Terkini
Mustafa Akyol bukan ahli agama, pandangannya liberal dan naif – Mufti Perlis
“Mustafa Akyol bukan seorang agamawan. Dia merupakan pelajar sains politik, tidak mempunyai sebarang latar belakang pengajian agama,” demikian kata Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin mengulas isu sebuah portal berita tempatan yang mendapatkan respon Mustafa Akyol dari Turkiye mengenai Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) melarang pelancong berpakaian mencolok mata di pantai negeri itu.
- “Dia tidak pernah diiktiraf sebagai ahli agama di Turkiye, apatah lagi di peringkat antarabangsa. Mustafa Akyol tidak pernah dikenali sebagai ahli agama.”
- “Itu adalah pemikiran yang naif dari seorang pelajar political science yang mengaku liberal, seperti Mustafa Akyol, dan kemudian menggunakan nas agama untuk menghalalkan perkara-perkara yang tak dihalalkan oleh dunia Barat sekalipun. Di Barat pun, kalau bertelanjang akan diambil tindakan.
- “Isunya ialah, portal itu tidak bertanya kepada orang agama pun. Kenyataan itu bukan kenyataan orang agama. Sebab itu dengan kejahilan Mustafa Akyol itu, dia menyatakan seolah-olah Al-Quran hanya menyatakan perlu tundukkan pandangan. Benar, tapi Al-Quran juga ada bab etika berpakaian,” – Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin
“Mustafa Akyol bukan seorang agamawan. Dia merupakan pelajar sains politik, tidak mempunyai sebarang latar belakang pengajian agama,” demikian kata Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin mengulas isu sebuah portal berita tempatan yang mendapatkan respon Mustafa Akyol dari Turkiye mengenai Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) melarang pelancong berpakaian mencolok mata di pantai negeri itu.
“Dia bukan seorang tokoh agama. Aliran liberal melampau yang bebas daripada kepercayaan-kepercayaan asas berhubung dengan agama, itu adalah Mustafa Akyol.
“Dia tidak pernah diiktiraf sebagai ahli agama di Turkiye, apatah lagi di peringkat antarabangsa. Mustafa Akyol tidak pernah dikenali sebagai ahli agama,” katanya ketika dihubungi The Merdeka Times hari ini.
Dalam pada itu, beliau turut berkata pandangan mengenai agama boleh dirujuk melalui sesiapa sahaja yang berilmu tanpa mengira dia orang tempatan mahupun luar negara.
“Kita boleh merujuk pandangan agama dari sesiapa sahaja kalau dia berilmu, tidak terhad kepada dalam ataupun luar negara. Yang penting orang yang dirujuk itu mengetahui latar isu yang ditanya.
“Islam tiada sifat ‘hanya setempat sahaja boleh menjawab, orang luar tak boleh jawab’. Jika dia ada pengetahuan tentang konteks isu itu dan juga pengetahuan tentang nas-nas yang berkaitan isu itu, barulah dia boleh menjawabnya.”
Beliau turut menyifatkan pandangan dari Mustafa Akyol yang diambil portal berkenaan adalah pandangan yang naif dan tidak boleh diterima oleh pertimbangan akademik dan logik akal yang kuat.
“Isunya ialah, portal itu tidak bertanya kepada orang agama pun. Kenyataan itu bukan kenyataan orang agama. Sebab itu dengan kejahilan Mustafa Akyol itu, dia menyatakan seolah-olah Al-Quran hanya menyatakan perlu tundukkan pandangan. Benar, tapi Al-Quran juga ada bab etika berpakaian.
“Sekiranya kita menggunakan idea Mustafa Akyol itu, bererti boleh lah kita ke pejabat dengan bertelanjang bogel. Boleh lah perempuan tak pakai baju dan yang salah ialah orang yang melihat kemaluannya itu, bukannya dia yang menayangkan kemaluannya.
“Itu adalah pemikiran yang naif dari seorang pelajar political science yang mengaku liberal, seperti Mustafa Akyol, dan kemudian menggunakan nas agama untuk menghalalkan perkara-perkara yang tak dihalalkan oleh dunia Barat sekalipun. Di Barat pun, kalau bertelanjang akan diambil tindakan.
Mengulas lanjut, beliau berkata tuntutan menundukkan pandangan yang disebut dalam Al-Quran bukanlah alasan untuk seseorang bebas berpakaian mendedahkan aurat sesuka hati.
“Dia jangan kata hanya bertelanjang yang diambil tindakan, ini (pelancong di pantai Melaka) bukan bertelanjang terus. Itu bukan argument. Argument nya, awak kata ‘bebas manusia memilih cara berpakaiannya, yang penting kita menundukkan pandangan’. Jadi, bebaslah dia nak menayangkan apa yang dia nak, yang penting kita tundukkan pandangan.
“Kalau argument itu dipakai, tiadalah peraturan pakaian di mana-mana pun. Jadi ini adalah pandangan yang sangat naif, dan sangat tidak dapat diterima pada timbangan akademik dan logik akal yang kuat.” – The Merdeka Times