Terkini
Isu Rohingya sensitif di Parlimen? MP dakwa sukar bawa isu, penyiasat kad UNHCR dihantar cuti belajar
- Pakar Undang-Undang Antarabangsa UKM, Prof Madya Dr Salawati Mat Basir, berkata terdapat juga dakwaan membabitkan seorang pegawai polis yang sedang menyiasat kemungkinan kewujudan sindiket pengeluaran kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) di Terengganu sebelum dihantar mengikuti cuti belajar.
- “Saya cakap terus terang walaupun isu ini sensitif. Ada seorang pegawai polis ini dia memang sedang siasat kemungkinan wujud sindiket mengeluarkan kad UNHCR kerana jumlahnya terlalu ramai.
- “Tapi bila dia sudah mulakan siasatan, tiba-tiba dihantar cuti belajar. Pada saya, ia suatu tindakan yang fishy (menimbulkan persoalan),” katanya menerusi Podcast Bawa Otak terbitan UKM Pakarunding yang dipetik Malaysia Gazette.
MELAKA – Isu berkaitan pelarian Rohingya didakwa semakin sukar dibincangkan secara terbuka apabila terdapat ahli Parlimen yang berdepan kesukaran untuk membangkitkannya di Dewan Rakyat.
Pakar Undang-Undang Antarabangsa Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Madya Dr Salawati Mat Basir, mendakwa perkara itu berdasarkan pengalaman beliau berinteraksi dengan pelbagai pihak sepanjang menjalankan kajian dan perbincangan berkaitan isu Rohingya.
Menurut beliau, terdapat juga dakwaan membabitkan seorang pegawai polis yang sedang menyiasat kemungkinan kewujudan sindiket pengeluaran kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) di Terengganu sebelum dihantar mengikuti cuti belajar.
“Saya cakap terus terang walaupun isu ini sensitif. Ada seorang pegawai polis ini dia memang sedang siasat kemungkinan wujud sindiket mengeluarkan kad UNHCR kerana jumlahnya terlalu ramai.
“Tapi bila dia sudah mulakan siasatan, tiba-tiba dihantar cuti belajar. Pada saya, ia suatu tindakan yang fishy (menimbulkan persoalan),” katanya menerusi Podcast Bawa Otak terbitan UKM Pakarunding yang dipetik Malaysia Gazette.
Salawati turut mendakwa beberapa ahli Parlimen daripada pelbagai parti politik pernah memaklumkan kepadanya mengenai kesukaran yang dihadapi apabila cuba membangkitkan isu pelarian di Dewan Rakyat.
“Saya jumpa semua, ada dua hingga tiga orang daripada parti berbeza tapi dia cakap setiap kali mahu bercakap mengenai isu pelarian (dalam Dewan Rakyat), dia dah kena hempuk awal-awal.
“Kemudian saya jumpa MP lain daripada parti berbeza tapi bila isu itu dibangkitkan ia tidak akan didengari sehingga tenggelam begitu sahaja,” dakwanya.
Beliau berkata, keadaan itu menimbulkan tanggapan bahawa isu Rohingya seolah-olah menjadi perkara sensitif atau tabu untuk dibincangkan secara terbuka walaupun kebimbangan masyarakat terhadap isu tersebut semakin ketara.
Menurutnya, ahli Parlimen sebagai wakil rakyat seharusnya diberikan ruang untuk menyuarakan kebimbangan masyarakat tanpa mengira sama ada isu yang dibangkitkan itu menyenangkan atau sebaliknya kepada mana-mana pihak.
Dalam masa sama, beliau mengingatkan bahawa isu melibatkan imigran dan pendatang tidak wajar dipandang ringan kerana berpotensi memberi kesan kepada landskap politik sekiranya kebimbangan rakyat tidak ditangani dengan baik.
“Saya suka nak ingatkan isu imigran boleh meruntuhkan kerajaan jika kerajaan gagal menangani kebimbangan rakyat dengan baik. Kita sudah melihat di beberapa negara pro pendatang ini bagaimana isu imigran menjadi faktor yang mempengaruhi sokongan rakyat terhadap kerajaan pemerintah,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menggesa kerajaan memberikan penjelasan berhubung dakwaan berkaitan siasatan sindiket kad UNHCR selain menjawab persoalan yang semakin kerap dibangkitkan mengenai pengurusan pelarian Rohingya di negara ini.
Beliau turut menegaskan bahawa ketelusan serta kesediaan untuk mendengar kebimbangan rakyat penting bagi memastikan isu tersebut dapat ditangani dengan baik tanpa menimbulkan persepsi bahawa perbahasan mengenainya cuba dielakkan atau dipinggirkan. – The Merdeka Times