Terkini
Penjajahan bentuk baharu sedang berlaku, Hakis identiti & sistem ilmu – Prof Datuk Dr Murad Merican
- Itu peringatan Profesor Sejarah Sosial dan Intelektual, Institusi Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam (ISTAC), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Profesor Datuk Dr Ahmad Murad Merican mengenai realiti penjajahan bentuk baharu yang menurutnya sedang berlaku dan memberi kesan kepada masyarakat hari ini.
- “Kita telah dan sedang dijajah, dan mungkin akan terus dijajah untuk beberapa ketika… Apa yang sedang berlaku ialah kesan daripada penjajahan yang kita lihat ke atas kita dan juga di Gaza, yang akhirnya menjurus kepada penghakisan identiti, sejarah dan sistem ilmu,” kata beliau sewaktu ditemui media dalam program Perbincangan Meja Bulat : Aku Kasih Malaysia anjuran Akademi Kepimpinan Tun Perak dan Pejabat Perdana Menteri.
KUALA LUMPUR – “Kita telah dan sedang dijajah, dan mungkin akan terus dijajah untuk beberapa ketika.”
Itu peringatan Profesor Sejarah Sosial dan Intelektual, Institusi Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam (ISTAC), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Profesor Datuk Dr Ahmad Murad Merican mengenai realiti penjajahan bentuk baharu yang menurutnya sedang berlaku dan memberi kesan kepada masyarakat hari ini.
Profesor Sejarah Sosial dan Intelektual di Institusi Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam (ISTAC), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) itu berkata, kesan penjajahan masa kini tidak lagi tertumpu kepada penguasaan fizikal semata-mata, sebaliknya melibatkan penghakisan identiti, sejarah dan sistem ilmu sesuatu bangsa.
Menurut beliau, perkembangan tersebut boleh dilihat dalam pelbagai situasi global termasuk di Gaza, yang mencerminkan bagaimana kesan penjajahan memberi implikasi terhadap struktur sosial dan pemikiran masyarakat.
“Apa yang sedang berlaku ialah kesan daripada penjajahan yang kita lihat ke atas kita dan juga di Gaza, yang akhirnya menjurus kepada penghakisan identiti, sejarah dan sistem ilmu,” kata beliau sewaktu ditemui media dalam program Perbincangan Meja Bulat : Aku Kasih Malaysia anjuran Akademi Kepimpinan Tun Perak dan Pejabat Perdana Menteri.
Beliau menjelaskan bahawa penjajahan bentuk baharu beroperasi melalui pengaruh yang lebih luas, termasuk dalam menentukan bagaimana kemajuan sesebuah negara diukur dan difahami.
Katanya, terdapat kecenderungan untuk menjadikan paradigma Barat sebagai ukuran utama dalam pembangunan dunia, sekali gus mempengaruhi dasar dan hala tuju negara lain.
“Amerika Syarikat telah mengumumkan bahawa mereka akan menjadi paradigma yang satu-satunya dalam pembangunan dunia, dalam peraturan dunia. Jadi ini bermaksud bahawa paradigma pengukuran kemajuan Barat akan menakluki dunia dan ini sedang berlaku melalui peperangan, melalui pembunuhan, melalui imperialisme dan sebagainya,” jelasnya.
Dalam pada itu, beliau menegaskan bahawa masyarakat perlu memahami bentuk penjajahan ini dan mengambil langkah untuk mempertahankan kekuatan asas mereka, khususnya dalam aspek identiti dan ilmu.
Menurutnya, penjajahan moden bukan sahaja melibatkan pelucutan kuasa fizikal, tetapi juga usaha melemahkan asas intelektual dan budaya masyarakat.
“Apabila sesuatu bangsa dijajah, bukan sahaja senjata material diambil, tetapi juga kekuatan ilmu, sejarah dan pendidikan. Itu sebenarnya ‘senjata’ kita,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menekankan kepentingan memperkukuh sistem pendidikan, memelihara sejarah dan mempertahankan identiti sebagai langkah asas bagi menghadapi cabaran penjajahan bentuk baharu yang semakin ketara.-The Merdeka Times