Terkini
Hujah ‘sarjana queer Muslim’ bercanggah nas Al-Quran; Kerajaan digesa gubal akta larangan promosi LGBT
- Presiden Pertubuhan Ikatan Wanita Antarabangsa Bagi Institusi Keluarga dan Pendidikan Berkualiti (WAFIQ), Prof. Dr. Rafidah Hanim Mokhtar berkata, langkah tersebut penting bagi membendung penyebaran ideologi yang boleh mengelirukan masyarakat, terutama golongan muda.
- “Saya rasa sudah tiba masanya untuk kerajaan mengadakan akta larangan mempromosi nilai orientasi seksual dan identiti gender yang bertentangan dengan undang-undang serta nilai agama dan budaya kita,” tegas beliau.
- Beliau turut menasihatkan golongan muda agar lebih berhati-hati dan sentiasa merujuk kepada sumber yang sahih bagi mengelakkan diri daripada terpengaruh dengan dakyah yang tidak berlandaskan ilmu agama yang tepat.
KUALA LUMPUR – Kerajaan digesa menggubal akta khusus bagi melarang promosi orientasi seksual dan identiti gender yang bertentangan dengan undang-undang, nilai agama, serta budaya di negara ini.
Presiden Pertubuhan Ikatan Wanita Antarabangsa Bagi Institusi Keluarga dan Pendidikan Berkualiti (WAFIQ), Prof. Dr. Rafidah Hanim Mokhtar berkata, langkah tersebut penting bagi membendung penyebaran ideologi yang boleh mengelirukan masyarakat, terutama golongan muda.
“Saya rasa sudah tiba masanya untuk kerajaan mengadakan akta larangan mempromosi nilai orientasi seksual dan identiti gender yang bertentangan dengan undang-undang serta nilai agama dan budaya kita,” tegas beliau.
Beliau turut menasihatkan golongan muda agar lebih berhati-hati dan sentiasa merujuk kepada sumber yang sahih bagi mengelakkan diri daripada terpengaruh dengan dakyah yang tidak berlandaskan ilmu agama yang tepat.
“Orang muda perlu mendapatkan ilmu daripada sumber sahih dan ilmuwan Islam yang diiktiraf. Rujuklah kepada laman web ilmiah seperti Bayan Linnas, portal Fatwa, dan sebagainya. Sentiasa lakukan semakan silang (double check) terhadap setiap maklumat yang diterima,” tambah beliau kepada The Merdeka Times hari ini.
Beliau diminta mengulas laporan media berhubung Seorang individu yang memperkenalkan diri sebagai ‘sarjana queer Muslim’ telah mencetuskan kontroversi apabila menyeru umat Islam untuk menilai semula atau ‘mengkontekstualisasikan’ pemahaman terhadap konsep jantina dan seksualiti sepertimana dilakukan terhadap konsep jihad.
Mengulas mengenai kaedah ‘kontekstualisasi’ yang didakwa individu berkenaan, Dr. Rafidah menyifatkan hujah tersebut sebagai tersasar jauh daripada landasan tafsiran ulama muktabar.
Beliau menjelaskan, naratif yang dibawa individu tersebut bukanlah sesuatu yang baharu, sebaliknya merupakan pengulangan hujah beberapa individu terdahulu seperti Scott Kugle, Amreen Jamal, dan Muhsin Hendrick yang pernah cuba menjustifikasikan homoseksualiti dalam Islam.
Menurut beliau, hujah itu jelas bercanggah dengan nas Al-Quran yang mengklasifikasikan perbuatan homoseksualiti kaum Nabi Luth sebagai fahisyah menerusi surah Al-A’raf (7:80), An-Naml (27:54), dan Al-Ankabut (29:28). Merujuk kepada pandangan Ibnu Al-Arabi, fahisyah adalah perbuatan keji dalam kategori dosa-dosa besar.
Menyentuh soal kepelbagaian atau ‘diversiti’, Dr. Rafidah menegaskan bahawa Islam meraikan perbezaan selagi ia tidak menyalahi syarak.
“Bolehkah kita menerima pedofilia sebagai satu bentuk diversiti orientasi seksual? Di mana sempadan diversiti beliau? Diversiti dalam Islam diraikan selagi mana ia tidak menyalahi syarak,” katanya.
Selain itu, Dr. Rafidah menekankan impak kesihatan yang memudaratkan dalam kaitan amalan homoseksualiti dengan jangkitan HIV.
Beliau menarik perhatian bahawa sejak HIV dikesan pada tahun 1985, kementerian kesihatan di seluruh dunia masih terpaksa memantau rapat amalan tersebut sebagai faktor risiko yang perlu diperhatikan secara ketat.- The Merdeka Times