Terkini
Rumah wartawan digeledah pihak berkuasa: ‘Wartawan usah risau, gentar’
- Pensyarah di Jabatan Pengurusan, Fakulti Pengajian dan Pengurusan Pertahanan UPNM, Prof. Madya Ts. Dr. Jessica Ong Hai Liaw berkata, beliau juga berharap perkara tersebut tidak berulang.
- “Kita mengharapkan semua pihak termasuk media sentiasa menggunakan naratif yang betul dan positif demi mengangkat aspirasi kita dalam membawa semangat cintakan negara dan memperkukuh jati diri..
- “Jadi, apa yang berlaku itu diharapkan tidak akan menyebabkan kita berasa gentar ataupun semakin risau, serta tidak berlaku lagi,” katanya.
KUALA LUMPUR – Tindakan pihak berkuasa menggeledah rumah seorang wartawan portal berita baru-baru ini diharapkan tidak mencetuskan rasa gentar atau kerisauan di kalangan pengamal media di negara ini dalam melaporkan isu-isu dalam negara.
Pensyarah di Jabatan Pengurusan, Fakulti Pengajian dan Pengurusan Pertahanan Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), Prof. Madya Ts. Dr. Jessica Ong Hai Liaw berkata, beliau juga berharap perkara tersebut tidak berulang.
“Kita mengharapkan semua pihak termasuk media sentiasa menggunakan naratif yang betul dan positif demi mengangkat aspirasi kita dalam membawa semangat cintakan negara dan memperkukuh jati diri. Itulah naratif betul yang ingin kita bawakan.
“Jadi, apa yang berlaku itu diharapkan tidak akan menyebabkan kita berasa gentar ataupun semakin risau, serta tidak berlaku lagi.
“Kita harap semua pihak dapat melihat perkara ini ke arah yang positif supaya wujud kebebasan yang disertai dengan kawal selia yang betul, dan tidak digembar-gemburkan apa-apa yang ada kalanya boleh menyebabkan salah faham di situ,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.
Baru-baru ini, polis dilaporkan menyerbu rumah wartawan kanan Malaysiakini B Nantha Kumar berkaitan siasatan terhadap laporan mengenai cadangan sistem pengambilan pekerja asing.
Nantha berkata, dua pegawai polis berpakaian biasa tiba pada jam 2.30 petang dan menggeledah kediaman di Seri Serdang selama kira-kira 45 minit.
Bagaimanapun, katanya, tiada barang dirampas semasa serbuan tersebut.
Mengulas lanjut, Jessica berkata, kebebasan media dalam melaporkan isu-isu negara perlu dipertahankan, namun ia mestilah diiringi dengan pengawalseliaan sewajarnya,
Meskipun media mempunyai ‘kuasa’, tambahnya, pengawalseliaan amat penting bagi memastikan pelaporan berita tidak menyentuh isu-isu sensitif melibatkan agama, raja, dan kaum (3R) demi memelihara keharmonian negara.
Beliau turut berharap agar institusi seperti Akademi Kenegaraan Malaysia dapat bertindak sebagai pemantau dalam perkara tersebut di samping menjalinkan kerjasama dengan pihak agensi kerajaan, pengamal media serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
“Selain itu, (fokus terhadap) kecerdasan buatan (AI) adalah perkara penting yang perlu kita beri perhatian sekarang bagi memastikan ia tidak menjadi isu yang boleh dimanipulasi tanpa kawalan,” katanya. – The Merdeka Times