Antarabangsa
CENTHRA desak kerajaan telus, siasat perjanjian Lynas-Pentagon demi elak subahat Genosid
- Pengerusi CENTHRA, Azril Mohd Amin berkata Kerajaan perlu menjelaskan skop perjanjian antara Lynas Rare Earths dan Pentagon, destinasi akhir penggunaan bahan nadir bumi, serta langkah pengawasan bagi memastikan sumber Malaysia tidak menyumbang kepada pelanggaran undang-undang kemanusiaan antarabangsa.
- “Malaysia telah lama mengambil pendirian yang jelas dan berprinsip dalam mempertahankan hak rakyat Palestin untuk menentukan nasib sendiri serta menuntut pematuhan kepada undang-undang antarabangsa.
- “CENTHRA mengambil maklum cadangan PPMM supaya Malaysia menggubal Akta Larangan Eksport Strategik dan berpandangan bahawa cadangan tersebut wajar dipertimbangkan secara serius,” katanya.
KUALA LUMPUR – Pusat Penyelidikan & Advokasi Hak Asasi Manusia (CENTHRA) menyertai gesaan agar kerajaan memberikan penjelasan telus berhubung perjanjian bekalan nadir bumi bernilai AS$96 juta (RM450 juta) antara Lynas Rare Earths dengan Jabatan Pertahanan Amerika Syarikat (Pentagon), berikutan kebimbangan sumber strategik Malaysia dengan rantaian bekalan ketenteraan di Gaza.
Pengerusinya, Azril Mohd Amin berkata pihaknya memandang serius pendedahan mengenai perjanjian antara Lynas Rare Earths dan Jabatan Pertahanan Amerika Syarikat serta kebimbangan yang dibangkitkan Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia (PPMM).
“Pada saat dunia sedang menyaksikan genosid dan pencabulan undang-undang antarabangsa yang paling serius dalam sejarah moden, sebarang urusan yang berpotensi mengaitkan sumber strategik Malaysia dengan rantaian bekalan ketenteraan yang akhirnya digunakan dalam konflik di Gaza wajar diberikan penelitian yang paling ketat dari sudut undang-undang, dasar awam dan kepentingan negara,” katanya kepada The Merdeka Times
Perjanjian yang dimeterai pada Mac lalu itu membolehkan Pentagon membeli produk oksida nadir bumi ringan dan berat dari kemudahan pemprosesan Lynas di Gebeng, Pahang.
Bahan ini penting untuk pembuatan moden dan digunakan dalam sistem ketenteraan, menimbulkan kebimbangan ia boleh menjadi sebahagian daripada rantaian bekalan senjata AS yang seterusnya digunakan oleh Israel di Gaza.
“Malaysia telah lama mengambil pendirian yang jelas dan berprinsip dalam mempertahankan hak rakyat Palestin untuk menentukan nasib sendiri serta menuntut pematuhan kepada undang-undang antarabangsa.” katanya kepada The Merdeka Times.
Beliau menegaskan bahawa perkembangan di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ), khususnya dalam prosiding South Africa lwn. Israel, membawa implikasi besar kepada semua negara.
Dalam undang-undang antarabangsa, kewajipan negara tidak bermula apabila liabiliti akhirnya dibuktikan; ia bermula apabila risiko serius dan munasabah dapat dikenal pasti.
“Undang-undang antarabangsa tidak menuntut negara menunggu sehingga keterlibatan tersebut dapat dibuktikan secara muktamad sebelum bertindak.
“Sebaliknya, prinsip pencegahan yang menjadi teras Konvensyen Genosid 1948 mewajibkan negara mengambil langkah yang munasabah untuk mengelakkan risiko keterlibatan apabila risiko tersebut dapat dikenal pasti secara objektif.” tambahnya.
Walaupun tindakan entiti swasta tidak secara automatik diatributkan kepada negara, CENTHRA menegaskan bahawa Malaysia tidak boleh berpeluk tubuh apabila mempunyai pengetahuan mengenai risiko serius dan kapasiti untuk mengambil langkah pencegahan.
CENTHRA menggesa kerajaan memberikan penjelasan telus mengenai skop perjanjian, destinasi penggunaan akhir (end-use) bahan yang dibekalkan, serta langkah pengawasan bagi memastikan sumber strategik Malaysia tidak menyumbang kepada pelanggaran undang-undang kemanusiaan antarabangsa.
“Ketelusan dalam perkara ini bukan sahaja penting bagi melindungi kedudukan undang-undang Malaysia, tetapi juga bagi memelihara kredibiliti dasar luar negara yang selama ini konsisten mempertahankan keadilan untuk rakyat Palestin.” katanya.
Beliau berkata CENTHRA mengambil maklum cadangan PPMM supaya Malaysia menggubal Akta Larangan Eksport Strategik dan berpandangan bahawa cadangan tersebut wajar dipertimbangkan secara serius.
Kerajaan wajar meneliti sama ada undang-undang tersebut perlu diperkukuhkan dengan memasukkan pertimbangan hak asasi manusia dan undang-undang kemanusiaan antarabangsa sebagai faktor mandatori dalam penilaian eksport bahan strategik. – The Merdeka Times