Terkini
Dari 3 ke 17 IPT, Pengajian Bahasa Melayu berkembang pesat di China
- Tokoh bahasa, Profesor Emeritus Datuk Seri Dr. Awang Sariyan berkata, senario tersebut didorong oleh minat masyarakat di negara berkenaan terhadap bahasa Melayu yang dilihat bertambah secara konsisten dari semasa ke semasa.
- Beliau yang pernah dua kali ditugaskan sebagai Penyandang Kursi Pengajian Melayu Kerajaan Malaysia di China menjelaskan, situasi semasa kini menyaksikan lonjakan besar dengan 17 buah IPT sudah menawarkan kursus tersebut berbanding hanya tiga buah universiti pada peringkat awal.
SHAH ALAM – Jumlah institusi pengajian tinggi (IPT) di China yang menawarkan pengajian bahasa Melayu diramalkan akan terus meningkat sehingga mencecah 20 atau 30 buah institusi pada masa hadapan.
Bercakap kepada The Merdeka Times, tokoh bahasa, Profesor Emeritus Datuk Seri Dr. Awang Sariyan berkata, senario tersebut didorong oleh minat masyarakat di negara berkenaan terhadap bahasa Melayu yang dilihat bertambah secara konsisten dari semasa ke semasa.
Beliau yang pernah dua kali ditugaskan sebagai Penyandang Kursi Pengajian Melayu Kerajaan Malaysia di China menjelaskan, situasi semasa kini menyaksikan lonjakan besar dengan 17 buah IPT sudah menawarkan kursus tersebut berbanding hanya tiga buah universiti pada peringkat awal.
“Bermula waktu saya ditugaskan oleh kerajaan menjadi Penyandang Kursi Pengajian Melayu Kerajaan Malaysia di negara China pada tahun 2008, baru tiga buah universiti yang menawarkan ijazah Bahasa Melayu atau kursus Bahasa Melayu.
“Sekarang sudah ada 17. Jumlah ini insya-Allah akan bertambah lagi kerana minat yang sangat besar dan bertambah dari semasa ke semasa,” katanya ketika ditemui di pejabatnya.
Beliau menambah, daripada 17 institusi tersebut, sebanyak 13 buah universiti menawarkan program ijazah sarjana muda Bahasa Melayu selama empat tahun manakala dua lagi menawarkan program diploma tiga tahun termasuk di wilayah Hainan.
Sementara itu, jelasnya, baki IPT yang lain menawarkan pengajian bahasa Melayu untuk tujuan antarabangsa, komunikasi, serta bidang perdagangan.
Menurut beliau, perkembangan luar biasa ini turut dipacu oleh hubungan dua hala yang akrab antara Malaysia dengan China sejak terjalinnya hubungan diplomatik pada tahun 1974 dan juga pelaksanaan inisiatif Belt and Road (Jalur dan Laluan).
Faktor tersebut ujarnya, membuka ruang pasaran yang luas bagi syarikat-syarikat besar dari China yang bertapak di Malaysia untuk mengambil graduan ini bekerja sebagai eksekutif yang fasih bahasa tempatan selain berkhidmat sebagai jurubahasa dan penterjemah di kedutaan.
Kelebihan komuniti di China, jelas beliau, adalah kesedaran mereka untuk memanfaatkan bahasa asing sebagai jendela utama bagi memahami aspek kebudayaan, sistem undang-undang, politik, sastera dan sistem sosial sesebuah negara secara mendalam, bukannya untuk bermegah-megah pandai berbahasa asing..
Bagi masyarakat di China, mempelajari bahasa Melayu bukan sahaja menawarkan survival kerjaya, malah didorong oleh minat yang mendalam terhadap tamadun Melayu. – The Merdeka Times