Connect with us

Terkini

Gagal daftar nikah luar negara, anak tidak boleh guna nama bapa – JPN

Published

on

Foto: Ketua Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Datuk Badrul Hisham Alias.
  • Kanak-kanak yang dilahirkan hasil perkahwinan pasangan Muslim di luar negara tetapi gagal didaftarkan di Malaysia tidak dibenarkan menggunakan nama bapa pada sijil kelahiran, kata Ketua Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Datuk Badrul Hisham Alias.
  • Menurut beliau, kelahiran masih boleh didaftarkan, namun nama bapa tidak boleh dicatatkan dan sebaliknya direkodkan di bawah ‘Asmaul Husna’ (99 nama Allah) sekiranya status perkahwinan ibu bapa tidak dapat dibuktikan atau tidak diiktiraf mengikut undang-undang Malaysia.

KOTA BHARU – Kanak-kanak yang dilahirkan hasil perkahwinan pasangan Muslim di luar negara tetapi gagal didaftarkan di Malaysia tidak dibenarkan menggunakan nama bapa pada sijil kelahiran, kata Ketua Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Datuk Badrul Hisham Alias.

Menurut beliau, kelahiran masih boleh didaftarkan, namun nama bapa tidak boleh dicatatkan dan sebaliknya direkodkan di bawah ‘Asmaul Husna’ (99 nama Allah) sekiranya status perkahwinan ibu bapa tidak dapat dibuktikan atau tidak diiktiraf mengikut undang-undang Malaysia.

Beliau berkata, ibu bapa perlu mengemukakan dokumen perkahwinan yang sah dan diiktiraf oleh undang-undang negara semasa proses pendaftaran kelahiran.

“Sekiranya perkahwinan tidak didaftarkan atau tidak dapat disahkan, kelahiran akan didaftarkan di bawah Seksyen 13 Akta Pendaftaran Kelahiran dan Kematian,” katanya kepada Berita Harian.

Badrul Hisham menjelaskan, Seksyen 13 terpakai bagi perkahwinan luar negara yang tidak didaftarkan di Malaysia, termasuk kes kanak-kanak Muslim yang dilahirkan kurang daripada enam bulan selepas tarikh perkahwinan ibu bapa.

Beliau turut memaklumkan bahawa status kewarganegaraan kanak-kanak pada sijil kelahiran akan mengikut kewarganegaraan ibu pada waktu kelahiran.

“Jika bapa adalah warganegara Malaysia dan ibu warga asing, tetapi perkahwinan tidak diiktiraf mengikut undang-undang Malaysia, maka kewarganegaraan anak mengikut ibu,” katanya.

Bagaimanapun, beliau berkata kanak-kanak yang didaftarkan di bawah Asmaul Husna masih boleh membetulkan rekod kelahiran selepas perkahwinan ibu bapa didaftarkan di Mahkamah Syariah di Malaysia.

“Selepas perkahwinan didaftarkan, ibu bapa boleh memohon kepada JPN di bawah seksyen 27(3) untuk membetulkan butiran dan memasukkan semula nama bapa,” katanya, sambil menambah setiap kes dinilai secara individu berdasarkan dokumen dan fakta yang dikemukakan.

Badrul Hisham turut menggesa pasangan Muslim yang berkahwin di luar negara, termasuk di Thailand, supaya segera mendaftarkan perkahwinan mereka di Malaysia bagi melindungi hak anak-anak, khususnya dalam urusan mendapatkan dokumen pengenalan diri.

“Kegagalan berbuat demikian boleh memberi implikasi jangka panjang kepada kanak-kanak, termasuk akses kepada pendidikan, kesihatan dan perkhidmatan awam,” katanya.

Sebelum ini, dilaporkan ramai pasangan Muslim Malaysia yang berkahwin di Thailand gagal mendaftarkan perkahwinan di negara ini, sama ada bagi menyembunyikan perkahwinan poligami, berdepan konflik keluarga atau kekangan kewangan.

Sementara itu, Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia, Musa Awang, menegaskan bahawa walaupun undang-undang tidak menghalang rakyat Malaysia berkahwin di Thailand, perkahwinan tersebut wajib didaftarkan di Malaysia bagi memastikan ia diiktiraf secara sah serta melindungi hak isteri dan anak-anak.-The Merdeka Times

Please follow and like us:
error20
fb-share-icon0
Tweet 20
fb-share-icon20

Author