Terkini
141 NGO berhimpun Sabtu ini desak tindakan terhadap rumah ibadat haram
- Penyelaras Gerakan Anti Rumah Anutan Haram, Zamri Vinoth berkata perhimpunan pada Sabtu ini, di pusat beli-belah Sogo bermula pukul 8 malam bertujuan mendesak pihak berkuasa mengambil tindakan tegas termasuk pendakwaan terhadap individu atau pihak yang terlibat dalam pembinaan rumah ibadat haram di atas tanah kerajaan atau tanah yang diceroboh.
- Menurut beliau, masalah pencerobohan tanah bagi tujuan pembinaan rumah ibadat haram hanya boleh diselesaikan sekiranya setiap kes dibawa ke muka pengadilan.
- Zamri menegaskan bahawa sebarang alasan termasuk dakwaan rumah ibadat tersebut telah wujud sejak sekian lama seharusnya dikemukakan di mahkamah dan bukannya dijadikan justifikasi untuk memberikan pampasan atau tanah gantian
KUALA LUMPUR – Sebanyak 141 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bergabung di bawah Gerakan Anti Rumah Anutan Haram akan menganjurkan satu perhimpunan aman pada Sabtu ini di hadapan pekarangan pusat beli-belah Sogo, di sini, bermula pukul 8 malam.
Penyelaras Gerakan Anti Rumah Anutan Haram, Zamri Vinoth berkata perhimpunan tersebut bertujuan mendesak pihak berkuasa mengambil tindakan tegas termasuk pendakwaan terhadap individu atau pihak yang terlibat dalam pembinaan rumah ibadat haram di atas tanah kerajaan atau tanah yang diceroboh.
Menurut beliau, masalah pencerobohan tanah bagi tujuan pembinaan rumah ibadat haram hanya boleh diselesaikan sekiranya setiap kes dibawa ke muka pengadilan.
“Tujuan utama kami mengadakan perhimpunan ini adalah untuk membuat desakan kepada pihak berkuasa agar apabila ada rumah-rumah ibadat haram yang dibina, mereka seharusnya didakwa. Sebab kita lihat masalah ini hanya boleh selesai jika setiap orang yang buat jenayah menceroboh ini didakwa,” katanya kepada The Merdeka Times.
Zamri menegaskan bahawa sebarang alasan termasuk dakwaan rumah ibadat tersebut telah wujud sejak sekian lama seharusnya dikemukakan di mahkamah dan bukannya dijadikan justifikasi untuk memberikan pampasan atau tanah gantian.
“Apa sahaja alasan yang mereka ingin berikan, sama ada tempat itu sudah bertahun-tahun, sepatutnya dakwaan itu mereka berikan di mahkamah dan biar mahkamah yang putuskan sama ada perlu diberikan tanah ganti dan sebagainya,” tegasnya.
Beliau turut mempersoalkan tindakan pihak tertentu yang didakwa mengambil undang-undang di tangan sendiri dengan memberikan layanan istimewa, pampasan serta tanah gantian kepada penceroboh.
Menurut Zamri, situasi tersebut perlu dihentikan kerana bilangan rumah ibadat haram serta tanah gantian yang diberikan didakwa semakin meningkat dari tahun ke tahun.
“Hari demi hari, tahun demi tahun, bilangan rumah ibadat haram ini meningkat dan tanah-tanah gantian yang diberikan juga turut meningkat.
“Jadi sampai bila? Kami nampak ini sebagai satu modus operandi untuk mencuri tanah-tanah kerajaan,” jelasnya.
Dalam pada itu, beliau menegaskan bahawa perhimpunan tersebut bukan bertujuan menentang mana-mana kaum atau agama, sebaliknya menentang jenayah pencerobohan tanah yang semakin berleluasa.
“Saya nak maklumkan kepada semua yang hadir, perhimpunan ini bukan untuk menentang mana-mana kaum ataupun agama, tetapi untuk menentang jenayah ceroboh yang semakin hari semakin berleluasa.
“Tidak ada satu pengakhiran kepada perkara ini. Apa pengajaran yang diberikan kepada golongan-golongan yang telah menceroboh ini?” soalnya.
Sehubungan itu, Zamri menggesa kerajaan, pihak berkuasa tempatan (PBT) serta ahli politik supaya tidak lagi melindungi pihak yang melakukan jenayah pencerobohan atas nama agama.
“Kita datang untuk bersuara dan mendesak kerajaan, pihak berkuasa tempatan (PBT) serta ahli politik supaya tidak lagi membelai mereka yang telah melakukan jenayah ceroboh atas nama agama,” katanya.
Beliau turut menyeru seluruh rakyat Malaysia yang cintakan negara supaya hadir menyatakan sokongan.
“Saya nak minta semua rakyat Malaysia yang cintakan tanah air dan tidak mahu jenayah ceroboh ini berterusan supaya hadir untuk kita nyatakan sokongan,” ujarnya. – The Merdeka Times