Connect with us

Terkini

LAPORAN KHAS: Had dua penggal Perdana Menteri: Reformasi demokrasi atau tidak perlu?

Published

on

Foto: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
  • “Pengalaman pemerintahan panjang di Malaysia khususnya pada zaman Tun Dr Mahathir Mohamad menjadi Perdana Menteri  menghasilkan situasi politik dominasi yang lebih authoritarian berbanding dengan mana mana Perdana Menteri yang lain,” kata Peguam, Dr Zulqarnain Lukman.
  • Dalam pada itu, pakar perlembagaan, Profesor Madya Datuk Dr Wan Ahmad Fauzi Wan Husain berpandangan bahawa tempoh lama memegang jawatan tidak semestinya membawa kepada autoritarianisme sekiranya mekanisme semak dan imbang berfungsi dengan baik.
  • Dalam masa sama, Pensyarah Kanan Jabatan Sains Politik Universiti Malaya, Dr Mohammad Tawfik Yaakub berpandangan tempoh akhir dua penggal boleh menjadi pemangkin kepada prestasi pentadbiran.

Cadangan menghadkan tempoh jawatan Perdana Menteri (PM) kepada dua penggal terus menjadi perdebatan dalam kalangan pakar undang-undang dan sains politik. 

Perbahasan ini bukan sahaja berkait dengan pengalaman sejarah pemerintahan panjang di Malaysia, malah turut menyentuh persoalan tadbir urus, keseimbangan kuasa serta kestabilan politik masa depan negara.

Ikuti temu ramah eksklusif The Merdeka Times bersama tiga panelis Peguam, Dr Zulqarnain Lukman, Pakar Perlembagaan, Profesor Madya Datuk Dr Wan Ahmad Fauzi Wan Husain dan Pensyarah Kanan Jabatan Sains Politik Universiti Malaya, Dr Mohammad Tawfik Yaakub bagi membincangkan perkara tersebut.

Pengalaman Pemerintahan Lama Dan Trauma Politik

Isu ini sering dikaitkan dengan pengalaman pemerintahan panjang pada era Tun Dr Mahathir Mohamad, yang bagi sesetengah pihak menjadi contoh bagaimana dominasi politik boleh berlaku apabila kuasa terlalu lama tertumpu kepada seorang pemimpin dan satu gabungan parti.

Peguam, Dr Zulqarnain Lukman berpandangan pengalaman tersebut telah meninggalkan kesan mendalam terhadap sistem politik negara.

“Pengalaman pemerintahan panjang di Malaysia khususnya pada zaman Tun Dr Mahathir Mohamad menjadi Perdana Menteri  menghasilkan situasi politik dominasi yang lebih authoritarian berbanding dengan mana mana Perdana Menteri yang lain,” katanya.

Beliau berkata dominasi pihak eksekutif ketika itu amat ketara sehingga melibatkan pindaan terhadap Perlembagaan serta sekatan terhadap kebebasan politik.

“Kelihatan pada ketika itu dominasi pihak eksekutif yang sangat ketara sehingga ada pindaan Perlembagaan yang dibuat yang mengurangkan kuasa raja raja, hak dan kebebasan rakyat. 

“Malah, ramai pemimpin politik yang telah dikenakan tahanan ISA,” tegasnya.

Menurut beliau, kekuatan gabungan parti pemerintah pada masa itu turut menyumbang kepada keadaan tersebut.

“Faktor kekuatan parti Barisan Nasional (BN) pada masa itu juga menyumbang kepada pemerintahan authoritarian.

“Ini adalah kerana tiada mana-mana pemimpin di dalam parti BN yang berani melawan Perdana Menteri,” jelasnya.

Pandangan ini turut dikongsi pensyarah kanan Jabatan Sains Politik Universiti Malaya, Dr Mohammad Tawfik Yaakub yang melihat pengalaman tersebut sebagai penanda aras kepada kemunculan autoritarianisme dalam politik Malaysia.

“Saya berpandangan pengalaman pentadbiran tempoh lama ketika Tun Dr Mahathir menjadi PM 4 telah menjadi benchmark kepada kemunculan autoritarianisme di Malaysia dan menjadi trauma politik kepada rakyat yang mahukan ruang demokrasi terbuka luas,” katanya.

Tambah beliau, dominasi gabungan parti pemerintah ketika itu memperkuatkan cengkaman terhadap kebebasan demokrasi.

“Malah dominasi kekuatan parti iaitu BN pada ketika itu turut menjadi penyumbang kepada cengkaman lebih keras kepada pelbagai kebebasan yang terkandung dalam praktik demokrasi,” ujarnya.

Had Dua Penggal Sebagai Ruang Pembaharuan Kepimpinan

Menurut Dr Zulqarnain, had dua penggal tidak sepatutnya melemahkan kepimpinan seorang Perdana Menteri, sebaliknya membantu perancangan pentadbiran yang lebih sistematik.

Beliau berkata tempoh tersebut juga memberi ruang kepada pemimpin melatih pelapis kepimpinan negara.

“Had dua penggal ini sepatutnya tidak melemahkan kepimpinan perdana menteri sebaliknya sesiapa yang menjadi perdana menteri pada ketika itu sudah pasti akan terus membuat pelan tindakan setiap lima tahun kerana dia tahu tempoh had untuknya berkhidmat.

“Dalam proses itu juga perdana menteri pasti akan melatih dan mengenalpasti calon calon yang dianggap sesuai untuk menggantikannya kelak,” katanya.

Tambahnya, tempoh 10 tahun sudah mencukupi untuk melaksanakan visi pentadbiran.

“Tempoh berikutnya perlu diberikan kepada bakat bakat baharu politik negara,” jelasnya.

Beliau turut melihat dasar ini sebagai satu langkah progresif yang diamalkan di beberapa negara lain seperti Amerika Syarikat dan Indonesia.

“Dasar ini juga dapat mengawal isu isu seperti rasuah, kartel, kronisme dan nepotisme di dalam kerajaan. Oleh itu saya menyokong dasar ini dilaksanakan,” katanya.

Reformasi Institusi Lebih Penting Daripada Had Penggal

Dalam pada itu, pakar perlembagaan, Profesor Madya Datuk Dr Wan Ahmad Fauzi Wan Husain berpandangan bahawa tempoh lama memegang jawatan tidak semestinya membawa kepada autoritarianisme sekiranya mekanisme semak dan imbang berfungsi dengan baik.

Beliau menegaskan semua institusi negara mempunyai tanggungjawab untuk mempertahankan Perlembagaan.

“Adakah pengalaman pemerintahan panjang di Malaysia benar-benar membuktikan bahawa tempoh lama menghasilkan autoritarianisme, atau ia lebih berkait dengan kekuatan parti dominan?

“Sepatutnya tidak berlaku jika semua ahli Jemaah Menteri, Parlimen dan badan kehakiman memainkan peranan masing-masing selaras dengan sumpah Jadual ke-6, komited untuk mempertahankan, melindungi dan memelihara Perlembagaan,” katanya.

Menurut beliau, perubahan landskap politik Malaysia yang kini tidak lagi dikuasai satu parti dominan juga boleh memperkukuh tadbir urus negara.

“Saya juga berpandangan dengan banyak reformasi yang sudah dan sedang dilakukan, ditambah pula tren akhir-akhir ini tiada parti yang dominan untuk menguasai kerusi Parlimen, tadbir urus negara akan bertambah baik.”

Beliau berpendapat pengukuhan sistem tadbir urus adalah lebih penting daripada mengehadkan tempoh Perdana Menteri.

“Bagi saya tidak ada keperluan dibataskan tempoh dua penggal. 

“Kita perlukan PM yang boleh melaksanakan tugas dengan baik dan disegani di pentas dunia,” tegasnya.

Tambah beliau, perkembangan semasa juga menunjukkan sistem keadilan negara semakin matang.

“Apatah lagi kini sudah ada kes beberapa orang mantan PM dituduh di mahkamah, ini akan lebih suburkan tadbir urus yang baik,” ujarnya.

Risiko Perebutan Kuasa Dan Perancangan Penggantian

Dalam masa sama, Dr Mohammad Tawfik berpandangan tempoh akhir dua penggal boleh menjadi pemangkin kepada prestasi pentadbiran.

“Saya tidak nampak PM pada tahun tahun akhir dalam had 2 penggal akan melemah.

“Tetapi tempoh tempoh penghujung merupakan ruang pecutan prestasi yang boleh ditonjolkan oleh mana-mana PM bagi melakar legasi dan prestasi cemerlang,” katanya.

Beliau turut mencadangkan parti politik atau gabungan parti menentukan calon Perdana Menteri lebih awal melalui pemilihan dalaman bagi mengelakkan perebutan kuasa selepas pilihan raya.

Menurutnya, langkah tersebut boleh menjadi proses pembersihan awal sebelum pilihan raya.

“Saya berpandangan lebih baik parti-parti politik atau gabungan parti yang dominan membuat penentuan awal menerusi pemilihan dalaman calon PM terlebih dahulu.

“Situasi ini dilihat sebagai pembersihan awal dan tidak akan menjejaskan kestabilan kerajaan kelak,” jelasnya. – The Merdeka Times

Please follow and like us:
error20
fb-share-icon0
Tweet 20
fb-share-icon20

Author