Terkini
Segera muktamadkan Perlembagaan dalam BM sebagai versi rasmi
- Profesor di Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam (ISTAC) UIAM itu mempersoalkan mengapa proses itu masih belum dimuktamadkan sedangkan terdapat cetakan sedia ada dalam bahasa Melayu.
- “Jika kita lihat Perlembagaan Persekutuan dari segi cetakan dan sebagainya, ia memang wujud dalam bahasa Melayu, namun belum dianggap sebagai teks yang dimuktamadkan dalam proses undang-undang. Sepatutnya perkara ini disegerakan dan kuasa Perlembagaan tersebut perlu diiktiraf dalam bahasa Melayu.” – Profesor Datuk Dr. Ahmad Murad Merican
KUALA LUMPUR – Kerajaan disaran untuk segera memuktamadkan edisi Perlembagaan Persekutuan dalam bahasa Melayu sebagai versi rasmi menggantikan teks asal dalam Bahasa Inggeris.
Menurut Profesor Datuk Dr. Ahmad Murad Merican, usaha mengiktiraf edisi bahasa Melayu itu penting memandangkan kedudukannya sebagai bahasa kebangsaan.
Profesor di Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam (ISTAC), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) itu mempersoalkan mengapa proses itu masih belum dimuktamadkan sedangkan terdapat cetakan sedia ada dalam bahasa Melayu.
“Jika kita lihat Perlembagaan Persekutuan dari segi cetakan dan sebagainya, ia memang wujud dalam bahasa Melayu, namun belum dianggap sebagai teks yang dimuktamadkan dalam proses undang-undang.
“Sepatutnya perkara ini disegerakan dan kuasa Perlembagaan tersebut perlu diiktiraf dalam bahasa Melayu.
“Bahasa Melayu adalah bahasa kebangsaan, jadi inilah asasnya. Wujud satu ketidakwajaran apabila bahasa kebangsaan adalah bahasa Melayu, tetapi Perlembagaan Persekutuan pula tidak diiktiraf dalam bahasa tersebut,” katanya ketika ditemui semalam.
Pada tahun 2023, Peguam Negara ketika itu, Tan Sri Idrus Harun dilaporkan mencadangkan agar edisi Perlembagaan Persekutuan yang diterjemah ke Bahasa Melayu menggantikan teks asal dalam Bahasa Inggeris sebagai versi rasmi.
Idrus berkata, untuk berbuat demikian, cadangan itu memerlukan perkenan Yang di-Pertuan Agong.
Beliau berkata, Perlembagaan Persekutuan bertindak sebagai asas dalam melaksanakan dasar pengasingan kuasa justeru, bagi tahun 2023, menurut Perkara 160A Perlembagaan Persekutuan, Jabatan Peguam Negara (AGC) bercadang untuk mencetak semula Perlembagaan Persekutuan bagi memasukkan pindaan perlembagaan bersejarah terkini.
AGC juga akan mencadangkan kepada kerajaan supaya preskripsi Perlembagaan Persekutuan dalam bahasa kebangsaan menjadi teks rasmi selaras dengan Perkara 160B Perlembagaan Persekutuan.
Kedua-dua cadangan tertakluk kepada perkenan Yang di-Pertuan Agong. – The Merdeka Times