Terkini
JAWI bantah Rain Rave Festival: Penganjur diminta nilai semua konsep, cakna sensitiviti awam
- Membantah penganjuran program tersebut, Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI), Hanifuddin Roslan berkata, ia dilihat berpotensi membawa kepada kemudaratan akhlak dan keruntuhan nilai masyarakat.
- “JAWI menyatakan kekesalan terhadap penganjuran program tersebut dan berharap agar pihak penganjur dapat menilai semula konsep pelaksanaannya dan cakna terhadap sensitiviti masyarakat Malaysia yang berbilang bangsa, agama dan budaya,” katanya.
- Rain Rave Water Music Festival yang dijadualkan berlangsung bermula hari ini hingga 2 Mei menghimpunkan artis tempatan dan antarabangsa.
KUALA LUMPUR – Pihak penganjur program Rain Rave Water Music Festival 2026 diminta menilai semula konsep pelaksanaan program tersebut di samping peka terhadap sensitiviti masyarakat Malaysia yang berbilang bangsa, agama dan budaya.
Membantah penganjuran program tersebut, Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI), Hanifuddin Roslan berkata, ia dilihat berpotensi membawa kepada kemudaratan akhlak dan keruntuhan nilai masyarakat.
“JAWI menyatakan kekesalan terhadap penganjuran program tersebut dan berharap agar pihak penganjur dapat menilai semula konsep pelaksanaannya dan cakna terhadap sensitiviti masyarakat Malaysia yang berbilang bangsa, agama dan budaya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Rain Rave Water Music Festival yang dijadualkan berlangsung bermula hari ini hingga 2 Mei itu menghimpunkan artis tempatan dan antarabangsa.
Acara berskala besar itu dijangka menjadi antara tarikan utama sempena Tahun Melawat Malaysia 2026 (VM2026) dengan menggabungkan muzik, elemen air dan visual interaktif.
Dalam pada itu, Hanifuddin turut merujuk penulisan dikeluarkan Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan berhubung program berkenaan yang menyatakan dengan jelas bahawa Islam tidak menolak hiburan secara mutlak, namun hiburan tersebut hendaklah tertakluk kepada garis panduan yang telah ditetapkan syarak.
Menurutnya, JAWI akan meneruskan pelaksanaan program keagamaan di Wilayah Persekutuan melalui kuliah, ceramah, forum, tausiyah, kempen di media sosial dan khutbah Jumaat berkaitan kepentingan umat Islam untuk sentiasa mematuhi perintah Allah SWT dan menjauhkan diri dari terlibat dalam program-program yang berunsur maksiat.
Sehubungan itu, beliau menambah, JAWI akan menganjurkan bacaan yassin dan solat hajat serentak di seluruh Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan pada hari ini selepas solat Maghrib bagi mendoakan kesejahteraan dan keharmonian hidup warga Wilayah Persekutuan secara khusus dan rakyat Malaysia secara amnya.
“JAWI juga memohon kerjasama semua pihak agar memastikan sebarang penganjuran program berbentuk hiburan tidak mempunyai unsur-unsur yang boleh menjejaskan kesucian agama dan akhlak masyarakat bagi mengelakkan berlakunya kemudaratan yang lebih besar,” katanya.
Dalam pada itu, masjid dan surau di Wilayah Persekutuan telah menyatakan pendirian tidak bersetuju terhadap penganjuran program berkenaan dan menyifatkannya sebagai lebih banyak kemudaratan.
Laman Facebook Masjid Asy Syakirin KLCC menegaskan bahawa kemudaratan itu termasuk pergaulan bebas yang tidak terkawal, menyuburkan maksiat di kawasan terbuka dan budaya hedonisme serta hiburan melampau yang jauh daripada nilai ketimuran dan agama.
“Malaysia sebagai Negara MADANI harus terus menekankan nilai-nilai murni demi mengekalkan keharmonian hidup masyarakat kita. Mari kita bersama menjaga jati diri negara,” katanya lagi. – The Merdeka Times