Connect with us

Terkini

Kajian pemilihan Datuk Bandar KL dilaksana UIA, bukan DAP – Hannah Yeoh

Published

on

Foto: Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh.
  • Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh menegaskan bahawa kajian kebolehlaksanaan berkaitan cadangan pilihan raya pemilihan Datuk Bandar Kuala Lumpur dijalankan oleh Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), dan bukannya oleh DAP seperti yang didakwa sesetengah pihak.
  • Beliau berkata, kajian tersebut masih berada pada peringkat penyelidikan dan telah dimulakan sejak Disember lalu di bawah pentadbiran Menteri Wilayah Persekutuan sebelum ini.
  • Hannah berkata, masyarakat tidak seharusnya berasa bimbang kerana kajian berkenaan dilaksanakan oleh institusi akademik yang berwibawa.

PUTRAJAYA – Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh menegaskan bahawa kajian kebolehlaksanaan berkaitan cadangan pilihan raya pemilihan Datuk Bandar Kuala Lumpur dijalankan oleh Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), dan bukannya oleh DAP seperti yang didakwa sesetengah pihak.

Memetik laporan NST, beliau berkata, kajian tersebut masih berada pada peringkat penyelidikan dan telah dimulakan sejak Disember lalu di bawah pentadbiran Menteri Wilayah Persekutuan sebelum ini.

“Tujuan kajian ini dijalankan adalah susulan pembentangan Rang Undang-Undang Persendirian oleh seorang Ahli Parlimen pada sidang Parlimen yang lalu,” katanya dalam sidang akhbar hari ini.

Sidang akhbar itu diadakan selepas majlis menandatangani Memorandum Kerjasama antara Jabatan Wilayah Persekutuan dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Menara Seri Wilayah, di sini. Turut hadir Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki.

Hannah berkata, masyarakat tidak seharusnya berasa bimbang kerana kajian berkenaan dilaksanakan oleh institusi akademik yang berwibawa.

“Jangan takut. Kajian ini dijalankan oleh UIAM, bukan oleh ahli-ahli DAP. UIAM merupakan sebuah universiti Islam dan saya yakin terhadap kualiti penyelidikan yang dijalankan,” katanya.

Beliau menambah, kementeriannya kini masih menunggu hasil kajian tersebut sebelum sebarang keputusan dibuat.

“Saya masih belum menerima dapatan kajian itu. Setelah kita meneliti sama ada ia boleh diteruskan atau sebaliknya, baru kita akan sediakan kertas Kabinet untuk maklumkan kepada Jemaah Menteri sama ada Jabatan Wilayah Persekutuan nak pinda akta atau sebaliknya,” jelasnya.

Sebelum ini, Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Dr. Mohd. Puad Zarkashi dilaporkan menggesa partinya menentang sebarang usaha memperkenalkan pilihan raya untuk jawatan Datuk Bandar Kuala Lumpur diadakan, dengan alasan ia terdedah kepada manipulasi politik serta pengaruh rangkaian jenayah.

Dalam satu hantaran Facebook, beliau mendakwa kawasan hiburan dan kewujudan aktiviti bawah tanah di ibu negara berpotensi menyebabkan proses pilihan raya tersebut dipengaruhi oleh kepentingan parti politik, sentimen perkauman, serta kartel dan kumpulan kongsi gelap.

Sehubungan itu, beliau mencadangkan UMNO menubuhkan sekretariat khas bagi menyelaras penentangan terhadap cadangan tersebut, sambil menyamakan pendirian itu dengan bantahan parti terhadap Rang Undang-Undang Pembaharuan Bandar (URA).

Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh turut menyuarakan pendirian sama menerusi satu hantaran Facebook semalam, dengan menyeru ahli-ahli parti agar kekal bersatu menolak apa yang disifatkannya sebagai siri tekanan politik oleh kerajaan.

Beliau berkata, UMNO wajar menghalang cadangan terbaharu itu sebagaimana parti tersebut menentang usaha menghidupkan semula pilihan raya kerajaan tempatan sebelum ini.

Kritikan itu timbul susulan kenyataan Hannah semalam yang mengumumkan pelaksanaan kajian kebolehlaksanaan bagi menilai sama ada Datuk Bandar Kuala Lumpur wajar dipilih secara langsung oleh rakyat.

Menjawab reaksi balas tersebut, beliau mempertahankan kepentingan penyelidikan dalam proses penggubalan dasar menerusi satu hantaran Facebook berasingan hari ini, sambil menyatakan latar belakang perundangannya mempengaruhi pendekatan tersebut.

Please follow and like us:
error20
fb-share-icon0
Tweet 20
fb-share-icon20

Author