaya dengan pujuk rayu pengkid itu, mangsa lantas membeli pelbagai barangan buat wanita pengkid tersebut yang kononnya untuk persediaan perkahwinan.
Selain itu, dia juga dipercayai menjadikan gambarnya sedang ‘solat Jumaat’ sebagai bukti dia adalah seorang lelaki sejati, yang dikongsikan bersama mangsa beberapa bulan lalu.
Mendedahkan perkara itu, salah seorang mangsanya yang mahu dikenali sebagai Aliya berkata, wanita itu sangat licik untuk meyakinkan mangsanya bahawa dia seorang lelaki sehingga sanggup menjadikan agama sebagai mainan.
“Dia memaklumkan kepada saya ingin mengabdikan diri dan seminggu selepas itu dia mengerjakan umrah dan mengambil video berada di depan Kaabah.
“Itu mungkin percubaannya untuk meyakinkan mangsa bahawa dia adalah seorang lelaki dan tidak menjadi masalah untuk kami meneruskan hubungan sebagai kekasih,” katanya ketika menemui Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) Datuk Nadzim Johan pada Rabu.
Berdasarkan makluman daripada mangsa sebelumnya, mereka mendapati wanita itu menjadikan hubungan istimewa tersebut untuk mengikis mangsa sejak hampir 10 tahun lalu.
Sementara itu, Datuk Nadzim berkata, pihaknya meminta pihak berkuasa agama untuk lebih proaktif dalam menangani kes ‘luar biasa’ seperti ini bagi menjaga imej Islam.
Katanya, semua pihak khususnya pihak berkuasa perlu mengambil tindakan tegas kepada pelaku yang sengaja menghina agama terutama di luar negara.
“Soal ini tidak boleh dibuat main-main kerana ia akan memberi kesan kepada umat Islam. Selain itu pelaku juga berisiko terpesong akidah apatah lagi membabitkan Lesbian, Gay, Biseksual dan Transgender (LGBT) ini,” katanya.
Dalam pada itu, seorang wanita yang enggan dikenali dan tinggal di kawasan perumahan sama dengan keluarga wanita itu berkata, “Dia memang perempuan tetapi sejak dulu berperwatakan tomboi dan berpakaian lelaki sepanjang masa,” katanya di mana ketika itu kali pertama dia melihat wanita itu dianggarkan berusia kira-kira 13 tahun.
“Dari dulu lagi dia tidak pernah berpakaian wanita, sebaliknya hanya memakai seluar dan t-shirt (seperti lelaki). Ketika hari raya juga dia balik ke kampung, tetapi tetap berpakaian seperti lelaki,” katanya di sini, pada Jumaat
Katanya juga, sejak kes mengenai wanita itu tular, keluarganya meninggalkan rumah itu dan mengesahkan ibunya sedih dengan kejadian yang berlaku.
Tembelang wanita itu terbongkar selepas rakaman video dia memakai ihram ketika menunaikan umrah di Tanah Suci Makkah dimuat naik seorang daripada mangsa penipuannya di media sosial sebelum ia tular.
Sementara itu, pada Februari 2020, ahli perniagaan, Muhammad Sajad Kamaruzzaman atau Sajat turut menimbulkan kontroversi sedemikian apabila mengenakan pakaian jemaah wanita ketika mengerjakan umrah.
Antarabangsa
NATO mulakan latihan nuklear besar-besaran di Eropah Utara
Latihan nuklear Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) berskala besar digelar “Steadfast Noon” dengan penyertaan 2,000 tentera dari 13 negara perikatan, membabitkan sehingga 60 pesawat, bermula pada Isnin di utara Eropah, lapor Sputnik.
- Latihan nuklear Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) berskala besar digelar “Steadfast Noon” dengan penyertaan 2,000 tentera dari 13 negara perikatan, membabitkan sehingga 60 pesawat, bermula pada Isnin di utara Eropah, lapor Sputnik.
- Setiausaha Agung NATO, Mark Rutte dilaporkan berkata latihan ketenteraan itu akan dilakukan terutama di UK, di Laut Utara serta di Belgium dan Belanda.
- Menurut Rutte, latihan ketenteraan itu harus menunjukkan kepada mana-mana musuh bahawa NATO bersedia bertindak balas terhadap sebarang ancaman.
- Latihan itu akan berlangsung selama dua minggu dengan lapan pangkalan udara akan terlibat.
- Ia akan membabitkan pelbagai pesawat yang mampu membawa senjata nuklear, pengebom, pejuang pengiring dan pesawat mengisi minyak serta pesawat peninjau dan peperangan elektronik akan mengambil bahagian dalam latihan itu.
Latihan nuklear Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) berskala besar digelar “Steadfast Noon” dengan penyertaan 2,000 tentera dari 13 negara perikatan, membabitkan sehingga 60 pesawat, bermula pada Isnin di utara Eropah, lapor Sputnik.
Setiausaha Agung NATO, Mark Rutte dilaporkan berkata latihan ketenteraan itu akan dilakukan terutama di UK, di Laut Utara serta di Belgium dan Belanda.
Menurut Rutte, latihan ketenteraan itu harus menunjukkan kepada mana-mana musuh bahawa NATO bersedia bertindak balas terhadap sebarang ancaman.
Latihan ketenteraan itu dirancang dan disediakan selama lebih dari setahun serta tiada senjata tempur akan digunakan dalam latihan itu, kata NATO sebelum ini.
Latihan itu akan berlangsung selama dua minggu dengan lapan pangkalan udara akan terlibat.
Ia akan membabitkan pelbagai pesawat yang mampu membawa senjata nuklear, pengebom, pejuang pengiring dan pesawat mengisi minyak serta pesawat peninjau dan peperangan elektronik akan mengambil bahagian dalam latihan itu.
Perkhidmatan akhbar NATO mengingatkan bahawa pakatan ketenteraan itu sentiasa mengambil langkah untuk memastikan kebolehpercayaan dan keberkesanan pasukan pencegahan nuklear.
Walaupun NATO menganggap latihannya itu dirancang, organisasi anti-perang mengkritik kelakuan mereka dalam konteks ketegangan antarabangsa. – The Merdeka Times