Connect with us

Terkini

Rakyat tak lagi kisah parti dominan, asal kerajaan berprestasi – Penganalisis politik

Published

on

Foto: Penganalisis politik dari Universiti Malaya (UM), Dr Mohammad Tawfik Yaakub.
  • Penganalisis politik dari Universiti Malaya (UM), Dr Mohammad Tawfik Yaakub berpendapat,   golongan pengundi kini sebaliknya lebih realistik dengan meletakkan aspek kestabilan politik, prestasi ekonomi, kos sara hidup dan keupayaan kerajaan mentadbir dengan berkesan sebagai kayu ukur utama.
  • “Jika sesebuah parti mampu menawarkan kestabilan dan pentadbiran yang baik, ada pengundi yang mungkin tidak terlalu mempersoalkan sejauh mana dominasi parti tersebut,” katanya ketika dihubungi.
  • Beliau mengulas kenyataan bekas Pengerusi DAP Johor, Liew Chin Tong bahawa tiada rakyat Malaysia yang waras mahu kembali kepada era sistem satu parti dengan UMNO sebagai kuasa dominan yang menentukan segala-galanya untuk rakyat.

KUALA LUMPUR – Soal dominasi atau kepelbagaian parti politik dalam pentadbiran negara sebenarnya bukan lagi keutamaan utama bagi sebahagian rakyat hari ini ketika mengundi. 

Penganalisis politik dari Universiti Malaya (UM), Dr Mohammad Tawfik Yaakub berpendapat, golongan pengundi kini sebaliknya lebih realistik dengan meletakkan aspek kestabilan politik, prestasi ekonomi, kos sara hidup dan keupayaan kerajaan mentadbir dengan berkesan sebagai kayu ukur utama.

Sehubungan itu, kenyataan bahawa ‘tiada rakyat Malaysia yang waras’ mahukan sistem satu parti juga perlu dilihat secara lebih seimbang. 

“Jika sesebuah parti mampu menawarkan kestabilan dan pentadbiran yang baik, ada pengundi yang mungkin tidak terlalu mempersoalkan sejauh mana dominasi parti tersebut,” katanya ketika dihubungi.

Beliau mengulas kenyataan bekas Pengerusi DAP Johor, Liew Chin Tong bahawa tiada rakyat Malaysia yang waras mahu kembali kepada era sistem satu parti dengan UMNO sebagai kuasa dominan yang menentukan segala-galanya untuk rakyat.

Pengarah Strategik DAP itu berkata, hakikat itu perlu disedari oleh para pemimpin UMNO dan Barisan Nasional (BN) sambil menegaskan bahawa ‘zaman sudah berubah’.

Beliau berkata, sejarah telah membuktikan bahawa Pilihan Raya Umum (PRU) 2018 telah menamatkan era sistem sedemikian yang sekian lama mendominasi lanskap politik negara. 

Mengulas lanjut, Mohammad Tawfik berkata, kenyataan Chin Tong mencerminkan realiti bahawa landskap politik Malaysia hari ini jauh berbeza berbanding era dominasi tunggal BN sebelum 2018. 

Beliau berkata, pengundi kini dikatakan lebih terdedah kepada pelbagai sumber maklumat, lebih kritikal terhadap kerajaan dan mempunyai pilihan politik yang lebih pelbagai justeru, sukar untuk mana-mana parti, termasuk UMNO, kembali menguasai politik negara secara mutlak seperti dahulu. 

Pada masa sama, beliau menegaskan, pengalaman politik pasca PRU-14 menunjukkan bahawa sistem pelbagai parti juga mempunyai cabaran tersendiri termasuk ketidakstabilan kerajaan, pertukaran gabungan dan konflik antara parti. 

Oleh itu, tambahnya, perbahasan sebenar bukan sekadar antara sistem satu parti atau pelbagai parti tetapi bagaimana memastikan wujud semak dan imbang yang berkesan serta kerajaan yang stabil dan bertanggungjawab.

“Bagi saya, Malaysia kini bergerak ke arah sistem politik yang lebih kompetitif dan berbilang parti. 

“Walaupun UMNO dan BN masih mempunyai pengaruh yang signifikan, terutama di kawasan Melayu luar bandar, kemungkinan untuk kembali kepada era dominasi mutlak seperti sebelum ini adalah jauh lebih sukar berikutan perubahan corak pengundian dan kematangan politik rakyat,” katanya. – The Merdeka Times

Please follow and like us:
error20
fb-share-icon0
Tweet 20
fb-share-icon20

Author