Terkini
Mungkin Sarawak tidak ditakdirkan bersama Malaysia – Nanta
- Menteri Kerja Raya, merangkap Ahli Parlimen Kapit, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata perbalahan politik yang berlarutan di Semenanjung Malaysia, khususnya melibatkan isu kaum, agama dan kuasa, semakin memenatkan serta memberi kesan kepada keharmonian negara.
- Beliau mengaku, dengan suara yang hampir kecewa, bahawa semakin lama beliau melihat keadaan di tanah besar, semakin kuat perasaan bahawa Sarawak mungkin tidak pernah benar-benar difahami.
- “Mungkin dari awal lagi, kita memang tidak ditakdirkan untuk menjadi satu bangsa. Sebab itu Tuhan memisahkan kita dengan Laut China Selatan,” katanya.
KUALA LUMPUR – Menteri Kerja Raya merangkap Ahli Parlimen Kapit, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata perbalahan politik yang berlarutan di Semenanjung Malaysia, khususnya melibatkan isu kaum, agama dan kuasa, semakin memenatkan serta memberi kesan kepada keharmonian negara.
Memetik laporan DayakDaily, beliau berkata, keadaan itu bukan lagi sekadar perbezaan pandangan politik, sebaliknya mencerminkan kegagalan untuk memahami makna hidup bersama sebagai sebuah negara majmuk.
Menurutnya, Sarawak sejak sekian lama mengamalkan pendekatan yang menekankan kehormatan dalam perbezaan dan kedamaian dalam kepelbagaian, sesuatu yang wajar dijadikan contoh.
“Jika mahu memahami Formula Sarawak, kita perlu memahami cara kepimpinan di negeri ini. Pemimpin kami tidak bermain dengan sentimen perkauman atau agama, sebaliknya bertindak dengan penuh tanggungjawab demi menjaga keharmonian rakyat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjadi tetamu dalam program The Breakfast Grille di stesen radio, BFM 89.9.
Nanta menjelaskan, Sarawak merupakan sebuah negeri berbilang kaum, agama dan budaya, namun perbezaan tersebut tidak pernah dijadikan alat untuk memecah-belahkan masyarakat.
Walaupun kaum Dayak dan Cina membentuk majoriti penduduk negeri itu, manakala orang Melayu menjadi tonggak penting pentadbiran, kepimpinan Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg, terus mendapat sokongan merentas kaum dan agama.
“Sejak tahun 1960-an, Sarawak telah dipimpin oleh pemimpin Melayu Muslim dan Melanau tanpa wujud kebencian kaum. Rakyat menilai pemimpin berdasarkan kejujuran dan keupayaan mentadbir, bukan retorik,” katanya.
Beliau turut mengimbas kepimpinan bekas Ketua Menteri Sarawak, Allahyarham Pehin Sri Adenan Satem yang pernah menegaskan bahawa tiada sesiapa dianggap pendatang di Sarawak, satu prinsip yang menurutnya terus dipertahankan kerajaan negeri hari ini.
Tambah beliau, Formula Sarawak bukan sekadar slogan, sebaliknya diterjemahkan melalui dasar dan pelaksanaan program seperti Unit Untuk Agama-Agama Lain (UNIFOR), Lembaga Pembangunan Koridor Wilayah (RECODA) serta pelbagai inisiatif pembangunan luar bandar.
“Kami berbincang tentang agama. Kami berbincang tentang kaum. Kami berbincang tentang bahasa. Tetapi kami tidak membenci. Kami tidak menghina. Kami tidak memecah-belahkan,” katanya, dengan nada yang jelas menyindir keadaan di Semenanjung.
Nada Nanta kemudian menjadi lebih keras, lebih jujur, dan lebih menyakitkan.
“Kamu bertengkar tentang segala-galanya. Politik, agama, kaum semuanya dijadikan medan perang, dii Sarawak, kami penat melihat ini. Kami dipaksa untuk berasa begini,” katanya.
Beliau mengaku, dengan suara yang hampir kecewa, bahawa semakin lama beliau melihat keadaan di tanah besar, semakin kuat perasaan bahawa Sarawak mungkin tidak pernah benar-benar difahami.
“Mungkin dari awal lagi, kita memang tidak ditakdirkan untuk menjadi satu bangsa. Sebab itu Tuhan memisahkan kita dengan Laut China Selatan,” katanya.
Mengulas hubungan Sarawak dengan Kerajaan Persekutuan, Nanta yang juga Setiausaha Agung Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) dan Gabungan Parti Sarawak (GPS) menegaskan bahawa slogan ‘Sarawak Didahulukan’ bukan satu ancaman, sebaliknya tuntutan agar hak negeri dihormati selaras dengan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
“Kami tidak mahu merampas hak sesiapa. Kami hanya mahu hak Sarawak dihormati dan masa depan anak-anak Sarawak ditentukan negeri ini sendiri,” katanya.
Berhubung isu minyak dan gas, beliau menegaskan Sarawak tidak berniat memusnahkan atau bermusuhan dengan Petroliam Nasional Berhad (Petronas), namun sumber tersebut merupakan nadi penting kepada pembangunan negeri.
“Jika isu ini dibawa ke mahkamah dan keputusannya tidak adil kepada Sarawak, kesannya akan dirasai semua pihak,” katanya.
Ditanya mengenai kemungkinan Sarawak berpisah daripada Malaysia, Nanta menegaskan komitmennya terhadap negara, sambil mengingatkan bahawa datuknya, Allahyarham Tun Jugah Barieng, merupakan antara tokoh yang menandatangani Perjanjian Malaysia.
“Saya cintakan Malaysia, tetapi darah saya Sarawak. Jika Sarawak dipersoalkan, saya akan berdiri bersama Sarawak,” katanya.
Beliau berkata, kesetiaan Sarawak kepada Malaysia tidak pernah goyah, namun mengingatkan bahawa keharmonian negara perlu dipelihara melalui sikap saling menghormati.
“Sarawak mahukan Malaysia yang aman dan bersatu. Tetapi jika perbalahan berterusan, jangan salahkan Sarawak jika kami memilih untuk menjaga kepentingan kami sendiri,” katanya.
Nanta menegaskan fokus utama kerajaan negeri adalah membina Sarawak yang lebih kuat, adil dan bermaruah demi generasi akan datang. – The Merdeka Times.