Terkini
Isu babi: DAP sepakat jadi perisai ADUN Seri Kembangan
- Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook berkata, parti itu akan mempertahankan hak wakil rakyatnya itu untuk bersuara ‘tanpa mengira akibat’.
- “Saya mewakili Jawatankuasa Pusat DAP menyatakan pendirian kami dengan jelas.Kami tidak akan membiarkan ADUN kami menghadapi serangan atau hadapi apa-apa tekanan sendiri.
- “Mari kita hadapi tekanan ini bersama-sama. Tidak kira apa-apa serangan dan tekanan, apa-apa akibat, keseluruhan DAP pasti akan menjadi perisai Wong Siew Ki. Tiada masalah. Inilah semangat DAP,” katanya.
KUALA LUMPUR – DAP bertekad akan menjadi perisai kepada Ahli Dewan Undangan Negeri Seri Kembangan dari parti itu, Wong Siew Ki dalam menghadapi sebarang tekanan atau serangan politik susulan cadangan kontroversinya berhubung penternakan babi di Selangor.
Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook berkata, parti itu akan mempertahankan hak wakil rakyatnya itu untuk bersuara ‘tanpa mengira akibat’.
Menurutnya, langkah itu diambil apabila wujud desas-desus mengatakan pihak pembangkang di Selangor mungkin akan mengusulkan ‘pembekuan’ terhadap Siew Ki pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) akan datang.
“Saya mewakili Jawatankuasa Pusat DAP menyatakan pendirian kami dengan jelas. Kami tidak akan membiarkan ADUN kami menghadapi serangan atau hadapi apa-apa tekanan sendiri.
“Mari kita hadapi tekanan ini bersama-sama. Tidak kira apa-apa serangan dan tekanan, apa-apa akibat, keseluruhan DAP pasti akan menjadi perisai Wong Siew Ki. Tiada masalah. Inilah semangat DAP,” katanya ketika berucap dalam satu majlis parti baru-baru ini.
Baru-baru ini, dilaporkan Siew Ki telah membangkitkan hujah bahawa perkara melibatkan ternakan babi tersebut menyentuh hak kesamarataan warganegara seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.
Beliau berkata, isu penternakan babi tidak seharusnya dilihat secara berbeza berbanding ternakan lain, malah perlu dinilai dalam kerangka hak sama rata di bawah undang-undang.
Sebelum itu, Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menegur sikap segelintir pihak yang masih tidak berpuas hati serta enggan mematuhi titah larangan penternakan babi di negeri ini.
Baginda bertitah, meskipun arahan telah dikeluarkan sebelum ini, masih kedengaran rungutan yang mempertikaikan keputusan berkenaan.
Dalam pada itu, Anthony berkata, DAP tidak membangkang institusi diraja sebaliknya, benar-benar menghormati institusi tersebut.
Anthony menyifatkan kenyataan Siew Ki berkenaan sebagai tiada masalah dan benar-benar sesuai dengan pendirian parti tersebut.
“Siew Ki mempunyai kebebasan mutlak bersuara.Kami Jawatankuasa Pusat DAP pasti akan mempertahankan kebebasan dan hak beliau untuk bersuara. Kami tahu berkenaan isu ini, pihak pembangkang Perikatan Nasional (PN) pasti akan mengambil kesempatan ini mempolemikkan isu ini. – The Merdeka Times